Album DJ Fuzz Mixology 3 Mixtape Series

Tuesday, January 11, 2011

DJ Fuzz berkolaborasi bersama artis tempatan menghasilkan album Mixology 3 Mixtape Series.

Album kedua mixtape menampilkan artis hip-hop, soul, R&B dan Indie tempatan seperti Altimet, Tactmatic, Mizz Nina, Noh Hujan, Aizat dan alumni Akademi DJ Mixology.

DJ Fuzz masih meneruskan tradisi bekerjasama dengan deejay luar dari Kanada, Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Brunei bagi mendapatkan kombinasi muzik terbaik.

Tampil dengan konsep eksperimen, album ini memuatkan lima lagu Melayu dengan 18 lain dalam bahasa Inggeris.

Kata DJ Fuzz atau Farzwa De Attaher Emir, 33, pelancaran album terbaru bertajuk 'Mixology' membuka dimensi baru mengembangkan kemampuan deejay ke tahap lebih tinggi.

"Mengikut kefahaman biasa, masyarakat lebih mengenali deejay hanya memutarkan lagu atau berceloteh di konti. Zaman sekarang berubah, arus muzik berubah dan kerjaya deejay semakin diminati.


"Apapun, album baru menampilkan artis tempatan termasuk beberapa lain sepert Stix, Pryme Status dari AS, Big Calo dan Dandee (Thailand), Micbandits (Brunei) dan Vandal (Kanada) ini lain daripada lain.

"Dua album awal tidak menampilkan artis tempatan dan hanya lagu Inggeris. Berbeza kali ini, banyak aspek baru dan idea lebih cergas. Saya cuba gabungkan pelbagai genre. Cara ini popular di AS terutamanya gabungan seperti Eminem dan Dido.

"Mixology 3 mendapat sambutan positif pelbagai pihak. Sudah sampai masanya definisi deejay diperluaskan memandangkan semakin ramai berminat menceburi bidang ini. Jadi, ia perlu disuntik elemen lebih moden, terkini dan ceria," katanya berperanan sebagai penerbit dalam album ini.

Setakat ini, DJ Fuzz sudah berkolaborasi dengan lebih 50 artis. Sekalipun memiliki segulung ijazah dalam bidang perakaunan, DJ Fuzz lebih berminat mencapai impian menjadi deejay memberikan kebebasan menjadi lebih kreatif.

Lebih menarik, DJ Fuzz kini memiliki Akademi DJ Mixologi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Akademi berkenaan sudah menghasilkan ramai deejay berbakat besar. Antaranya, DJ Reeve muncul juara pelbagai pertandingan turntable serta baru bergelar juara Spin Master DJ Competition julung kali diperkenalkan di negara ini.

DJ Fuzz adalah anggota Krew Teh Tarik dan kru Stylustiks bersama DJ Cza dan DJ Uno.

"Ramai bertanya kenapa tidak jadi akauntan? Minat bidang ini. Lebih baik manfaatkan ilmu dipelajari dalam bidang akaun diketengahkan untuk membantu karier diminati. Syukur Alhamdulillah, setakat ini semua dilakukan mendapat sokongan baik pelbagai pihak.

"Minat mendengar hip-hop dan 'slide' turntable bermula pada 1983. Ketika itu terpandang artis elektro funk Grammy Award, Herbie Hancock muncul di televisyen, cara serta pendekatan digunakan menarik perhatian yang mengubah saya hinggalah keadaan sekarang.

"Saya bermula dari bawah dan akhirnya bertugas sebagai deejay Laundry Bar. Sekarang saya perlu memandang lebih jauh, tingkatkan prestasi demi kepuasan peminat dan pendengar," kata Fuzz, anak sulung pembaca berita RTM, Farit Ismeth Emir.

Bercakap mengenai akademi serta minat menceburi bidang deejay, DJ Fuzz berkata, dia dalam proses menyiapkan buku memberi garis panduan untuk menjadi deejay.

"Saya baru mengumpul pelbagai data untuk menerbitkan buku berkenaan. Ia sedikit sebanyak memberi panduan terhadap anak muda atau sesiapa saja berminat menceburinya. Saya jangka ia akan berada dalam pasaran pada pertengahan tahun ini," katanya.

Ketua A&R Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd, Mokhtaza Ahmad meluahkan rasa bangganya terhadap kemampuan bakat tempatan seperti DJ Fuzz berkolaborasi dengan pelbagai artis.

"Saya ucap tahniah kepada DJ Fuzz. Dia bekerja keras mencari idea serta bekerjasama mencipta lagu melalui e-mel bersama artis luar.

"Hasil kerja DJ Fuzz tinggi nilainya. Bakat tempatan seperti ini perlu dipuji kerana dia berani dan rajin mencari pembaharuan dengan cara tersendiri. Tugas dilakukan bagus dan mesti diteruskan," kata Fuzz, mirip wajah pengarah filem, Azhari Zain dengan topi berstail Maher Zain.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI