Lenggok tubuh dan gayanya berpakaian mengalahkan anak dara sunti walaupun sudah berusia lewat 50-an.
Namun, sikap penggoda nenek terbabit membangkitkan kemarahan suri rumah selepas dia dikesan giat memburu dan menggoda lelaki tempatan sehingga menyebabkan suami hilang nafsu terhadap isteri masing-masing.
Apatah lagi, wanita warga Indonesia terbabit didakwa menggunakan ilmu hitam untuk menunduk dan menawan hati lelaki yang ingin dijadikan kekasih gelapnya, menyebabkan beberapa isteri kini sengsara apabila suami mereka ‘hilang ingatan’ dan membenci ahli keluarga tanpa sebab.
Kegiatan nenek gedik penggoda itu semata-mata untuk mendapatkan wang segera menyebabkan beberapa suri rumah yang tidak tahan dengan tingkah lakunya tampil membuat laporan polis.
Seorang daripada suri rumah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 45, mendakwa suaminya digoda nenek terbabit sehingga menjadi ‘bodoh’ dan tidak lagi dapat mengenali keluarganya sendiri.
Menurutnya, seksaan itu berlanjutan sejak empat tahun lalu apabila suaminya seolah-olah hilang ‘selera’ untuk menyentuhnya, jauh sekali untuk berbual mesra seperti pasangan lain.
Lebih malang, katanya, apabila suaminya enggan menjamah langsung hidangan atau lauk-pauk disajikan selepas diperintahkan wanita terbabit yang seolah-olah mengawal gerak-geri dan aktiviti harian suaminya yang sudah berjaya ‘ditawan’.
Katanya, rumah tangganya dulu amat bahagia sehinggalah mereka dikurniakan lima cahaya mata.
“Kehidupan saya dan suami pada mulanya harmoni sehinggalah wanita terbabit tiba-tiba muncul sekitar Ogos 2004 sebelum menggoda suami dengan pelbagai cara.
“Suami saya yang baru pencen daripada tentera menjadi buruan wanita tua terbabit yang menyedari dia memperoleh imbuhan lumayan sebaik bersara selain gaji bulanan sebagai kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.
Menurutnya, segala-galanya bermula selepas suaminya berkunjung ke rumah wanita terbabit di Jalan Klang Lama di sini.
“Sejak itu, suami enggan bercakap sepatah perkataan pun dengan saya ketika di rumah. Malah, dia sering ‘hilang’ begitu saja dan tidak pulang ke rumah sehingga beberapa hari,” katanya.
Menurut Nor, suaminya turut menjadikan rumah mereka di PPR Pudu Ulu, Cheras di sini tidak ubah seperti rumah tumpangan apabila hanya pulang untuk mandi dan menukar pakaian.
“Dia langsung tidak mahu mendekati atau tidur bersama saya dalam bilik. Dia lebih gemar tidur bersendirian di ruang tamu sebelum keluar bekerja keesokan harinya.
“Saya yang mulanya tidak mengetahui kewujudan nenek penggoda itu bagaimanapun berhasil mendapat maklumat selepas diberitahu beberapa rakan sekerja suami,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat itu, dia dan rakan karibnya pergi ke rumah sewa wanita terbabit untuk mendapatkan kepastian.
“Malangnya, ketika saya sampai wanita terbabit sudah menghilangkan diri dan didakwa pulang ke Indonesia kerana urusan keluarga.
“Saya yang dibenarkan memeriksa bilik sewa wanita tua itu terkejut apabila menemui pakaian seragam, seluar dalam dan beberapa pakaian milik suami tersimpan di dalamnya,” katanya.
Dia tambah terkejut apabila turut menemui diari milik wanita terbabit yang dilekatkan gambar suaminya selain beberapa gambar lelaki lain dalam keadaan ghairah berpelukan.
“Dalam kandungan diari itu, wanita tua terbabit meluahkan ayat-ayat cinta terhadap beberapa lelaki termasuk suami saya yang turut dijadikan ‘lelaki simpanannya’.
“Saya tambah terkejut apabila menemui dua keping gambar wanita terbabit bersama suaminya di Kediri, Indonesia, dalam satu majlis perkahwinan anak perempuan mereka yang turut disertai beberapa cucu mereka,” katanya.
Menurutnya, hubungan cinta terlarang itu turut menyebabkan suaminya kini menjadi agresif dan panas baran tanpa sebab sehingga dia pernah ditumbuk di mata dan dicekik hanya kerana cuba bertanya sesuatu.
“Dalam kejadian jam 11.30 pagi 8 April lalu, saya yang kesakitan terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras selepas dipukul suami,” katanya.
Nor berkata, penderitaannya berlanjutan sehingga kini menyebabkan dia hanya mampu mengalir air mata setiap kali mengenangkan nasib malangnya.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Godaan nenek gedik
Entri Lain
Permalink: Godaan nenek gedik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment