Pasaran Bursa Malaysia di paras tertinggi 3 hari berturut-turut

Thursday, January 06, 2011

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pasaran saham Malaysia terus mengukuh pada hari ini apabila terus melonjak ke paras terbaik dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) meningkat 14.28 mata atau 0.9 peratus kepada 1,566.17 mata di akhir dagangan.

FBM KLCI merekodkan paras tertinggi setakat ini pada dagangan tengah hari apabila mencecah paras 1,571.85 mata.

Penganalisis pasaran tempatan berkata, dengan aliran dana asing ke dalam pasaran, sentimen pelabur kekal positif.

Katanya, mereka menjangkakan aktiviti pengambilan untung akan berlaku dalam masa terdekat ini, namun momentum kenaikan ini akan berterusan.

Kemungkinan untuk FBM KLCI mencecah paras 1,600 mata adalah sesuatu yang tidak mustahil.

Pada penutup dagangan sebanyak 547 kaunter untung, 320 rugi dan 273 diniagakan tidak berubah di Bursa Malaysia.

Sementara itu, pasaran saham Asia gagal mengekalkan rentak positif tahun baru apabila pelabur mengambil langkah mengaut keuntungan.

Pasaran saham Tokyo yang mencatatkan kenaikan sejak tujuh setengah bulan, jatuh 0.17 peratus atau 17.33 mata kepada 10,380.77 mata.

Manakala Seoul jatuh 0.12 peratus, Shanghai turun 0.49 peratus, Taipei merudum sebanyak 2.04 peratus.

Selain itu, Hong Kong meningkat 0.38 peratus dan pasaran saham Singapura meningkat 0.12 peratus.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI