Animasi Saladin

Tuesday, January 04, 2011

Animasi Saladin terbitan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MdeC) merupakan animasi tempatan yang paling berjaya dihasilkan setakat ini. Ia bukan setakat berdasarkan mutu penerbitan, malah animasi dengan kerjasama saluran televisyen (TV), Al Jazeera Children’s Channel itu juga mendapat sambutan di luar negara.

Saladin yang berlatarbelakangkan Timur Tengah abad ke-12 mengisahkan tentang seorang lelaki yang menggunakan kelicikannya bagi menentang pelbagai kejahatan yang berlaku ketika itu.

Saladin bakal ditayangkan di stesen-stesen TV di lebih 20 buah negara mulai awal tahun ini. Setakat ini, Saladin telah pun ditayangkan di negara-negara seperti Bahrain, Maghribi, Tunisia, Lebanon dan Arab Saudi.

Saladin yang menelan kos RM15 juta termasuklah untuk penyelidikan dan pembangunan merupakan sebuah animasi dengan 13 episod setiap musim yang bertaraf antarabangsa.


Animasi musim pertamanya itu yang kini sedang ditayangkan di TV1 setiap Sabtu pukul 7.30 malam merupakan sebuah cerita popular yang diambil dari Timur Tengah.

Kos pembikinan Saladin bukan sahaja berbaloi, malah lebih membanggakan apabila 95 peratus tenaga kerja penerbitannya terdiri daripada anak-anak tempatan.

Kualiti animasi ini sama tarafnya dengan yang dihasilkan oleh studio di Hollywood seperti Pixar dan Dream Works. Saladin juga mempunyai produk-produknya sendiri.

Contohnya permainan video, komik dan barangan cenderahati lain termasuklah kemeja-T. Saladin yang menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar telah dialih bahasa apabila ia disiarkan di stesen-stesen TV di luar negara.

MdeC yang bekerjasama dengan syarikat produksi seperti Young Jump Sdn. Bhd., dan Imaginex Studios Sdn. Bhd., itu menggunakan lebih 90 tenaga pakar dalam bidang tersebut.

Saladin musim kedua akan menemui para penonton sebanyak 13 episod mulai September tahun ini. Ia juga akan dipasarkan di luar negara.

Bagaimanapun, Saladin yang kini sedang disiarkan menerusi saluran TV RTM kurang mendapat publisiti meluas.

Adalah sesuatu yang merugikan kerana tidak ramai terutama penonton tempatan termasuklah berusia daripada 10 hingga 15 tahun yang menyedari tayangan Saladin.

Siri animasi itu antaranya menggunakan suara ramai selebriti terkenal seperti Patrick Teoh, Asha Gill, Gavin Yap dan Tony Eusoff dengan durasi 26 minit bagi setiap episod.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI