Menteri-Menteri Kesihatan Arab semalam sepakat untuk mengenakan sekatan terhadap sesetengah kategori jemaah termasuk warga emas dan kanak-kanak daripada menziarahi kota Mekah dalam usaha untuk mengekang penyebaran wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).
Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Mesir, Ibrahim al-Kerdani berkata, ibadah haji dan umrah akan diteruskan dengan beberapa syarat.
“Beberapa kumpulan akan dilarang menunaikan haji, mereka yang melebihi usia 65 tahun dan kurang 12 tahun serta sesiapa yang mempunyai penyakit kronik,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan menteri-menteri kesihatan Arab di sini semalam.
Menurutnya, keputusan tersebut bertujuan menghalang kumpulan berisiko dijangkiti daripada menyertai jemaah haji itu.
“Bagaimanapun keputusan masih belum disahkan oleh Kementerian Kesihatan setiap negara,” katanya lagi.
Pengarah WHO rantau Mediterranean Timur, Hussein Gezairi menjangkakan Riyadh akan mengesahkan saranan tersebut dan menambah adanya ‘persetujuan’ di kalangan menteri-menteri pada mesyuarat berkenaan.
“Kerajaan Saudi akan menjadikan (syarat ini) sebagai satu kemestian... Tiada sesiapa akan mendapat visa sekiranya ia tidak dipenuhi,” kata Hussein lagi.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al-Rabeeah berkata, kerajaan konservatif itu tidak akan mengehadkan bilangan visa untuk jemaah haji.
“Kami tidak mengubah peratusan untuk mana-mana negara, kami mengubah beberapa peraturan.
“Terpulang kepada negara itu sendiri untuk menggantikan (jemaah haji yang dilarang) dengan jemaah lain,” kata beliau kepada pemberita.
Tambah Abdullah, jumlah jemaah haji kali ini mungkin akan berkurangan.
Katanya lagi, aktiviti umrah juga dijangka mengalami penurunan walaupun jumlah kebiasaan mereka yang melakukan ziarah tersebut dijangka mencapai dua juta orang sebelum musim haji bermula kira-kira lima bulan dari sekarang.
Isnin lalu, Mesir menjadi negara pertama memberi amaran kepada golongan berisiko dijangkiti selepas seorang wanita negara itu menjadi mangsa pertama selesema babi di Asia Barat dan Afrika.
Pegawai kesihatan Mesir menjelaskan, kesemua yang baru pulang dari umrah akan dikuarantin.
Di Iran, seorang pegawai Kementerian Kesihatan pada Selasa lalu berulang kali mengingatkan rakyat berusia lanjut dan kanak-kanak agar mengelak dari melawat Arab Saudi ketika jumlah kes di negara itu meningkat kepada 16 orang.
Arab Saudi sendiri pada bulan lalu memberi amaran kepada warga emas dan wanita mengandung agar tidak mengerjakan haji kerana ancaman selesema babi, diikuti Oman pada 6 Julai lalu. – AFP
H1N1: 3 golongan dilarang tunai haji?
Entri Lain
Permalink: H1N1: 3 golongan dilarang tunai haji?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment