Mati pucuk (ED) dan pembesaran kelenjar prostat

Friday, October 09, 2015 0 Komen

Mati pucuk (ED) dan pembesaran kelenjar prostat  

Mati pucuk (ED) adalah penyakit kelamin yang sinonim dengan lelaki dan paling ditakuti. Namun sikap ego, malu serta salah anggap mengenai penyakit berkenaan membuatkan ramai golongan lelaki semakin mengabaikan dan mengelak daripada menjalani rawatan.

Keadaan ini ditakrifkan sebagai masalah perubatan serius yang memerlukan perhatian dan rawatan segera. Walaupun punca asas ED mula muncul seiring peningkatan usia, ED sebenarnya bukan disebabkan masalah penuaan semata-mata.

Sejak kebelakangan ini, ED dan pembesaran kelenjar prostat (BPH) sering menjadi tajuk utama dalam penyelidikan kesihatan sakit tuan.

Hasil penyelidikan dan kajian ini membuktikan hubung kait antara kedua-dua penyakit ini di mana ED sering muncul bersama BPH. Gabungan fenomena ini dengan mereka yang meningkat usia menimbulkan keperluan untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan bagi meningkatkan kualiti hidup bagi lelaki berusia yang mengalami penyakit ini.

Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Dr Teh Guan Chou berkata, hasil kajian dalam bidang sakit tuan dan ketidakupayaan seksual, mereka lebih memahami kesinambungan yang timbul antara ED dengan BPH.

“Apabila usia lelaki semakin meningkat, mereka akan lebih cenderung untuk mengalami simptom Saluran Kencing Bawah (LUTS). Dalam sesetengah pesakit, simptom LUTS ini disebabkan oleh BPH.

“Disebabkan itu, adalah amat penting untuk kita menitikberatkan simptom LUTS yang diakibatkan oleh BPH dalam kalangan pesakit yang muncul dengan penyakit ED serta BPH.

“Kini dengan adanya ubat baru sedia ada di pasaran Malaysia, penyakit ED dan BPH menjadi lebih mudah dan sesuai digunakan sebagai rawatan peringkat awal,” katanya ketika melancarkan ubat baru CIALIS (tadalafil) lima miligram (5mg) Tablet Bersalut Filem di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penyakit ED menyerang 22.2 peratus lelaki di Malaysia yang berumur 50 tahun ke atas. Risiko untuk mendapat penyakit berkenaan akan naik sekali ganda bagi lelaki dalam lingkungan umur 60 tahun hingga 69 tahun.

Angka ini dijangka meningkat 79.5 peratus bagi lelaki berusia 70 tahun ke atas. Manakala seramai 50 peratus lelaki di negara ini yang berusia lebih 60 tahun akan menghidap BPH.

Peratusan ini dijangka meningkat seiring dengan usia pesakit. Kedua-dua penyakit ini juga mempengaruhi semua lelaki tanpa mengira kaum.

Perunding Urologi Hopital Gleneagles, Dr George Lee Eng Geap pula berkata, meskipun ED dan BPH adalah penyakit lazim, golongan lelaki masih ragu untuk mendapatkan rawatan awal.

“Ini mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengaruh budaya serta salah faham umum terhadap penyakit ini. Selain itu, ada juga golongan lelaki berpendapat bahawa keadaan ED serta BPH bukanlah satu penyakit.

“Oleh itu, kami sentiasa membantu pesakit serta menasihati mereka supaya mendapatkan rawatan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lilly Malaysia, Dr Faiz Ansari, berkata kelulusan yang diperoleh pihaknya untuk memasarkan ubat berkenaan di negara ini membuktikan kesungguhan dalam menawarkan rawatan dan penyelesaian baharu bagi rawatan sakit tuan.

“CIALIS (tadalafil) 5mg ini adalah inovasi baharu bagi dunia rawatan sakit tuan terutama sekali bagi penghidap ED dan BPH. Kami gembira kerana berjaya membawa inovasi ini ke pasaran

Malaysia, di samping mengukuhkan usaha menyokong doktor dalam memberikan rawatan terbaik bagi pesakit mereka,” katanya pada sidang media pelancaran ubat berkenaan baru-baru ini.

Hasil ujian klinikal keberkesanan dan keselamatan CIALIS (tadalafil) 5mg membuktikan pengambilan ubat ini sekali sehari membawa kepada hasil yang positif bagi pesakit ED dan BPH.

CIALIS (tadalafil) 5mg berfungsi sebagai perencat enzim phosphodiesterase jenis-5 (PDE-5) bertindak mengembalikan daya tenang vaskular dan melancarkan peredaran darah di sekitar organ serta otot berkenaan.

Selain itu, ia juga membawa perubahan ketara dalam pembaikan markah Indeks Antarabangsa bagi Fungsi-Ereksi-Fungsi-Utama (IIEF-EF). Perubahan itu juga boleh dilihat pada catatan Markah Simptom Prostat Antarabangsa (IPSS) yang menilai fungsi seksual dan gejala BPH.

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
HMetro

Tak larang balik kampung untuk jimat minyak - Syed Abdul Aziz Al Qubra

Monday, July 06, 2015 0 Komen

Tak larang balik kampung untuk jimat minyak - Syed Abdul Aziz Al Qubra

Tampil dengan penjelasan sebenar, Pengarah Eksekutif CCT, Creative Trainers (M) Sdn Bhd, Syed Abdul Aziz Al Qubra berkata, kupasannya terhadap isu kewangan telah dieksploitasikan dan disalah erti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau orang tonton rancangan tersebut dari awal, mereka akan faham apa yang saya cuba sampaikan sebenarnya. Bila mereka potong video program itu dan viralkan, itu yang menyebabkan orang-orang awam marah.

“Tajuk segmen yang diberikan kepada saya adalah ‘Celik Kewangan: Gaji Oh Gaji!’ Saya hanya mengupas tajuk yang diberikan berdasarkan statistik yang diajukan kepada saya. Sebenarnya begini, apa yang saya jelaskan menerusi program tersebut adalah beban yang terpaksa ditanggung oleh sesetengah individu hanya untuk pulang beraya ke kampung,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Online, semalam.

Katanya lagi, mengikut statistik yang diajukan pengacara rancangan program, Tazneem Faizal, Syed Abdul Aziz berkata, 53 peratus wanita ingin mendapatkan barang kemas baharu sempena Aidilfitri, 23 peratus rakyat Malaysia ingin berkahwin lagi sempena menyambut Syawal, 18 peratus individu atau pasangan akan membelanjakan wang untuk membeli kelengkapan dan perabot baharu manakala lapan peratus lagi berkeinginan untuk membeli kereta baharu di musim perayaan ini.

“Saya hanya menjawab soalan yang diberikan oleh pengacara program.  Saya cuma mahu bantu rakyat dari segi perancangan ekonomi. Kalaulah balik kampung itu dirancang dari awal, tidaklah ada masalah buat mereka,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kenyataan ‘jangan balik kampung jika mahu jimatkan minyak dan tol’ yang kini viral di media sosial, beliau berkata, ia merupakan salah faham besar oleh majoriti rakyat negara ini.

 “Mengikut statistik trend balik kampung sekarang, hampir 53 peratus wanita akan membeli barang kemas hanya kerana tidak mahu ditegur oleh ibu mertua atau saudara-mara kerana memakai barang kemas tahun lepas. Maka dibelanjakan wang itu untuk membeli barang kemas. Sedangkan kita semua perlu beringat, keadaan sekarang sudah cukup mencabar buat semua pihak khusus golongan berekonomi sederhana dan rendah.

“… Sekarang minyak naik, kadar tol pun dikatakan akan meningkat, saya sarankan kita semua supaya beringat, ia mungkin menyusahkan bagi sesetengah individu, Jika balik kampung terasa terbeban dengan terdesak dan rasa dibebankan untuk tunjuk barang kemas baharu atau kereta baharu, saya sarankan lebih baik jangan balik kampung, tol dan minyak pun dapat dijimatkan. Itulah penjelasan sebenar saya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, video Syed Abdul Aziz yang dirakam menyarankan rakyat Malaysia supaya tidak pulang ke kampung untuk menjimatkan tol dan minyak menjadi viral di media sosial

Rakaman video yang dipetik menerusi sebuah rancangan bual bicara tersebut mendapat perhatian dan kritikan rata-rata pengguna laman sosial.

Syed Abdul Aziz dalam pada itu tidak menolak peratusan individu yang terpaksa membuat hutang hanya untuk pulang ke kampung.

“Kita semua tahu pulang ke kampung memerlukan belanja yang besar. Kalau balik masa tengah tidak ada duit atau gaji belum masuk, itu lebih susah.

“Sekarang ini, setiap hari kira-kira 65 individu di negara ini diisytiharkan muflis. Saya tidak mahu anda salah seorang daripada individu yang diisytiharkan muflis,” ujarnya.

Lelaki jalin hubungan dengan isteri orang dibelasah sampai mati

Wednesday, July 01, 2015 0 Komen

Lelaki jalin hubungan dengan isteri orang dibelasah sampai mati

Dituduh menjalin hubungan sulit dengan isteri orang, seorang ahli perniagaan dibelasah dua lelaki sehingga mati di Taman Kota Aman, Yong Peng di sini, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 50-an dari Johor Bahru itu ditemui oleh orang ramai kira-kira jam 11 pagi dalam keadaan nazak di tepi jalan taman perumahan berkenaan sebelum mereka menghubungi talian kecemasan.

Sumber berkata, mangsa difahamkan memandu kereta Mercedes Benz berwarna cerah dari arah pekan Yong Peng masuk ke kawasan taman perumahan berkenaan sambil diekori sebuah kenderaan lain.

Katanya, kenderaan terbabit dinaiki dua lelaki berusia awal 50-an kemudian memintas kereta dipandu mangsa setibanya di tempat kejadian sebelum menghampiri dan menarik mangsa keluar dari keretanya.

“Difahamkan, mangsa cuba menjelaskan sesuatu kepada dua lelaki terbabit sebelum cuba melarikan diri, tetapi dihalang suspek yang membelasahnya sehingga rebah.

~ Metro

Nekad sita rumah saudara sendiri selepas hutang RM1.25 juta tak dibayar

Wednesday, July 01, 2015 0 Komen

Nekad sita rumah saudara sendiri selepas hutang RM1.25 juta tak dibayar

Seorang ahli perniagaan wanita nekad mengambil tindakan undang-undang termasuk menyita harta benda saudaranya sendiri selepas individu itu didakwa gagal menjelaskan hutang bernilai RM1.25 juta.

Difahamkan, individu berusia 42 tahun itu yang juga ahli perniagaan dikatakan meminjam wang berkenaan pada 2012 dan berjanji untuk menjelaskannya dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, dia gagal berbuat demikian menyebabkan mangsa mengambil tindakan undang-undang termasuk mendapatkan perintah menyita kediaman individu itu di Kampung Huda di sini.

Mangsa, Siti Haniza Mohd Nasir, 48, kemudian bersama peguamnya dan pihak berkuasa ke kediaman individu itu, semalam untuk bersemuka.

Ketika kunjungan jam 10.55 pagi itu, hanya isteri saudaranya itu yang berusia 39 tahun dan anak berada di rumah, tetapi enggan membenarkan sesiapa masuk sehingga suaminya pulang.

116 mangsa korban nahas pesawat Hercules C130 Indonesia

Tuesday, June 30, 2015 0 Komen

116 mangsa korban nahas pesawat Hercules C130 Indonesia

Empat puluh sembilan mayat mangsa pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Indonesia yang terhempas ke kawasan penempatan di Medan tengah hari tadi, sudah ditemui namun jumlah kematian dipercayai sekurang-kurangnya 116 orang.

Pemerintah Tentera Udara Indonesia, Marshall Udara Agus Supriatna, berkata berdasarkan senarai penumpang, pesawat itu membawa 113 orang iaitu 12 anak kapal dan 101 penumpang dan setakat ini tiada tanda ada yang terselamat.

"Tidak, tidak. Tiada yang terselamat. Saya baru saja kembali dari tempat kejadian," katanya kepada AFP.

Menurutnya, sehingga jam 8 malam tadi, 49 mayat sudah ditemui dan dibawa ke hospital.

Ramai penumpang dalam pesawat itu ialah ahli keluarga anggota tentera dan pasukan penyelamat sudah menemui satu mayat kanak-kanak.


Pasukan penyelamat menyatakan tiga penduduk kawasan penempatan itu terbunuh apabila pesawat berusia 51 tahun berkenaan terhempas menghempap rumah sebelum terbakar, mengenai satu pusat urutan dan sebuah hotel kecil.

Menurut Agus, juruterbang memberitahu menara kawalan pesawat itu perlu berpatah balik kerana mengalami masalah enjin.“Pesawat terhempas ketika ia berpusing ke kanan untuk berpatah balik ke lapangan terbang,” katanya.

Pesawat itu berlepas pada jam 12:08 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan tentera udara di Medan dan terhempas dan meletup dengan api menjulang kira-kira-kira dua minit kemudian, kira-kira lima kilometer dari pangkalan itu.

Ia adalah tragedi kedua dalam masa 10 tahun pesawat terhempas di Medan. Pada September 2005, pesawat Boeing 737 milik Mandala Airlines terhempas ke atas kawasan perumahan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Polonia, Medan, membunuh 143 orang, termasuk 30 mangsa di darat.

Medan yang mempunyai 3.4 juta penduduk ialah bandar ketiga terbesar Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya. - Agensi

Tatu Sempena Pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak XXXV

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Tatu Sempena Pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak XXXV

Tarikh: 16 Mei 2015
Masa: 7.45malam
Tempat: Stadium Perak


Orang ramai dijemput hadir
Masuk percuma

Amah Indonesia Mengaku Terima IC dan BR1M

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Amah Indonesia dapat IC, BR1M?

Sebuah video viral di laman sosial Facebook tersebar apabila seorang amah warganegara Indonesia mendakwa mendapat IC dan sejumlah wang yang didakwa sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Rakaman berdurasi 2 minit dan 41 saat tersebut mengandungi dialog di antara perakam video, dipercayai majikannya bersama amah tersebut.

Amah tersebut mendedahkan beliau menerima RM500, didakwa bayaran BR1M.

Beliau juga mendakwa sudah tinggal di Malaysia selama 15 tahun tanpa pasport dan dokumen perjalanan, dan menerima kad pengenalan Februari lepas.

"Siapa yang bagi IC?," tanya perakam video.



"Itulah saya tak tahu. Mereka tak cakap," balas amah terbabit.

Tinjauan mendapati video tersebut sudah ditonton lebih 30,000 pelayar semenjak dimuatnaik pada 9 Mei lepas dan rata-rata terkejut dengan pendedahan berkenaan.

"Senang dapat IC...dapat BR1M pula," kata Salma.

"Pihak berwajib sila siasat," kata Hafiz.

"Ini baru orang Indonesia. Belum Bangladesh lagi," luah Nazira.

Sultan Nazrin Shah, Tuanku Zara ziarah 7 makam Sultan Perak terdahulu

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Sultan Nazrin Shah, Tuanku Zara ziarah 7 makam
 
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim hari ini berangkat menziarah tujuh makam Sultan terdahulu di sini bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.
   
Dalam keadaan cuaca mendung dan hujan agak lebat, pasangan diraja yang memakai baju Melayu dan kurung hijau lumut itu tiba di Kampung Air Mati, Lambor Kanan yang menempatkan makam Almarhum Sultan Mudzaffar Shah II, iaitu Sultan Perak ke-10, pada kira-kira 9.30 pagi.

Majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Imam Masjid Daerah Seri Iskandar Badrul Husaini Baharudin.
   
Baginda berdua kemudian menyiram air mawar serta menabur bunga ke atas makam berkenaan.



Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengikut sejarah Perak, Sultan Mudzaffar Shah II diangkat menjadi Sultan Perak ke-10 selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin di Kampar pada tahun 1636.
   
Sultan Mudzaffar Shah II bersemayam di Air Mati, Padang Changkat, Lambor Kanan serta memerintah selama 17 tahun dan selepas mangkat pada 1653, makam baginda digelar 'Marhum Jalilullah'.
   
Pasangan diraja itu kemudian menziarah makam Sultan Mudzaffar Shah I, yang merupakan Sultan Perak pertama, di Kampung Telok Bakong serta makam Sultan Mahmud Shah (Sultan ke-8) dan makam Sultan Muhammad Shah iaitu Sultan ke-14 di Kampung Melayu Pulau Tiga.
   
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara turut berangkat menziarah makam-makam Sultan Mahmud Iskandar Shah (Sultan ke-11), Sultan Alaudin Mughayat (Riayat) Shah (Sultan ke-12) dan Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan ke-3).
   
Kesemua makam itu terletak di Kampung Jawa, Mukim Pulau Tiga.
   
Baginda berdua menyiram air mawar serta menabur bunga ke atas makam-makam berkenaan selepas majlis tahlil dan bacaan doa selamat. - Bernama

Lukisan Picasso "The Women of Algiers" catat rekod lelongan termahal AS$179 juta

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Lukisan Picasso "The Women of Algiers" catat rekod lelongan termahal AS$179 juta

Satu lukisan agung Picasso dilelong lebih AS$179 juta di New York hari ini, mengatasi rekod karya termahal yang dijual dalam lelongan yang disifatkan sebagai 'jualan abad ini'.


Lukisan minyak bertajuk "The Women of Algiers (Version 0)," dijual dengan harga AS$179,365,000 selepas lebih 11 minit mendapat bidaan oleh pembeli menerusi telefon dalam satu lelongan yang pebuh sesak di Christie. Tepukan bergemuruh apabila jualan berkenaan dimuktamadkan disusuli suasana ceria serta gelak ketawa peminat karya dari serata dunia dalam jualan lelong yang dianggarkan mencecah lebih AS$140 juta.

Rekod lukisan termahal sebelum ini ialah AS$142.4 juta karya pelukis British, Francis Bacon bertajuk s "Three Studies of Lucian Freud," yang juga di jual di firma lelongan Christie di New York pada tahun 2013. Lukisan tahun 1955 adalah satu-satunya satu lukisan utama yang terakhir oleh Pablo Picasso yang masih dimiliki individu. Picasso yang berasal dari Sepanyol melukis beberapa versi lukisan sehinggalah menyudahkan satu lukisan kanvas gergasi yang berukuran hampir 121x152 sentimeter.

Satu lagi saingan karya yang dilelong ialah arca tembaga oleh Alberto Giacometti yang dinamakan "Man Pointing," yang dianggarkan nilainya mencecah AS$130 juta yang juga dianggap bakal memecah rekod jualan termahal. "Dua karya ini boleh mencatatkan rekod dunia," kata naib presiden kanan Christie, Loic Gouzer sebelum lelongan bermula. - AFP

Christiano Ronaldo Pemurah, RM27 Juta Didermankan Kepada Mangsa Gempa Bumi Nepal

Saturday, May 09, 2015 0 Komen

Christiano Ronaldo Pemurah, RM27 Juta Didermankan Kepada Mangsa Gempa Bumi Nepal

Christiano Ronaldo yang merupakan seorang dermawan dilaporkan menghulurkan bantuan sebanyak £5 juta (RM27 juta) kepada mangsa gempa bumi Nepal.

Menurut syarikat penerbitan Perancis, So Foot, Ronaldo menghulurkan sejumlah besar wang kepada sebuah organisasi kemanusiaan sedunia, 'Save The Children'.


'Save the Children' merupakan salah satu pertubuhan amal utama yang terlibat dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi Nepal yang berlaku bulan lalu sehingga mengorbankan seramai 7,000 mangsa.

Tambahnya lagi, Ronaldo, 30, turut menggunakan laman sosial Facebook dan Twitter pada bulan lalu untuk mendorong peminat menghulurkan bantuan bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh mangsa bencana.

Ronaldo, yang juga merupakan seorang bintang kelab ternama Sepanyol, Real Madrid mencipta sejarah sebagai seorang dermawan, disamping prestasinya yang kurang melakukan kesalahan semasa di padang.

Pada tahun lalu, Ronaldo dilaporkan menghulurkan sumbangan berjumlah €60,000 (RM241 ribu) untuk membiayai pembedahan otak kanak-kanak lelaki berusia 10 bulan.

Aturcara Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Wednesday, April 29, 2015 0 Komen

Upacara Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Tarikh: 3 Mei 2015 - 17 Mei 2015

3 Mei 2015 : Istiadat Meletak Kerja Pertabalan.

6 Mei 2015 : Istiadat Tabal Adat di bawah Istana Iskandariah. Istiadat dimulakan dengan kawalan kehormat, Istiadat Pertabalan di Balairong Seri Istana Iskandariah, dan tembakan meriam sebanyak 21 das.

7 Mei 2015 : Sultan Nazrin akan menyempurnakan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak yang bermula di Kuala Kangsar.

Pada sebelah malam, Istiadat Tabal Pusaka akan dijalankan di Balairong Seri Istana Iskandariah dan Istiadat Bersiram Tabal akan dilakukan di Panca Persada.

8 Mei 2015 : Sultan Nazrin berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar dan Makam Alang Iskandar atau Marhum Teja di Kota Bharu, Gopeng.

10 Mei 2015 : Sultan Nazrin dijadual melawat makam-makam Sultan Perak sekitar Kuala Kangsar disusuli di sepanjang pesisir Sungai Perak antaranya di Manong, Belanja, Parit, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Kampung Gajah sehingga 12 Mei.

13 Mei 2015 : Sultan Nazrin dijadualkan mula menziarahi makam-makam Sultan Perak menggunakan jalan air dengan menaiki bot khas yang dinamakan Balai Gambang dari Jeti Pasir Salak.

Antara makam-makam yang akan diziarahi termasuk di Kampung Pasir Pulai, Kampung Bandar Baru, Kampung Teluk Memali, Tanjung Penangguh, Pasir Panjang Ulu dan makam terakhir di Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan.

14 Mei 2015 : Menziarahi Beting Beras Basah di Bagan Datoh.

17 Mei 2015 : Majlis Menutup Kerja Pertabalan.

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Tarikh: 3 Mei 2015 - 17 Mei 2015

Istiadat pertabalan Sultan Perak dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja Pertabalan yang akan diadakan di kawasan Panca Persada, Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Serentak dengan acara itu, sebanyak 17 das tembakan meriam dan paluan nobat akan diadakan.

Istiadat tabal adat iaitu istiadat pertabalan sebenar akan dijalankan pada Rabu 6 Mei 2015 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dengan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan.
Serentak dengan istiadat pertabalan di Balairong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar, tembakan meriam 21 das akan dilakukan.

Istiadat pertabalan itu kemudiannya diikuti dengan lstiadat Tabal Pusaka dan lstiadat Bersiram Tabal yang bakal berlangsung pada malam 7 Mei.

Bermula hari Jumaat 8 Mei 2015, Sultan Nazrin akan mula menziarahi makam-makam Sultan-Sultan Perak terdahulu yang terletak di Kuala Kangsar, Ipoh, Gopeng, Sayong, Manong, Parit, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Kampung Pulau Juar, Pasir Salak, Kampung Bandar Baru, Kampung Teluk Memali, Teluk Intan.

Majlis tahlil, doa selamat dan kenduri arwah akan turut dijalankan.

Kemuncak istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35 ialah Istiadat Menziarahi Beting Beras Basah bermula dari Jeti Bagan Datoh.

Istiadat ini dilakukan sebagai simbolik adat signifikan tempat pertama Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549), Sultan Perak yang pertama, menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak.

Istiadat pertabalan Sultan Perak ini diadakan selepas kali terakhir diadakan 30 tahun lepas pada 4 Disember 1985.



Top-up kad prabayar dikenakan GST 6%

Thursday, April 02, 2015 0 Komen

Top-up kad prabayar dikenakan GST 6%

Semua syarikat telekomunikasi akan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kad tambah nilai prabayar tetapi bersetuju menambah masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar melebihi enam peratus.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T. Subromaniam berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Kewangan bersama syarikat telko hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu berkuatkuasa serta-merta untuk tempoh tiga bulan bermula hari ini dan selepas tamat tempoh tersebut semua pihak yang terlibat akan mencari satu jalan penyelesaian jangka masa panjang.

“Sekarang semua kad prabayar akan dikenakan cukai enam peratus. Tetapi syarikat Telko bersetuju memberi nilai masa berbual dan SMS lebih daripada enam peratus atau 60 sen iaitu sehingga pada kadar RM1,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.
- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/semua-telko-kenakan-gst-1.76369#sthash.m5KsnYs8.dpuf

Tempoh rayuan BR1M dilanjut sehingga 15 April 2015

Thursday, April 02, 2015 0 Komen

Tempoh rayuan BR1M dilanjut sehingga 15 April 2015

Tempoh rayuan bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 yang sepatutnya berakhir 31 Mac lalu, dilanjutkan sehingga 15 April, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu menyatakan rayuan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat.

"Dengan pelanjutan tempoh rayuan, ia akan memberi peluang kepada pemohon-pemohon yang gagal mendapat bantuan itu untuk mengemukakan rayuan," menurut kementerian dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan bersetuju pembayaran peringkat kedua BR1M 2015 dilaksanakan mulai 28 Mei ini.

Secara keseluruhan hampir 7.28 juta penerima telah mendapat manfaat daripada pemberian BR1M 2015 dan daripada jumlah itu 4.17 juta merupakan penerima bagi kategori isirumah di bawah pendapatan RM3,000. - BERNAMA

Nahas Germanwings:Pembantu juruterbang alami putus cinta?

Saturday, March 28, 2015 0 Komen

Nahas Germanwings:Pembantu juruterbang alami putus cinta?

Pembantu juruterbang pesawat Germanwings 4U 9525, Andreas Lubitz yang dipercayai sengaja menyebabkan pesawat itu terhempas di Perancis Selasa lalu didakwa mengalami ‘masalah peribadi’ dan masih menjalani rawatan ketika masa nahas itu berlaku.

Laporan dari Jerman meng­andaikan, lelaki berusia 28 tahun itu bergelut untuk mengatasi masalah putus cinta yang dialami­nya dengan sengaja menjunamkan pesawat Airbus A320 itu ke Banjaran Alps mengakibatkan 149 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Teori itu muncul hanya beberapa jam selepas polis yang menyiasat nahas itu mengumumkan bahawa mereka membuat ‘pe­nemuan penting’ semasa mengeledah apartmen Lubitz selama empat jam, dan dia dikatakan berkongsi kediaman itu dengan teman wanitanya.

Pegawai penyiasat, bagaima­napun enggan mendedahkan butiran tentang kemungkinan itu, namun menegaskan bahawa penemuan itu bukanlah satu nota bunuh diri, lapor Mail Online.

Malam tadi, polis menggeledah kediaman keluarga Lubitz di sebuah bandar kecil di utara Frankfurt dan sebuah apartment di Dusseldorf dan merampas sebuah komputer, komputer riba dan beberapa keping fail yang difahamkan menjadi tempat Lubitz menghabiskan kebanyakan masanya.

“Kami menemukan sesuatu yang akan diambil untuk diperiksa. Kami tidak boleh menyatakan perkara itu buat masa ini, namun penemuan itu mungkin menjadi petunjuk penting tentang apa yang berlaku. Kami berharap penemuan itu dapat memberikan beberapa penjelasan,’’ kata seorang jurucakap polis yang enggan dikenali.

Serbuan ke atas rumah Lubitz dipercayai dibuat selepas Pendakwa Raya Marseille, Brice Robin dalam sidang medianya mendedahkan maklumat daripada Perakam Suara Kokpit (CVR) bahawa Lubitz memang mahu memusnahkan pesawat Germanwings 4U 9525 itu.

Seorang sumber keselamatan berkata, sejurus menyedari pesawat itu sedang menjuman, kapten kapal menggunakan sebilah kapak untuk masuk ke kokpit selepas pintu kokpit itu dikunci dari dalam oleh Lubitz.

Semalam, majikan Lubitz me­ngaku bahawa pembantu juruterbang itu berjaya melepasi ‘jaringan keselamatan’ dan dia tidak sepatutnya terbang.

Selain itu, Lubitz yang gemarkan kecergasan itu dipercayai mengalami kemurungan dan ‘keletihan’ yang boleh menjejaskan kariernya dalam bidang itu.

Bagaimanapun, tidak disangka dia berjaya melepasi semua penilai­an psikologi dan dianggap layak untuk terbang.
- Utusan

Senarai barang dikecualikan GST

Saturday, March 28, 2015 0 Komen

Senarai barang dikecualikan GST

Menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhid­matan (GST) 1 April ini, Kementerian Kewangan hari ini memperluaskan lagi senarai barang dan perkhidmatan yang dikecuali­kan daripada cukai tersebut bagi memanfaatkan rakyat dan industri.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, senarai tersebut meliputi empat perkara iaitu bahan bacaan, ubat, yuran penyelenggaraan termasuk sinking fund kediaman dan perkhid­matan pendidikan.

Menurut Kementerian Kewa­ngan, pengecualian GST kini diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan termasuk surat khabar manakala majalah dan buku-buku lain yang bukan merupakan bahan bacaan dikenakan GST.

Kata kenyataan itu, langkah ini diharap dapat memastikan bahan bacaan yang dikecualikan GST tidak akan mengalami sebarang kenaikan dan seterusnya dapat me­ningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Selain itu, bilangan ubat yang dikecualikan GST di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat untuk memastikan ubat-ubatan di bawah senarai ini dapat meliputi semua dos dan kaedah pengambilan.

“Malah Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu untuk dikecualikan GST,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, yuran penyelenggaraan dan sinking fund yang sebelum ini hanya dikecuali­kan GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kini turut diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman yang dipegang di bawah hak milik strata.

Perkhidmatan pendidikan yang dikecualikan daripada GST turut diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran yang disediakan oleh penyedia latihan kemahiran yang menjalankan program yang diluluskan dan ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Selain itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu turut memberi penjelasan berhubung empat perkara iaitu GST ke atas perkhidmatan kesihatan, pertubuh­an bukan kerajaan (NGO) terma­suk institusi keagamaan, GST di zon perdagangan bebas dan gudang, serta barang yang dikecualikan cukai tersebut.

Menurut Kementerian Kewangan, perkhidmatan jagaan kesihatan oleh hospital, klinik, pusat rawatan dialisis dan seumpanya tidak dikenakan GST namun GST akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan rundingan yang diberikan oleh doktor bebas (independent doctor) yang tidak berdaftar sebagai kemudahan jagaan kesihatan.

“Di dalam membantu kemudah­an jagaan kesihatan swasta untuk mengurangkan kos untuk menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, sebanyak 120 jenis peralatan perubatan yang dibeli oleh hospital, klinik atau mana-mana kemudahaan jagaan kesihatan swasta diberi pelepasan GST,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Kementerian Kewangan turut menjelaskan barang yang dikecualikan GST termasuk susu formula bayi di bawah umur 36 bulan, semua jenis beras dan gula.

Sementara itu, tambah Kementerian Kewangan, bagi aktiviti NGO dan institusi keagamaan yang terlibat sepenuhnya di dalam aktiviti kebajikan atau keagamaan juga tidak dikenakan GST.

“Mengenai layanan GST di zon perdagangan bebas dan gudang, secara prinsipnya, pengenaan GST ke atas perkhidmatan yang dibekalkan tidak akan menambahkan kos perniagaan kerana apa-apa GST yang dibayar boleh dituntut semula sebagai kredit oleh syarikat yang berdaftar.

“Penelitian semula sedang dijalankan dan secara prinsipnya beberapa jenis perkhidmatan yang digunakan di dalam kawasan berikut akan diberi layanan khas. Langkah ini bagi memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan di dalam kawasan tersebut adalah kompetetif dan selaras dengan amalan di pe­ringkat antarabangsa.
“Keputusan mengenai jenis perkhidmatan yang akan diberi pelepasan GST akan dimaklumkan kepada pihak industri,” ujar kenyataan itu.~ Utusan

Tragedi Germanwings: Penyelamat cari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat

Thursday, March 26, 2015 0 Komen

Tragedi Germanwings: Penyelamat cari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat 

SEYNE, Perancis: Penyiasat mencari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat Jerman yang berkecai dan petunjuk mengapa kapal berkenaan kehilangan altitud selama lapan minit dan kemudiannya terhempas di pergunungan Alps menyebabkan 150 orang terkorban.

Beratus-ratus anggota bomba dan polis di Le Vernet melancarkan operasi besar-besaran di kawasan nahas yang bercerun, dan hanya boleh sampai dengan menggunakan helikopter atau mendaki.

Sementara itu, pakar di Paris menganalisis salah satu kotak hitam bagi mencari petunjuk mengapa pesawat Germanwings Airbus A320 terbabit terhempas dalam cuaca baik.


Presiden Perancis, Francois Hollande dan rakan sejawatan dari Jerman serta Sepanyol dijangka melawat lokasi nahas pada kira-kira jam 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) bagi memberi penghormatan kepada mangsa kebanyakannya rakyat Jerman dan Sepanyol - nahas terburuk di negara itu selepas empat dekad.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve berkata, pemeriksaan terhadap kotak hitam yang rosak itu, terkandung rakaman perbuatan dan bunyi dalam kokpit, akan dimulakan "dalam beberapa jam lagi".

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Alain Vidalies berkata, jika rakaman perbuatan dirakam, penyiasatan berkenaan akan berjalan "agak pantas".

"Selepas itu, jika kami perlu menganalisis bunyi, kerja itu akan mengambil masa beberapa minggu tetapi kerja itu boleh memberikan beberapa penjelasan," kata Vidalies.

Selain itu, kotak hitam kedua pesawat malang terbabit yang merakam data penerbangan masih belum ditemui.

Pegawai penyiasat sedang mencari petunjuk mengapa pesawat yang dikendalikan Germanwings, iaitu syarikat penerbangan tambang murah milik Lufthansa, dikatakan kehilangan altitud selama lapan minit ketika dalam penerbangan di antara Barcelona dan

Duesseldorf. - AFP

Tiada kenaikan tarif elektrik tahun 2015

Thursday, March 26, 2015 0 Komen

Tiada kenaikan tarif elektrik tahun 2015

Kerajaan mengulangi jaminan tarif elektrik tidak akan dinaikkan sepanjang tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Katanya, kerajaan sedang melakukan semampu mungkin untuk mengelak kenaikan itu dan memantau perubahan kos bahan bakar yang digunakan untuk menghasilkan tenaga  elektrik seperti gas asli berpaip, arang batu dan gas asli cecair (LNG).

"Tertakluk kepada kedudukan kos input ataupun bahan api. Pada masa ini, kerajaan memberikan subsidi kepada bahan bakar utama untuk elektrik seperti gas asli berpaip.  

"Kos bahan api arang batu pula ia begitu stabil dan kami ramalkan tidak banyak penurunan harga pasaran bagi arang batu," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.   

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin tahu sama ada kerajaan dapat memberi jaminan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan sepanjang tahun ini sekiranya harga bahan bakar untuk elektrik kekal seperti sekarang.   

Terdahulu, menjawab soalan asal Ahmad Fauzi yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menurunkan tarif elektrik Ongkili berkata, walaupun berlaku penurunan harga minyak dunia sejak pertengahan tahun lepas, ia tidak memberi kesan ketara kepada tarif elektrik.   

Katanya, ini kerana bahan bakar minyak hanya menyumbangkan satu peratus sahaja kepada keseluruhan campuran bahan bakar untuk menghasilkan tenaga elektrik yang campuran utamanya ialah gas asli berpaip, LNG dan arang batu.   

"Pada masa sama kos penjanaan elektrik berjaya dikurangkan kerana prestasi loji-loji jana kuasa arang batu telah meningkat sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar lain yang tinggi harganya," katanya.    

Menjelas lanjut, Ongkili berkata, susulan senario itu, terdapat penjimatan melalui mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) sebanyak RM726.99 juta dan kerajaan  memutuskan memberi penjimatan itu kepada pengguna di Semenanjung Malaysia dengan rebat RM2.25/kWj bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Jun depan.    

Katanya, keputusan ini akan melibatkan semua pengguna domestik dalam lingkungan pengguna melebihi 300kWj sebulan dan semua pengguna komersial dan industri.   

Mekanisme ICPT masih belum diimplementasikan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, namun selaras dengan penurunan harga minyak mentah dunia, terdapat  penjimatan dalam pelbagai bahan api.   

"Untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan bersetuju agar purata kadar tarif 34.52 sen/kWj diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj bagi Sabah dan Labuan bagi tempoh 1 Mac hingga  30 Jun 2015," katanya. - Bernama

Dubai International Airport World's Busiest A380 Hub

Wednesday, March 25, 2015 0 Komen

Dubai International Airport World's Busiest A380 Hub

Dubai International Airport has been named the world's leading hub for Airbus A380 operations in 2014, Emirates News Agency (WAM) reports citing Dubai Airports 2014 Yearbook.

The airport had 15,098 flights served by the aircraft to 39 destinations around the world last year, a rise from 10,608 services to 26 cities in the previous year.

The figures are based on published flight schedule data in the airline industry.

Growth in A380 movements was driven by expansion of the Emirates A380 fleet, with more than 50 of the Airbus planes currently in operation.

The next busiest A380 airport last year was London's Heathrow with 5,434 flights to 11 cities followed by Singapore's Changi Airport with 5,398 flights to 18 destinations.

The Dubai Airports 2014 Yearbook provides an in-depth update of the organisation's expansion plans at Dubai International Airport and Al Maktoum International Airport.


PKNP Umum Bonus 3 Bulan Berdasarkan Prestasi Untuk Kakitangan

Wednesday, March 25, 2015 0 Komen

PKNP Umum Bonus 3 Bulan Berdasarkan Prestasi Untuk Kakitangan

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), entiti yang mewakili kerajaan dalam urus niaga dan hal yang berkaitan kepentingan negeri, hari ini mengumumkan pemberian bonus tiga bulan secara purata, iaitu berpandukan penilaian prestasi dan perkhidmatan bagi 2014, kepada kakitangannya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ini merupakan kali pertama PKNP memberi bonus selepas 20 tahun tidak berbuat demikian.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, beberapa langkah penstrukturan dilakukan bagi memastikan PKNP mampu berfungsi dengan baik dan menyediakan ganjaran yang setimpal kepada kakitangannya.

"Ini bermakna bukan semua dapat bonus selama tiga bulan tapi akan berpandukan kepada 'performances based bonus' iaitu secara purata.

"Mungkin ada kakitangan yang dapat bonus selama sebulan, dua bulan dan ada juga yang tiga bulan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.

Zambry juga berharap PKNP akan terus maju dengan melihat sektor baharu yang lebih strategik selain fokus dalam penglibatan mereka, khususnya yang membabitkan sektor ekonomi, pembinaan dan sebagainya.

"Sejak saya memegang (jawatan pengerusi lembaga pengarah) lagi, saya berusaha untuk memastikan supaya dimensi PKNP ini dapat dilihat dan ditinjau semula bagi memastikan PKNP dapat berfungsi dalam penglibatan mereka khususnya melibatkan hal ehwal pembangunan dan juga sumber ekonomi di negeri Perak ini.

"Lantaran itu, saya gembira dengan pencapaian setakat ini iaitu mereka telahpun dapat menyediakan bonus kepada kakitangan.

"...ia adalah hasil daripada kerja yang dilakukan oleh semua pihak, maka wajar untuk diberikan ganjaran dengan kerja yang telah mereka lakukan," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata isu pentadbiran air tidak sepatutnya membabitkan politik sebaliknya perlu diurus dengan baik untuk memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri.

- BERNAMA

Amalan Tradisi Memindahkan Rumah (Usung Rumah) Bakal Lenyap

Wednesday, March 25, 2015 0 Komen

Amalan Tradisi Memindahkan Rumah (Usung Rumah) Bakal Lenyap

Amalan memindahkan rumah menggunakan kudrat manusia atau lebih dikenali sebagai "usung rumah" pernah mewarnai budaya masyarakat Melayu negara ini terutama di kawasan kampung.

Sejak zaman penjajah, hampir saban minggu kegiatan yang memperlihatkan semangat bergotong-royong masyarakat itu berlangsung namun amalan tradisi itu kini hampir lenyap akibat arus modenisasi.

Kewujudan perumahan moden dan pembinaan rumah-rumah konkrit di kawasan kampung menjadi faktor kegiatan usung rumah semakin lenyap meskipun semangat gotong-royong masih segar.

Lagipun kegiatan usung rumah hanya membabitkan rumah papan yang bertiang dan tidak boleh dilakukan bagi rumah batu dan konkrit.

PINDAH BERSAMA RUMAH

Seorang budayawan, Mokhtar Abdul Karim, 74, berkata, kegiatan usung rumah lazimnya membabitkan perpindahan penduduk dalam jarak dekat.

Apa pula yang mendorong mereka untuk turut membawa bersama rumah mereka ke lokasi baru?

"Ada penduduk yang teramat sayang rumahnya. Bila dia pindah, dia mahu bawa rumah sekali," katanya kepada Bernama.

Mokhtar, seorang novelis veteran yang mengguna nama pena Mokhtar AK, berkata faktor lain ialah struktur rumah itu dibeli oleh pihak lain menyebabkan ia diusung keluar ke lokasi baru yang ditetapkan pembeli.

Sebahagian besar generasi muda bukan sahaja tidak pernah mendengar perkataan usung rumah apatah lagi menyaksikan kegiatan itu.

Bagi warga emas, Sum Sanapi, 81, rumahnya juga pernah diusung sejauh lebih 500 meter dari tapak asalnya di Kampung Belanga Pudak, Perlis lebih 40 tahun lepas.

Rumahnya yang tersorok di pinggir hutan buluh dan tanah perkuburan dipindahkan ke tapak baharu yang lebih strategik.

"Rumah diusung menyeberangi tali air ke tapak baharu dan selepas itu diusung pula 'jelapang padi' (tempat menyimpan padi) ke tempat sama," kata wanita yang kini menetap di Telok Kachang.

BINA JAMBATAN BATANG KELAPA

Baginya tapak baharu lebih strategik kerana berhampiran tali air yang mempunyai banyak ikan selain terdapat hutan nipah yang memberi sumber rezeki.

Persiapan bermula dengan bergotong-royong membina jambatan menggunakan batang kelapa bagi membolehkan rumah itu diusung menyeberangi tali air.

"Masa itu tak ada jentera moden dan semua dilakukan dengan kudrat gotong- royong termasuk menebang dan mengusung batang nyoq (kelapa) satu demi satu," katanya mengimbau kisah silam.

Berdasarkan penelitian penulis, biasanya jarak usungan rumah tidak melebihi dua kilometer kerana untuk jarak yang lebih jauh, rumah berkenaan perlu diceraikan bahagian-bahagiannya dan dipindahkan dengan lori dan dipasang semula di tapak yang baharu.

Proses usung rumah bermula dengan hebahan kepada masyarakat termasuk melalui imam masjid selepas solat Jumaat mengenai gotong-royong itu.

Penganjur kegiatan usung rumah akan berdiri di sisi imam ketika pengumuman itu dibuat bagi membolehkan jemaah masjid mengenalinya.

Lazimnya kegiatan usung rumah dilakukan kira-kira seminggu selepas pengumuman dibuat dan ada yang dilangsungkan lebih awal.

Selain pengumuman di masjid, penganjur juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung atau pemimpin komuniti serta jiran-jiran bagi menjayakan kegiatan itu.

BULUH USUNGAN

Antara persiapan penting sebelum rumah diusung adalah penyediaan pengalas usungan daripada buluh bagi memudahkan kerja-kerja mengusung rumah.

Buluh-buluh yang ditebang secara bergotong-royong itu diikat ke rasuk rumah dan jumlah buluh yang digunakan bergantung kepada saiz rumah.

Rumah yang bakal diusung perlu dikosongkan daripada segala perabot dan barangan supaya mengurangkan berat kepada pengusungnya.

Penulis yang pernah melihat dan menyertai kegiatan usung rumah mendapati rumah yang berat pun dapat diusung secara mudah tetapi perlu diusung dengan berhati-hati.

Ini kerana jika pengusung terjatuh semasa bergerak beliau mungkin dipijak oleh pengusung lain memandangkan pergerakan rumah tidak boleh dihentikan secara mengejut.

Jika kegiatan itu dilihat dari lokasi tinggi, ia persis sekumpulan semut yang mengusung cebisan makanan dan pergerakannya perlahan serta dilakukan secara berhati-hati.

Biasanya sekurang-kurangnya 50 orang diperlukan bagi mengusung sebuah rumah bersaiz kecil dan angka itu lebih tinggi bagi rumah bersaiz besar.

PERANAN TEKONG

Selain pengusung rumah, turut berperanan penting dalam kegiatan itu ialah tekong atau penunjuk arah yang akan bertanggungjawab memastikan rumah yang diusung tidak melanggar pokok atau halangan lain.

Beliau akan memaklumkan jika terdapat halangan di hadapan termasuk bonggol, tunggul pokok atau kubang dan parit supaya para pengusung lebih berhati-hati.

Tempik sorak para pengusung adalah perkara biasa semasa kerja-kerja mengusung rumah namun suara tekong biasanya lebih lantang supaya boleh didengari mereka yang menyertai gotong-royong itu.

Tekong juga akan memaklumkan apabila rumah yang diusung tiba di tapak baharu dan beberapa orang telah bersedia menyelaraskan pelapik tiang sebelum rumah diletakkan secara tepat di lokasi.

Tradisi Usung Rumah

MENIKMATI JAMUAN SANTAI

Selepas berakhir kegiatan usung rumah, para peserta gotong-royong biasanya akan dijamu dengan bubur kacang atau bihun goreng selain minuman kopi.

Kepuasan dapat dirasakan oleh para pengusung dan tuan rumah selepas melihat rumah yang diusung dengan penyatuan kudrat, kerjasama dan toleransi itu tiba di tapak baharu dengan sempurna.

Sementara itu, beberapa kegiatan usung rumah dikesan di Perlis sejak 2010 termasuk di kampung Wang Belimbing, Kampung Sena, Kampung Jarak dan Kampung Katong.

Selain kegiatan usung rumah, para penduduk pernah bergotong-royong mengusung "jelapang padi" dan yang terbaru berlangsung di Gial, Perlis pada awal Mac.

Pastinya kegiatan ini akan tinggal sejarah tidak lama lagi jika rumah-rumah papan yang bertiang telah berganti dengan rumah batu dan konkrit.

Oleh Adnan Jahaya

- BERNAMA

 

ZONFINITI