Satelit RazakSat

Saturday, January 15, 2011

Sukar untuk menafikan amalan dasar luar sesebuah negara tidak kira sama ada melibatkan ekonomi, strategik, sosial atau kebudayaan, keberkesanannya banyak bergantung kepada keupayaan dan kehebatan ketenteraan sesebuah negara. Secara tersiratnya, lebih hebat ketenteraan sesebuah negara maka lazimnya kehendak geostrategik negara tersebut semakin mudah dilaksanakan.

Ini bukan memberi makna bahawa kekuatan ketenteraan digunakan secara nyata tetapi aura betapa gahnya teknologi ketenteraan negara tersebut sudah cukup untuk memberi nafas kepada setiap keputusan yang melibatkan negara lain. Perhatikan sahaja Amerika Syarikat kerana setiap dasar luar White House sentiasa dibayangi oleh kekuatan angkatan tentera mereka.

Sebab itu, China sebagai kuasa baru ekonomi dan politik antarabangsa tanpa segan silu memodenkan angkatan tentera mereka dengan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi tercanggih. Hebohnya mengenai kejayaan China melakukan uji pandu jet pejuang J-20 yang tidak dapat dikesan oleh radar adalah manifestasi jelas bagaimana Beijing memberi keutamaan kepada penerokaan teknologi terbaru. Pada ketika ini hanya AS yang memiliki jet pejuang sehebat J-20 iaitu Raptor F-22.

Walaupun China begitu sukar untuk mendapatkan kepakaran dan teknologi dari luar terutama sekali dari AS dan Eropah, tetapi kesungguhan dan kejayaan membangunkan satu projek menggunakan kepakaran tempatan begitu mengkagumkan. Tidak keterlaluan jika diandaikan keupayaan China dalam teknologi angkasa lepas pada hari ini adalah setara dengan AS. Lebih menakjubkan lagi jika AS mengambil masa lebih dari enam dekad untuk berada dalam keupayaan ketika ini, China memerlukan dua dekad sahaja.

Malaysia walaupun dianggap sebuah negara kecil tetapi tetap mempunyai dasar luar dan kepentingan geostrategik yang tidak dipengaruhi oleh negara yang lebih hebat. Tetapi ini bukan bermakna Malaysia mengamalkan dasar luarnya seperti mana AS atau China iaitu selari dengan kekuatan ketenteraan kerana kita tidak mempunyai keupayaan seperti itu. Begitu juga tumpuan dari segi kewangan atau masa terhadap sektor ketenteraan tidak dapat diberikan sepenuhnya kerana pembangunan sektor lain juga menagih simpati yang serupa.

Tetapi ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa negara memiliki teknologi separa ketenteraan yang tidak dipunyai oleh negara lain sehebat AS atau China. Teknologi yang dimaksudkan itu adalah satelit yang dinamakan RazakSat yang pada ketika ini sedang berada pada orbit hampir Khatulistiwa.

Istimewanya RazakSat adalah ia dibangunkan 100 peratus menggunakan kepakaran saintis dan jurutera tempatan melalui syarikat Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan. RazakSat telah dilancarkan pada 14 Julai 2009 di tapak pelancar Pulau Omelek, Kwajalein, Republik Kepulauan Marshall, Lautan Pasifik menggunakan roket pelancar Falcon-1 milik Space Exploration Technologies (SpaceX).

Mungkin masih ada mempersoalkan apalah sangat istimewanya RazakSat kerana di angkasa lepas pada ketika ini terdapat lebih daripada 3,000 satelit mengelilingi bumi. Mana mungkin dengan hanya satu RazakSat sudah mampu memberi kelebihan kepada kepentingan geostrategik negara.

Ada yang mempersoalkan keupayaan RazakSat yang mampu mengeluarkan imej yang mempunyai resolusi sehingga 2.5 meter tersebut dengan berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan kerana terdapat banyak lagi satelit yang mempunyai kemampuan jauh lebih baik dari RazakSat. Tanpa RazakSat pun, rakyat Malaysia boleh mendapat imej yang mempunyai keupayaan serupa umpamanya dari satelit SPOT milik Perancis.

Satu perkara yang paling menarik mengenai RazakSat yang tidak boleh diambil mudah ialah satelit tersebut merupakan satelit pertama di dunia yang berada pada orbit hampir Khatulistiwa. Keistimewaan orbit Khatulistiwa adalah RazakSat mampu membuat imbasan pada kawasan tertentu di Malaysia dan semua negara ASEAN sebanyak 11 hingga 14 kali dalam masa satu hari.

Kebanyakan satelit sedia ada (seperti SPOT) berada pada orbit polar yang memberi maksud bahawa imbasan ulangan hanya dapat dilakukan selang beberapa hari. Oleh kerana kawasan Khatulistiwa sering diliputi awan maka lazimnya imbasan tersebut akan ditutupi awan. Tetapi dengan beberapa imbasan selama satu hari, sudah pasti kelebihan RazakSat membawa manfaat yang tidak terhingga bukan sahaja kepada Malaysia tetapi semua negara yang berada dalam lintasan Khatulistiwa.

Sebagaimana Washington dan Beijing menggunakan pembangunan teknologi angkasa lepas sebagai kekuatan strategi dasar luar dan geopolitik masing-masing, Kuala Lumpur juga tidak terkecuali dari persepsi sedemikian rupa. Memang benar pembangunan sesebuah satelit memerlukan perbelanjaan yang begitu besar kerana RazakSat secara keseluruhannya telah menelan belanja melebihi RM150 juta.

Rakyat Malaysia seharusnya tidak hanya merasa puas hati dengan kejayaan setakat RazakSat sahaja kerana jangka hayat satelit tersebut akan tamat dalam masa beberapa tahun sahaja lagi. Jurutera dan saintis tempatan sepatutnya diberi peluang dan cabaran yang lebih hebat untuk mereka bentuk satelit yang mempunyai keupayaan melebihi RazakSat.

Walaupun RazakSat dianggap sebagai satelit sumber bumi iaitu untuk kegunaan alam sekitar umpamanya tetapi dengan keupayaan mengeluarkan imej sehebat resolusi 2.5 meter, maka berbagai bentuk aplikasi dapat diwujudkan. Misalnya, dengan keupayaan resolusi RazakSat kini, 50 peratus kesahihan aset ketenteraan dapat dikenal pasti. Jika keupayaan resolusi tersebut dipertingkatkan sehingga satu meter, maka aset ketenteraan dapat dikenal pasti ke tahap 100 peratus. Keupayaan saintis dan jurutera ATSB untuk mencapai keupayaan tersebut adalah tidak mustahil.

RazakSat merupakan manifestasi sebenar kekuatan politik Malaysia supaya negara tidak ketinggalan jauh dalam teknologi angkasa lepas. Ini kerana teknologi ini bukan hanya merangkumi ruang litup angkasa lepas tetapi yang lebih penting adalah ia memberi kesan terhadap kepentingan geostrategik negara.

Azmi Hassan
Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG),
Universiti Teknologi Malaysia.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI