Kelibat ramai gadis jelita yang kerap muncul di sebuah klinik swasta di bandar raya ini, membongkar rahsia aktiviti sulit pusat kesihatan itu yang dikesan menjual ‘pil kurus goyang’ secara haram.
Lebih memeranjatkan, pil pelangsing ‘istimewa’ itu bukan hanya boleh menguruskan tubuh penggunanya, malah boleh disalahgunakan menjadi pil khayal persis Ecstasy jika diambil melebihi dos dibenarkan.
Kegiatan menyalahi peraturan terbabit terbongkar selepas sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan risikan selepas mendapat maklumat orang ramai.
Sumber berkata, hasil siasatan mendapati klinik terbabit kerap dikunjungi gadis dan wanita muda yang datang ke kaunter untuk membeli pil berkenaan yang dikenali sebagai Adipex retard.
Pegawai penguat kuasa farmasi yang mengesyaki penyelewengan penjualan pil itu melakukan serbuan di klinik terbabit sekitar jam 2 petang, baru-baru ini.
“Agak mengejut apabila klinik terbabit yang dibuka dari awal pagi, bagaimanapun tidak mempunyai doktor bertugas. Ketika serbuan hanya seorang pembantu klinik perempuan berusia 20-an sedang bertugas.
“Tambah mengejutkan apabila gadis pembantu klinik terbabit dengan selamba memberitahu ‘doktor tak ada di klinik, minggu depan baru ada’ kepada enam pegawai penguat kuasa yang membuat pemeriksaan mengejut,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kehairanan pegawai penguat kuasa mengenai bagaimana klinik terbabit boleh beroperasi seperti biasa tanpa kehadiran doktor bertauliah.
“Malah, ketika dihubungi, pemilik klinik terbabit yang juga seorang doktor mendakwa sedang berada di satu lagi kliniknya di Kelantan. Dia mendakwa terperanjat dan hairan mengapa kliniknya diperiksa sambil mempersoalkan motif pegawai berkenaan.
“Namun, selepas diberi penjelasan selain ditanya mengapa klinik terbabit dibiarkan tanpa doktor bertugas, lelaki berkenaan akur dengan tindakan itu,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati klinik terbabit membeli sehingga 20,000 kapsul ubat kurus Adipex retard, namun gagal mengemas kini rekod penjualannya.
“Ubat berkenaan yang dikawal penjualannya turut disimpan di tempat tidak berkunci. Berikutan itu, 20,000 pil terbabit dirampas untuk tindakan lanjut.
“Difahamkan, pil itu dijual dengan harga RM1 sebiji kepada orang ramai tanpa kawalan. Pil Adipex retard dengan kandungan aktif phentermine seharusnya digunakan untuk merawat kegemukan berlebihan,” katanya.
Namun, menurutnya, pil itu boleh disalahgunakan berikutan penggunaannya dalam dos tinggi boleh mendatangkan kesan sampingan seakan-akan pil perangsang Amphetamine Type Stimulant (ATS) yang ada dalam dadah syabu atau Ecstasy.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Racun dan jika sabit kesalahan doktor terbabit boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Pil langsing ‘gadis goyang’
Entri Lain
Permalink: Pil langsing ‘gadis goyang’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment