Masalah Nikah Kahwin Di Thailand/Siam

Thursday, July 30, 2009

Saya berkahwin di Thailand yang tidak didaftarkan di sini. Selepas beberapa bulan, saya bercerai dengan suami. Apakah status saya kalau mengikut prosedur undang-undang Syariah Malaysia? Adakah saya akan mengalami kesukaran jika saya hendak berkahwin lagi nanti? Untuk pengetahuan, segala dokumen (surat nikah) dimusnahkan demi menjaga keselamatan diri saya daripada diganggu suami. Harap dapat memberikan penjelasan.

INGIN TAHU

-------------

MENJADI peraturan bahawa apabila seseorang lelaki atau perempuan hendak berkahwin, dia perlu memohon kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam di daerah tempat dia bermastautin. Ini adalah ketetapan berdasarkan peruntukan Seksyen 16 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

Dalam kes tertentu iaitu jika bakal pasangan di bawah umur atau jika perempuan itu janda berhias atau jika perempuan itu tidak mempunyai wali nasab, maka dia perlu mendapat kebenaran bertulis hakim syarie tempat dia bermastautin, untuk dia dinikahkan secara wali hakim.

Ini diperuntukkan dalam Seksyen 18 Enakmen yang sama. Bagi lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada seorang isteri pada satu masa (poligami), maka lelaki itu juga perlu memohon kebenaran bertulis daripada hakim syarie tempat di bermastautin, iaitu berdasarkan peruntukan Seksyen 23 Enakmen yang sama.

Mengikut Seksyen 20 Enakmen, sesuatu perkahwinan tidak boleh diakadnikahkan kecuali dalam kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin, kecuali dalam kes tertentu setelah mendapat kebenaran hakim syarie untuk dia dinikahkan di tempat lain.

Seksyen 24 pula menyebut, perkahwinan boleh diakadnikahkan oleh pendaftar yang dilantik oleh Sultan di kedutaan, suruhanjaya tinggi atau pejabat konsul Malaysia di mana-mana negara tertentu yang tidak membantah pernikahan itu dijalankan di sana.

Jika seseorang lelaki atau perempuan bernikah berlawanan dengan undang-undang dinyatakan di atas, maka ia adalah sebahagian daripada nikah sindiket, walau apa pun cara dan gayanya. Sesuatu perkahwinan itu hanya akan menjadi sah sekiranya memenuhi semua syarat dan rukun ditetapkan hukum syarak.

Dalam masalah puan ini, tidak dapat dipastikan sama ada nikah itu sah atau tidak menurut hukum syarak. Pernikahan puan perlu dipanjangkan ke mahkamah syariah untuk pengesahan sama ada nikah itu sah atau tidak menurut hukum syarak. Yang pasti dari sudut undang-undang nikah itu tidak sah kerana dijalankan berlawanan dengan peruntukan undang-undang dan peraturan yang dinyatakan di atas.

Menurut Seksyen 11 Enakmen sama, sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan enakmen tidak boleh didaftarkan, melainkan perkahwinan itu disahkan hakim syarie bahawa ia sah menurut hukum syarak dan diperintahkan oleh hakim berkenaan untuk ia didaftarkan.

Berdasarkan seksyen ini, jelas bahawa hanya hakim syarie pihak yang diberi kuasa untuk mengesahkan nikah itu sama ada sah atau tidak dan hanya hakim syarie berkuasa mengarahkan nikah itu didaftarkan atau tidak.

Jika pernikahan puan membabitkan pernikahan poligami, maka ia tertakluk kepada Seksyen 23 (2) iaitu hanya mahkamah syariah berkuasa menentukan nikah itu sah atau tidak dan berkuasa memerintahkan pernikahan itu didaftarkan, tertakluk kepada penalti di bawah Seksyen 124 yang bakal dikenakan kepada suami yang berpoligami itu.

Status pernikahan puan di sisi undang-undang syariah adalah tidak berdaftar dan tidak mempunyai rekod bahawa anda pernah berkahwin, sehinggalah pernikahan itu disahkan dan didaftarkan. Status pernikahan puan menurut hukum syarak juga sukar untuk dipastikan, sama ada ia sah atau tidak.

Status perceraian puan juga adalah tidak berdaftar dan tidak mempunyai rekod mengikut undang-undang Malaysia. Begitu juga status perceraian itu menurut hukum syarak, kerana perlu dipastikan dulu sama ada nikah puan dan suami sah, barulah cerai itu boleh jadi sah.

Bagaimanakah puan katakan sudah bercerai jika nikah pun belum dipastikan sah atau tidak?

Saya nasihatkan puan dapatkan pandangan dan nasihat Peguam Syarie bertauliah, supaya hidup puan tidak terus dalam dilema yang tidak berkesudahan.

Jawapan disediakan Tuan Musa Awang, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI