Statusnya Osama Bin Laden sebagai musuh nombor satu Amerika dan didakwa Washington sebagai perancang utama serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 sudah cukup menjulang namanya dalam sejarah untuk tempoh cukup lama.
Namun masih ada sesuatu lain yang ditinggalkan Osama dan pastinya turut melakar sejarah tersendiri dan menarik untuk diikuti - enam wanita yang pernah menjadi suri hatinya biarpun hanya tiga kekal menemaninya ke saat akhir. Lebih menarik lagi, perkahwinannya itu turut dikurniakan lebih 20 cahaya mata biarpun angka sebenarnya tidak diketahui.
Pemimpin kelahiran Arab Saudi berusia 54 tahun itu meninggalkan zaman bujangnya pada usia semuda 17 tahun apabila mengahwini Najwa Ghanem, sepupunya pada tahun 1974. Perkahwinan yang diatur keluarga itu akhirnya menemui noktah pada 2001, sebelum serangan 11 September dilancarkan.
Namun perkahwinan 27 tahun itu diserikan kehadiran 11 anak termasuk Abdullah, yang kini menerajui firma pengiklanan di Jeddah, Arab Saudi; Saad, yang mungkin maut dalam serangan Amerika di Pakistan pada 2009; Omar, seorang ahli perniagaan yang mencetuskan kontroversi mengahwini wanita Britain, Jane Felix-Browne pada 2007 dan Mohammed, dipercayai anak kesayangan Osama, yang mengahwini anak perempuan orang kanan al-Qaeda, Mohammed Atef. Mohammed terbunuh dalam serangan Amerika pada 2001.
Najwa kemudian bermadu dengan Khadijah Sharif yang sembilan tahun lebih tua daripadanya pada tahun 1983 dan mereka memiliki tiga anak. Khadijah berpendidikan tinggi dan didakwa berketurunan Nabi Muhammad. Mereka kemudian bercerai ketika menetap di Sudan pada 1990-an dan Khadijah dilaporkan kembali ke Arab Saudi. Menurut pengawal peribadi Osama, Khadijah yang memohon untuk bercerai kerana tidak sanggup lagi hidup susah dengan pemimpin al-Qaeda itu.
Isteri ketiga Osama pula bukan calang-calang sebaliknya diatur sendiri oleh Najwa. Khairiah Sabar yang mengahwini Osama pada 1985, juga wanita berpendidikan tinggi dengan kelulusan peringkat doktor falsafah dalam undang-undang Islam. Namun, tidak diketahui sama ada wanita itu selamat dalam serangan pada 2001 ke atas kem al-Qaeda di Afghanistan. Anak lelaki pasangan itu, Hamza pula dilingkari pelbagai laporan yang ada mendakwanya mati dibunuh dalam operasi ketenteraan Amerika minggu lalu, manakala satu lagi laporan media mendakwa dia berjaya memboloskan diri. Hamza ditampilkan dalam video al-Qaeda sebagai remaja dan dilatih untuk memimpin pertubuhan yang diasaskan oleh bapanya. Dia juga pernah disebut dalam autobiografi bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, yang diterbitkan selepas kematiannya, sebagai merancang pembunuhan wanita itu.
Kuota memiliki isteri dalam Islam cukup buat Osama apabila dia mengahwini Siham Sabar sebagai isteri keempat pada tahun 1987 dan memilik empat anak termasuk Khalid yang pada awalnya disangka Hamza. Siham juga dikatakan berketurunan Nabi Muhammad. Siham kekal di Afghanistan dengan Osama selepas serangan 11 September dan tidak diketahui sama ada dia atau anaknya selamat dengan kempen ketenteraan Amerika pada 2001 di negara itu.
Tidak lama selepas Khadijah meninggalkan Osama pada tahun 1990-an dan kembali ke Arab Saudi, Osama memenuhkan semula kuota empat isteri dengan mengahwini seorang wanita lain di Khartoum, Sudan. Namun tidak banyak diketahui mengenai perkahwinan kelimanya kerana ia dibatalkan dalam masa 48 jam!
Perkahwinan keenam Osama terjadi apabila pemimpin itu dihadiahkan dengan seorang gadis, Amal Ahmed al-Sadah, 17, sebagai isteri pada 2000 iaitu ketika Osama berusia 44 tahun, sebagai tanda memeterai perjanjian antara Osama dan satu puak yang dilihat berpotensi merekrut anggota al-Qaeda di Yaman.
Perkahwinan Osama dengan Amal itu juga dilaporkan diatur oleh pemimpin al-Qaeda di Yaman, Sheikh Mohammed Rashed Saeed Ismail.
Menggambarkan Amala, Sheikh Mohammed Rashed, berkata: “Berasal dari keluarga sederhana Yaman, Amal boleh hidup susah dengan Osama dalam gua di kawasan pergunungan dan menjadi seseorang yang boleh Osama bentuk.
“Amala juga tidak kisah mengahwini lelaki sebaya bapanya dan amat percaya menjadi isteri yang taat dan setia kepada suami akan memberinya tempat di syurga.”
Amal yang berwajah cantik, tinggal bersama-sama Osama di Abbottabad, Pakistan sejak 2005 sehinggalah ke saat kematiannya. Malah, dia dikatakan sanggup bergadai nyawa menjadi perisai Osama daripada serangan komando Amerika, yang menyebabkannya turut cedera ditembak pada kakinya.
Anak pertama mereka dilahirkan sejurus selepas serangan 11 September 2001 yang dinamakan Safiya, sempena nama seorang tokoh wanita yang membunuh perisik Yahudi. Safiya dilaporkan berada dalam kediaman berkenaan ketika serbuan yang meragut nyawa bapanya. Tidak diketahui sama ada pasangan itu mempunyai anak lain. Namun, berita kematian Osama disambut kini menebarkan berita mengenai ramainya lelaki, khususnya di Yaman yang sudi mengahwini janda Osama ini andai Amal kembali ke negara asalnya.
Setakat rencana ini ditulis, Amal dilaporkan masih dalam tahanan Pakistan dan menjadi sasaran pihak berkuasa Amerika untuk ditahan. Sudah pasti nasibnya selepas ini akan diekori rapat ramai yang bukan saja mahu mengetahui kesudahan dirinya.
Biar apa yang dilabelkan Amerika dan dunia kepada Osama, cuma wanita yang pernah berkongsi hidup dengannya yang lebih mengenali pemimpin al-Qaeda itu.
Oleh Hazirah Che Sab
0 Komen:
Post a Comment