Scotty McCreery bergelar pemenang program nyanyian American Idol musim kesepuluh (AI10) selepas menewaskan pesaingnya Lauren Alaina pada pentas akhir yang berlangsung di Nokia Theatre, di sini, Rabu.
Persaingan sengit dua peserta yang memperjuangkan genre muzik country itu menyaksikan McCreery mengetepikan Alaina dengan undian sebanyak 122 juta.
"Saya tidak pernah menjangkakan langsung. Saya perlu berterima kasih kepada Tuhan terlebih dulu... Dia yang menyebabkan saya berada di sini," kata remaja berusia 17 tahun yang sinonim dengan ton suara yang besar dan dalam.
McCreery dan Alaina,16, juga merupakan dua peserta paling muda yang pernah bertanding dalam sejarah AI.
Pada pertandingan itu, Alaina yang mengalami kecederaan serius pada peti suaranya tetap berjaya mempersembahkan vokal yang memukau yang mendapat pujian daripada barisan juri.
Bagaimanapun, McCreery yang tidak pernah berdepan risiko penyingkiran sepanjang kempen musim ini berjaya menewaskan Alaina kerana populariti yang dimilikinya.
McCreery adalah juara lelaki keempat program realiti itu selepas. Kali terakhir AI dimenangi oleh peserta wanita adalah pada musim 2007 menerusi Jordin Sparks.
Jumlah undian keseluruhan untuk musim ini mencecah 750 juta, seperti yang diumumkan oleh pengacara program itu Ryan Seacrest.
McCreery berduet dengan bintang country Tim McGraw dalam lagu Live Like You Were Dying, manakala juara musim keempat, Carrie Underwood kembali ke pentas AI apabila berduet dengan Alaina untk lagu Before He Cheats.
Pada malam Selasa, Alaina menyampaikan lagu Flat on the Floor, Maybe It Was Memphis dan Like My Mother Does. McCreery pula menyampaikan lagu barunya I Love You This Big, Gone dan Check Yes or No.
Penyanyi Beyonce dan Tony Bennett antara artis yang membuat persembahan pada malam keputusan itu. - AP
0 Komen:
Post a Comment