Lirik nukilan S. Amin Shahab bukan sahaja kena dengan melodi lagu yang digubah tetapi ia juga menampilkan mesej-mesej yang mendalam maksudnya mengikut pemahaman yang berbeza daripada para pendengarnya.
Malah, penulis lirik dan pelukis berusia 57 tahun ini tidak menafikan kebanyakan lirik garapannya berlandaskan pengajian ilmu tasauf yang boleh mengaitkan seorang hamba dengan pencipta-Nya.
"Kebanyakan lirik lagu ciptaan saya sedikit sebanyak menampilkan unsur-unsur sufisme dan tasauf atau sekarang ini ia lebih dikenali sebagai ketuhanan. Mungkin ramai yang tidak perasan dengan mesej itu.
"Ini kerana ramai yang beranggapan lirik-lirik tulisan saya bertemakan kisah cinta. Tetapi sebenarnya, ia rasa kecintaan yang lebih tinggi antara manusia dan Tuhan. Elemen itu ada dalam setiap diri manusia.
"Cuma ramai yang tidak tahu atau sengaja tidak mahu ambil tahu akan hakikat tersebut," katanya kepada S3 sewaktu berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Selayang, Selangor baru-baru ini.
Pendekatan anak seni berasal dari Batu Pahat, Johor ini dapat dilihat menerusi judul lirik hasil ilhamnya, Umpama Mimpi Dalam Mimpi yang dipopularkan oleh kumpulan Damasutra pada tahun-tahun 1990-an.
S. Amin Shahab atau nama sebenarnya Syed Mohd. Amin Syed Hashim berkata, judul lirik seperti itu bukan setakat unik tetapi ia turut mengandungi maksud-maksud yang mendalam penghayatannya.
"Lirik Suci Dalam Debu misalnya, mempunyai maksud yang mendalam di mana ia juga berunsurkan ketuhanan. Di Indonesia para peminat menggelar lagu itu dengan gelaran lagu tayamum.
"Saya tulis lirik itu dalam masa 30 minit. Mesej lagu itu berdasarkan pengalaman dan pemahaman saya dalam ilmu tasauf yang saya pelajari selama ini," ujarnya mengungkap cerita di sebalik lagu itu.
Selain menghasilkan lirik bertemakan ketuhanan, bapa kepada Sharifah Nur Aisyah, 19, Sharifah Nur Atiqah, 17, dan Sharifah Nur Anisah, 15, ini juga tidak melupakan isu-isu sosial dalam masyarakat.
Beliau contohnya, banyak mengungkap isu-isu sosial dalam lirik tulisannya yang penuh dengan sindiran seperti Kupu-Kupu Malam, Sindrom Kotaraya, Satu Catitan dan Suasana Di Tasik Perdana.
Bukan setakat menyerapkan elemen-elemen tasauf menerusi lirik lagu, tetapi Amin juga menggunakan medium lukisan sebagai satu lagi wadah bagi mengetengahkan mesej-mesej murni tersebut.
Suami kepada Junaidah Johari, 48, yang juga bekas anggota kumpulan trio Ideal Sisters yang popular pada tahun-tahun 1980-an ini memaparkan banyak elemen ketuhanan di sebalik lukisan-lukisannya.
"Lukisan terbaru saya berjudul Hukum Kasih yang memaparkan potret dua orang tokoh agama yang juga dikatakan wali Allah iaitu Tok Kenali dan Tok Lombok telah pun saya siapkan pada tahun lalu.
"Di setiap lukisan saya, akan sertakan diskripsi supaya ia boleh dikaitkan dengan apa yang dipaparkan di sebalik gambar tersebut. Ia sesuatu yang abstrak dan mengikut pemahaman sendiri," jelasnya.
Pada sisi lukisan itu, Amin menulis ayat, 'Kepada-Mu Kekasih adalah tariqat. Hukum kasih adalah hakikat. Tok Kenali, Tok Lombok ku kenal dalam mimpi. Ilmu tuk, tuk sorok, ku jumpa dalam hati.'
Pada masa sama, dia kini sedang menyudahkan potret sembilan wali Allah yang terkenal di Indonesia yang dikenali sebagai Wali Songo di mana empat daripadanya sudahpun disiapkannya.
"Saya telahpun melukis empat daripada sembilan wali itu iaitu Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonong dan Sunan Kudus. Semuanya akan siap pada tahun depan. Satu pameran khas akan diadakan," katanya.
Penulis lirik terbaik menerusi lagu Suci Dalam Debu pada Anugerah Juara Lagu 1990 ini berkata, dia juga kini sedang menyiapkan lukisan terpanjangnya iaitu sepanjang satu kilometer yang menjadi impiannya.
Amin yang mula melukis 1,001 wajah di seluruh dunia sejak 2004 itu akan menyudahkan baki sekitar 200 meter lukisan itu dalam waktu terdekat ini.
"Sepanjang menyiapkan lukisan itu, saya telah menggembara ke banyak negara seluruh dunia antaranya ke China, Mexico, Sri Lanka, Kemboja, Mesir, Greece, Turki, India dan United Kingdom.
"Sewaktu berada di London pada 2008 saya telah menyiapkan 20 meter lukisan itu yang memaparkan Sungai Thames. Sayangnya buat masa ini, projek itu seakan-akan terbengkalai.
"Setakat ini, tiada maklum balas daripada pihak Balai Seni Lukis Negara bagi membantu saya menyiapkan lukisan itu. Rasa kecewa juga. Saya terpaksa mencari dana sendiri untuk menyiapkannya kelak," harapnya.
Jika berjaya disiapkan, lukisannya itu akan dimasukkan ke dalam buku Malaysia Book of Records sebagai lukisan terpanjang di Malaysia yang memaparkan tempat-tempat menarik di dunia.
Lirik S. Amin Shahab berunsur tasauf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment