`...Dalam Botol' di pawagam 24 Mac 2011

Sunday, January 09, 2011

`...Dalam Botol' filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman yang tertunda tayangannya akibat masalah dalaman yang dihadapi produksi filem itu dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akhirnya terungkai setelah kata sepakat dicapai dengan menetapkan tarikh tayangan pada 24 Mac depan di seluruh negara.

Keizinan mutlak untuk filem berkenaan ditayangkan kepada umum diperoleh Raja Azmi setelah bayaran yang ditetapkan itu berjaya dilakukan dengan bantuan pihak ketiga, David Teoh.

Menurut David, pembayaran itu dibuat bagi membolehkan filem yang berkisar mengenai kehidupan lelaki yang menukar jantina kerana cinta itu ditayangkan setelah agak lama tertangguh selepas pembikinan filem terbabit siap sepenuhnya tahun lalu.

"Saya cuma membayar 30 peratus daripada jumlah terbabit, manakala baki selebihnya akan dibuat oleh dia (Raja Azmi) sendiri selepas filemnya berjaya ditayangkan," katanya yang turut menjadi penjamin bagi bayaran balik berkenaan.

Walaupun berdepan beberapa masalah, Ahli Jawatankuasa Wajib Tayang membenarkan juga filem arahan Khir Rahman itu ditayangkan dan surat penetapan tarikh tayangan juga sudah dikeluarkan setelah pembayaran dibuat.

"Pembayaran 30 peratus itu adalah jaminan bagi FINAS untuk membenarkan filem itu ditayangkan dan selebihnya akan dibuat selepas keuntungan daripada tayangan filem itu," jelasnya.

Filem yang membariskan barisan pelakon baru dan lama seperti Wan Raja, Arja Lee, Diana Danielle, Ogy Ahmad Daud, Normah Damanhuri, Jalil Hamid yang mengisahkan kehidupan Ruby atau nama sebenarnya Rubidin (Arja Lee) yang bercinta dengan pasangan sejenis, Ghaus (Wan Raja).

Kerana terlalu mencintai Ghaus, Rubidin sanggup berkorban mengubah identitinya kepada Ruby dengan melakukan satu pembedahan menukar jantina.

Namun, perubahan Ruby itu menyebabkan Ghaus tidak dapat menerimanya dalam keadaan fizikal seperti seorang wanita sekali gus menyingkirkan Ruby daripada hidupnya.

Keadaan bertambah sulit apabila hormon lelaki dalam tubuh Ruby kembali menyerlah dan dia ingin kembali menjadi seorang lelaki. Malah Ruby mula jatuh cinta pada seorang gadis yang baik budi.

Kerana naluri dan keadaan fizikalnya kini, Ruby sedar jasadnya bukan lagi seperti seorang lelaki tulen kerana dia sudah pun membuang alat sulitnya dan hidup bertuhankan nafsu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI