Fabrik songket yang menjadi warisan kebanggaan orang Melayu dikatakan pertama kali memasuki Tanah Melayu melalui Patani (Kedah) sebelum merebak ke Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu sejak abad ke-13 lagi.
Waktu itu teknik tenunan songket mempunyai pengaruh signifikan dari India selain pengaruh pemerintahan kerajaan Sriwijaya di Palembang.
Tradisi penggunaan songket sebagai persalinan perkahwinan diraja di Kelantan dan Terengganu ketika itu turut menjadikannya fabrik eksklusif yang ditenun khas oleh artisan istana menggunakan benang emas.
Tumpuan khusus diberikan terhadap kehalusan seni motif dan keharmonian warna, reka bentuk dan tekstur fabrik untuk menjamin kelembutan, ketahanan serta kemewahan songket yang tiada tolok bandingnya.
Sejak itu songket berjaya merentasi peredaran zaman ratusan tahun, dipelihara dengan baik dari generasi ke generasi.
Sehingga kini ia masih dianggap sebagai warisan seni Melayu yang paling dekat dengan jiwa rakyat tempatan.
Begitupun, kemajuan dalam teknologi pembuatan fabrik, sedikit sebanyak memberi tempias dalam pembuatan songket sebagaimana diusahakan oleh Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) yang berjaya menghasilkan songket kontemporari lembut.
Begitupun sentuhan moden ini tidak menghakis elemen-elemen tradisonal terutama dari segi corak dan motif songket.
Matlamat yayasan yang dinaungi oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah itu ialah mahu menjadikan songket lebih mudah diterima oleh setiap lapisan masyarakat, selain membawanya ke peringkat antarabangsa.
"Fokus utama yayasan adalah melindungi dan mengukuhkan warisan songket, pada masa yang sama melihat perkembangan industri songket tempatan melangkaui sempadan global.
"Kami berhadapan dengan tugas mencabar untuk mengubah pemikiran pengeluar yang menggunakan teknik menenun yang konvensional.
"Namun kami percaya dengan potensi sedia ada untuk merevolusikan industri ini, kita dapat melihat hasil yang lebih membanggakan seperti kejayaan menghasilkan jenis songket kontemporari ringan dengan mengekalkan ciri-ciri tradisional," titah baginda pada Malam Gala Songket di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut berangkat memeriahkan majlis, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Pelbagai produk eksklusif dipamerkan pada majlis tersebut termasuk buku 'Songket Revolution, nukilan pakar tekstil Noor Azlina Yunus selain cenderahati, aksesori dan barangan hiasan mewah disaluti fabrik songket.
Acara kemuncak malam itu adalah persembahan muzikal arahan Datuk Zahim Albakri yang menampilkan Ruminah Sidek (Mak Mah) sebagai narator, bertutur dalam loghat Terengganu, menceritakan sejarah warisan songket kepada cucunya.
Persembahan diselang seli dengan nyanyian penyanyi M. Nasir dan Faizal Tahir sambil tetamu dihidang santapan mata dengan peragaan busana daripada fabrik songket kontemporari ringan.
Koleksi busana songket itu dihasilkan oleh pereka fesyen terkemuka negara seperti Datuk Tom Abang Saufi, Radzuan Radziwill, Melinda Looi, Jovian Mandagie, Rizalman Ibrahim, Tangoo dan Pink Jambu.
YNTZ ditubuhkan dua tahun lalu bagi memperbaiki taraf hidup rakyat menerusi pembangunan industri seni warisan songket.
Antara inisiatif YNTZ termasuk mencipta peluang pekerjaan saksama kepada pekerja seni seperti penenun songket di samping memperkenalkan rekaan dan inovasi kraf tangan tempatan sekali gus meningkatkan nilai komersial serta memperluaskan pasaran kraftangan tempatan.
Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Sentuhan songket diraja
Entri Lain
Permalink: Sentuhan songket diraja
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment