Mengimbau kenangan 20 tahun lepas, dia sanggup melepaskan peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan (sesuai dengan kelulusannya) semata-mata kerana minat terhadap dunia kecantikan.
Menurut Maziah Ibrahim, naluri wanitanya kuat menyatakan keputusan itu adalah yang terbaik untuk diri dan masa depannya biarpun waktu itu perniagaan berasaskan kecantikan dianggap picisan oleh sesetengah orang.
''Bukan saya tidak mencuba malah pernah berkhidmat dalam bidang kejuruteraan namun selepas beberapa tahun timbul seperti satu kekurangan dalam diri saya," ujar anak jati Perak ini.
Jelasnya, bidang kejuruteraan yang dilihat sebagai lebih profesional tidak mampu memberi kepuasan lantas dia nekad mencuba nasib sebagai usahawan kecantikan.
''Masa itu saya rasa yakin dengan apa yang saya buat, malah sokongan suami, Harmain Hanifah dan keluarga menguatkan lagi tekad saya.
''Malah kejayaan beberapa usahawan kecantikan tempatan turut menjadi inspirasi saya. Apa yang pasti saya tidak tersilap pilih apabila berasa puas dapat menolong wanita lain kelihatan cantik,'' katanya.
Anak ke-10 kepada pesara polis ini, mengakui dengan berniaga sendiri jiwanya juga semakin tenteram apabila lebih mudah membahagi masa antara kerjaya dan rumah tangga.
"Semua itu tidak mungkin saya penuhi jika saya masih dengan kerjaya dalam bidang kejuruteraan. Dengan memilih untuk bekerja sendiri, saya mampu mengatur jadual harian mengikut keperluan.
''Anak-anak lebih terurus, bahkan saya juga masih sempat meluang masa mengikuti kelas-kelas agama dan aktiviti berpersatuan,'' ceritanya.
Bercerita detik awal pembabitannya dalam mengeluarkan produk kecantikan sendiri melalui syarikatnya yang diberi nama M's Touch Sdn. Bhd., Maziah berkata, dia mengorbankan wang simpanannya untuk dijadikan modal permulaan.
''Memang pada permulaannya agak sukar dan penuh dengan halang tetapi berkat kesabaran dan sokongan keluarga, alhamdulillah segalanya dapat saya hadapi.
"Bahkan cabaran dan pengalaman pahit manis dalam memulakan perniagaan menjadikan saya lebih matang,'' ujarnya.
Ditanya mengenai produk keluarannya, dia mengakui sehingga ke hari ini menjadikan dirinya dan seluruh ahli keluarga sebagai 'uji kaji' untuk melihat keberkesanan setiap keluaran.
''Bila kita cuba sendiri serta melihat keberkesanan produk itu, baru pelanggan yakin dengan keluaran kita,'' katanya.
Sehingga kini katanya, M's Touch berjaya menghasil set penjagaan wajah daripada pencuci muka, pelembap hinggalah kepada set pencerah.
Kesemua produk tersebut berasaskan buah-buahan segar yang boleh memperbaiki lapisan kulit rosak serta mampu merangsangkan kecergasan kulit.
Malah harga yang dikenakan juga berpatutan bermula dengan RM18 hingga RM59.
''Berprinsipkan murah dan kualiti, saya yakin semua wanita mampu memilikinya,'' katanya.
Daripada menghasilkan produk kecantikan, Maziah melangkah setapak lagi dengan menubuhkan spa yang menawarkan rawatan tubuh, wajah, sauna, resdung, mata dan sebagainya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Maziah dengan penuh tekad memberitahu impiannya ialah untuk mewujudkan sebuah pusat sehenti (one stop center) bagi kecantikan diri.
''Hasrat saya ialah membantu wanita tampil cantik dan sihat. Dengan adanya one stop center itu nanti bolehlah saya gabungkan kesemuanya di sini,'' ujarnya yang pernah mengendalikan kelas aerobik pada satu ketika dahulu.
Bagi ibu kepada Mas Diyana Nadirah,19, Mas Diyana Izzati,18, pasangan kembar Mas Diyana Nadiah dan Mas Diyana Iffah,15, Muhamad Adam,12, dan Mas Diyana Aishah,7, ini setiap wanita perlu ada matlamat agar perjalanan hidupnya lebih fokus.
''Bagi saya, setiap apa yang di usahakan mesti ada matlamat barulah kita tidak menyeleweng,'' katanya mengakhiri pertemuan.
Oleh ZUHAYATI YAZID
Perniagaan dunia kecantikan bukan picisan
Entri Lain
Permalink: Perniagaan dunia kecantikan bukan picisan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment