Sengsara wanita Bhutan

Saturday, July 25, 2009

Ramai pengembara pernah menyatakan bahawa hanya orang paling lasak mampu bertahan dengan kehidupan sukar di Bhutan sebuah negara kecil di pergunungan Himalaya. Cuaca ekstrim, keadaan muka bumi yang bergunung-ganang, berikutan kedudukan negara itu yang terletak di kaki gunung, menambahkan lagi cabaran hidup kepada penduduk di negara antara yang paling miskin di dunia itu.

Keadaan ini dipercayai turut menyumbang kepada masalah kesihatan di kalangan wanita terutama wanita hamil sehingga menyebabkan kandungan mereka menghadapi masalah dan membawa kematian.

Laporan Status Kelahiran dan Kesihatan Kanak-Kanak 2009 menyatakan bahawa sekurang-kurangnya tiga orang wanita di negara yang mempunyai kira-kira 800,000 penduduk itu meninggal dunia setiap bulan berikutan komplikasi berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran bayi.

Antara masalah yang paling kerap berlaku ialah pendarahan berlebihan selepas bersalin yang menyumbang kepada 55 peratus kematian mereka.

Pengarah Kesihatan Awam Bhutan, Dr Ugen Dophu, berkata sikap ramai ibu di Bhutan yang lebih gemar melahirkan anak di rumah adalah punca utama yang menyebabkan jumlah tinggi kematian ibu bersalin di negara itu.

“Walaupun kebanyakan rakyat Bhutan menyedari perkara ini, hanya 50 peratus daripada mereka datang ke hospital untuk melahirkan anak dan mendapatkan rawatan lanjut. Pada masa sama, di sesetengah wilayah, masalah ini juga berpunca daripada mutu perkhidmatan kesihatan yang lemah,” katanya.

Dr Ugen berkata, masalah kematian ibu selepas bersalin lebih ketara di daerah sebelah selatan dan timur negara itu dan ini mungkin disebabkan kemudahan hospital dan rawatan perubatan moden yang perlu dipertingkatkan.

Di kalangan bayi baru lahir pula, katanya, jangkitan darah atau ‘sepsis’ menjadi penyebab kepada 34 peratus kematian di Bhutan. Kira-kira 50 peratus kematian ibu berlaku dalam tempoh 24 jam selepas mereka melahirkan anak, manakala bagi bayi ia biasanya berlaku dalam minggu pertama selepas bayi itu dilahirkan.

“Tempoh 24 jam pertama adalah masa yang amat kritikal kerana uri perlu dikeluarkan daripada rahim ibu dan ia boleh menyebabkan kematian jika gagal dilakukan. Bayi yang berusia seminggu biasanya meninggal dunia kerana mereka dilahirkan pramatang, tidak mendapat susu yang cukup dan lebih terdedah kepada jangkitan,” katanya.

Yayasan Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) meletakkan Bhutan pada kedudukan ke-45 antara 198 negara dengan jumlah kematian kanak-kanak berusia kurang lima tahun yang paling tinggi selepas Afghanistan. India berada pada tempat ke-49, Nepal (62), Sri Lanka (110), Bangladesh (58) dan Maldives di tempat ke-88.

Penyakit cirit-birit, buang air berdarah dan penyakit kurang darah masih menjadi penyebab utama kematian bayi di bawah usia lima tahun di Bhutan.

Ia juga menyatakan bahawa wanita di negara paling mundur menghadapi risiko kematian 300 kali lebih tinggi berpunca daripada kehamilan dan kelahiran bayi berbanding di negara maju, manakala kanak-kanak yang dilahirkan di negara sedang membangun mempunyai 14 kali lebih tinggi kemungkinan untuk mati pada bulan pertama berbanding bayi yang dilahirkan di negara maju.

“Keadaan kesihatan kanak-kanak di dunia, sudah pasti bergantung kepada kesihatan ibunya dan perkara ini juga sama dengan apa yang berlaku di Bhutan,” kata menteri pendidikan Bhutan Lyonpo Thakur Singh Powdyal ketika ditanya wartawan mengenai masalah itu.

Sementara itu laporan yang sama turut mencadangkan agar persekitaran lebih mesra wanita dan kanak-kanak diwujudkan, melalui peningkatan tahap pendidikan, menghormati hak dan melindungi mereka daripada keganasan rumah tangga serta penderaan.

“Kesejahteraan hidup seorang ibu akan membuka peluang untuk kesejahteraan anak-anak serta keluarga dan ini hanya akan dapat dilakukan jika taraf hidup dan pendidikan mereka dipertingkatkan,” kata laporan itu.

Oleh Shamsiah Sanin

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI