Misteri dan keliru melanda saintis Amerika Syarikat (AS) bila kira-kira 450 ekor burung pelbagai spesies jatuh dari langit dan ditemui mati di sebatang lebuh raya di Pointe Coupee Parish dekat Baton Rouge, negeri Louisiana pada Isnin lalu.
Kejadian itu berlaku selepas hampir 5,000 ekor burung hitam mati apabila jatuh dari langit di bandar Beeba di negeri Arkansas yang berjiran dengan negeri Louisiana pada Jumaat lalu.
Kelmarin stesen televisyen Paducah melaporkan seorang wanita di Gilbertsville, Kentucky yang memperkenalkan diri sebagai Sandy menemui berdozen-dozen burung mati di pekarangan rumahnya.
Seorang jurucakap Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar Kentucky, Mark Marraccini mengesahkan bahawa ratusan burung ditemui mati pada minggu lalu dekat kampus Universiti Murray State.
Seorang doktor haiwan di negeri Louisiana, Jim LaCour berkata: "Saya tidak menemui sebarang kaitan dengan kedua-dua kejadian itu."
Menurutnya, burung itu mati kemungkinan disebabkan melanggar talian elektrik atau kenderaan dalam waktu malam.
Sebanyak 24 haiwan itu didapati mempunyai kecederaan di kepala, leher, paruh dan belakang badan.
Burung itu mati di antara malam Ahad atau awal Isnin lalu di kawasan luar bandar 48 kilometer dari barat laut Baton Rouge.
Spesies burung yang mati itu terdiri daripada burung perling, burung hitam bersayap merah dan burung lembu.
Kira-kira 50 ekor burung mati dekat sebatang tiang elektrik. Kira-kira 400 meter dari tempat kejadian itu, sejumlah 400 atau lebih ekor burung ditemui mati di tepi lebuh raya.
Seorang profesor biologi dan pengasas Institut Kajian Kelakuan Burung di Kolej William & Marry, Dan Cristol berkata, burung itu mungkin menghidap sakit atau terkejut menyebabkan ia keluar dari sarang dan kemudian melanggar talian elektrik.
"Haiwan itu tidak akan melanggar talian elektrik tanpa sebab," katanya.
Beberapa pegawai di Arkansas dan Louisiana menghantar bangkai burung itu ke Pusat Kesihatan Hidupan Liar Kebangsaan di Madison dan Universiti Georgia untuk dikaji.
Sebelum ini, terdapat teori bahawa burung yang mati di bandar Beeba, Arkansas adalah disebabkan oleh trauma letupan bunga api sambutan tahun baru.
Penemuan misteri itu berlaku selepas lebih 100,000 ikan ditemui mati di Sungai Arkansas di negeri Arkansas pada minggu lalu. - Agensi
0 Komen:
Post a Comment