Sejak akhir-akhir ini, saya banyak membaca di akhbar berita-berita mengenai mereka yang ditangkap khalwat. Banyak sangat cerita khalwat dan banyak pertanyaan seperti bolehkah ditangkap semasa dalam pejabat atau bangunan? Sekarang ini, kita kerja tak tentu masa dan sampai lewat malam.
Bolehkah SIS memberi sedikit penjelasan mengenai isu khalwat ini?
Terima kasih.
Kejora Ali
Segambut, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Secara amnya di bawah perundangan Islam di Malaysia, peruntukan bagi khalwat dinyatakan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu mana-mana:
(a) Orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau
(b) Orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Jika disabit kesalahan, maka boleh didenda atau dipenjarakan. Oleh kerana undang-undang Syariah hanya tertakluk kepada orang Islam, maka orang bukan Islam tidak boleh dituduh dengan khalwat.
Pihak berkuasa yang boleh melakukan tangkapan khalwat adalah pegawai penguatkuasa dari Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama, pegawai polis atau imam sesuatu kawasan jika kawasan tersebut terletak jauh dari kawasan Pejabat Agama dan sukar bagi Pegawai Penguatkuasa untuk datang membuat tangkapan.
Orang awam tidak boleh membuat serbuan atau tangkapan khalwat ke atas seorang orang awam lain tetapi boleh membuat aduan kepada Pejabat Agama jika mereka mempunyai syak wasangka berlaku kesalahan khalwat di sesuatu tempat.
Kebiasaannya, semasa membuat serbuan khalwat, akan terdapat empat orang Pegawai Penguatkuasa dari Pejabat Agama atau Polis. Ini adalah tertakluk kepada pemahaman mengenai empat orang saksi lelaki yang diperlukan sebagai saksi jenayah syariah.
Apabila serbuan dibuat, jika anda dan pasangan berada di dalam sesuatu tempat yang tertutup, maka pegawai penguatkuasa sepatutnya akan meminta izin untuk memasuki bilik atau rumah tersebut.
Apabila anda membenarkan pegawai penguatkuasa masuk atau anda dan pasangan keluar daripada tempat yang tertutup tersebut, maka pegawai penguatkuasa akan memberi penjelasan mengapa mereka di situ.
Adalah penting bagi anda untuk meminta pegawai penguatkuasa menunjukkan kad kuasa mereka (sama ada Pegawai Pejabat Agama atau Pegawai Polis) bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Pasangan juga boleh kemudiannya menjelaskan kepada pegawai penguatkuasa mengapa mereka berada di kawasan tertutup tersebut.
Jika pegawai penguatkuasa tidak berpuas hati dengan penjelasan anda, maka mereka akan di bawa ke Pejabat Agama di mana butir-butir peribadi anda akan di ambil untuk siasatan lanjut.
Butir-butir yang biasanya di ambil adalah status perkahwinan, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon. Anda boleh mendapatkan khidmat bantuan peguam untuk membantu ketika proses soal siasat.
Sekiranya pejabat agama mahu mengambil tindakan maka dan pendakwaraya mendapati ada kes ke atas anda, maka proses mahkamah akan bermula.
Anda akan disaman ke mahkamah syariah dan meminta untuk hadir menghadapi tuduhan. Jika anda didapati bersalah, maka anda boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau mungkin juga boleh dipenjarakan.
Kadangkala apabila kes tangkapan yang dibuat tidak begitu serius maka anda akan diminta untuk bertaubat atau insaf sebelum pendakwaan diteruskan.
Ketika itu, tuduhan boleh digugurkan dan anda hanya akan diarahkan untuk menghadiri kaunseling di Pejabat Agama.
Anda juga boleh membuat aduan kepada pihak atasan sekiranya tidak berpuas hati dengan tingkah laku pegawai penguatkuasa ketika tangkapan dilakukan.
Bimbang ditangkap khalwat
Entri Lain
Permalink: Bimbang ditangkap khalwat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment