Budaya perkahwinan masyarakat Bengalee

Tuesday, May 24, 2011

Sama tapi tidak serupa. Begitulah gambarannya jika mahu diperincikan budaya perkahwinan dalam masyarakat Bengalee berbanding kaum India lain. Mereka juga Hindu seperti kebanyakan India lainnya, namun dalam soal perkahwinan ada beberapa amalan budaya yang nampak berbeza.

Selain tidak memakai thali iaitu ikatan tali di leher yang dipakai penganut Hindu sebagai tanda perkahwinan, orang Bengalee juga tidak menyempurnakan perkahwinan di kuil. Bagi mereka, rumah adalah segala-galanya. Bermula hari sebelum perkahwinan sampai ikatan itu disempurnakan, semuanya berlaku di rumah.

Bercerita mengenai thali, orang Bengalee menggunakan kaedah lain sebagai lambang seorang wanita itu sudah berumah tangga. Beberapa gelang khas yang diberi semasa ikatan perkahwinan disempurnakan menjadi tanda khusus yang menghiasi pergelangan tangan wanita Bengalee. Ia perlu dipakai sentiasa sehingga ikatan itu terungkai sama ada akibat kematian suami atau berlaku perpisahan.

Memperincikan upacara perkahwinan orang Bengalee, keunikannya bermula seawal sehari sebelum majlis. Ia dikenali sebagai Aiburobhat, iaitu upacara khusus di mana lelaki dan wanita yang bakal berkahwin dijamu makanan paling mereka sukai sebagai santapan terakhir seorang yang masih bujang.

"Apa saja mereka (bakal suami dan isteri) nak makan, kita jamu. Tidak kira apa saja, keluarganya akan sedaya upaya sediakan. Ia penting dalam dalam masyarakat ini sebagai tanda keluarganya meraikan apa yang bakal berlaku keesokan harinya iaitu lelaki dan wanita itu akan hilang status bujang mereka.

"Upacara itu berlaku berasingan. Lelaki dijamu di rumahnya sendiri begitu juga wanita. Upacara tidaklah sebesar mana, hanya membabitkan keluarga terdekat. Namun, ia meriah kerana ketika itu semuanya sudah berkumpul dan makan bersama," kata jurulatih kesenian Bengalee, Ranjita Roy, 41.

Hari perkahwinan yang ditunggu-tunggu bermula seawal jam 4 pagi, di mana bakal pengantin bangun awal dan perlu menjamah sedikit makanan. Pada hari itu mereka perlu berpuasa sehingga majlis perkahwinan selesai, selalunya lewat malam.

Berpuasa bagi mereka ialah tidak boleh makan tetapi boleh minum. Selepas makan, kedua-dua mereka akan mandi kunyit tetapi proses itu hanya bermula selepas mereka menerima hantaran kunyit dan minyak daripada pihak lain. Ini bermakna, pihak lelaki perlu hantar minyak dan kunyit ke rumah wanita dan begitu juga sebaliknya.

Kedua-dua bahan itu perlu digaul bersama dan seterusnya dilumur ke seluruh badan bakal pengantin. Ia dilakukan semua keluarga yang ada ketika itu. Adat sebegini rasanya tidak asing dalam kalangan penggemar filem Hindi kerana sering digambarkan sebegitu.

"Kunyit adalah satu bahan yang dianggap boleh menyucikan diri pasangan itu. Kedua-dua pihak perlu buat. Ketika menghantar kunyit dan minyak itu, pihak lelaki juga beri sedikit hantaran kecil seperti manisan dan pakaian. Dalam hantaran kepada pihak wanita, disertakan bersama hadiah untuk keluarga terhampir iaitu ibu bapa, adik beradik, sepupu, datuk dan nenek.

"Satu hantaran paling penting dalam masyarakat Bengalee ialah ikan. Ia bukan sebarangan hantaran kerana ikan itu akan dihias cantik dan kreatif. Tidak kisah nak sarungkan baju atau apa saja yang difikirkan perlu. Ia sebagai satu lagi bukti kukuh masyarakat ini sangat mengutamakan ikan, bukan saja untuk makan tapi juga dalam perkahwinan.

"Kunjungan rasmi untuk memulakan majlis sudah bermula awal petang di mana keluarga lelaki akan hadir ke rumah wanita. Ia permulaan majlis dengan bakal pengantin akan mendapatkan restu semua keluarga. Biasanya, rombongan pihak lelaki disertai keluarga terdekat dan rakan taulan.

"Ketika direstui, bakal pengantin bertukar hadiah seperti emas dan berlian, bergantung kepada kemampuan mereka. Ketika itu, pasangan belum boleh berjumpa. Tidak boleh tengok muka pun. Lelaki dalam bilik lain, begitu juga wanita. Keluarga yang mahu merestui mereka perlu masuk ke bilik berbeza," katanya lagi.

Selepas semua upacara adat itu selesai, majlis perkahwinan rasmi dimulakan dengan memohon restu daripada dewa. Dalam upacara perkahwinan, penyembahan kepada Dewa Ganesha dilakukan terlebih dulu sebagai pemula majlis. Ia tidak berlaku di kuil tetapi semuanya diselesaikan di rumah.

Jika rumah cukup besar dan selesa untuk menyempurnakan majlis itu, ia dilaksanakan di rumah saja tetapi jika sempit, majlis itu diselesaikan di dewan tetapi mestilah berhampiran rumah pihak perempuan.

Selebihnya, kebanyakan amalan majlis perkahwinan Bengalee sama seperti penganut Hindu lainnya seperti mengelilingi api dan pembacaan mantera oleh sami atau Purohit. Bagi mereka juga api itu suci. Cuma, dalam perkahwinan mereka tidak ada membelah kelapa.

Pusingan tujuh kali mengelilingi api adalah satu kewajipan sebagai pelengkap upacara. Ia dilaksanakan selepas kedua-dua pasangan bergilir mengalungkan bunga ke leher pasangan masing-masing. Dalam budaya mereka, upacara kalungan bunga ini dianggap sangat penting

Amalan unik untuk ibu, bayi

TIDAK banyak kepercayaan, pantang larang mahupun petua yang diamalkan masyarakat Bengalee dalam kehidupan seharian mereka, mungkin disebabkan sudah banyak diasak arus kemodenan, namun apabila diselongkar, ada juga rupanya amalan itu yang dianggap unik terutama jika dibandingkan masyarakat India lain.

Antaranya, 'Mukhe Baht' (makan nasi) iaitu satu amalan khusus kepada bayi perempuan yang memasuki usia lima bulan, manakala bayi lelaki pula selepas usianya enam bulan. Dalam amalan itu, bapa saudara daripada sebelah ibu anak itu atau datuknya mendokong bayi berkenaan dan diberi makan sedikit nasi.

Selepas itu, baru dia membawa bayi itu berjumpa semua yang ada dalam majlis itu untuk turut sama menyuapkan nasi. Keutamaan yang diberikan kepada keluarga sebelah ibu bayi itu disebabkan selepas berkahwin, pengantin perempuan tinggal di rumah mentuanya dan majlis ini memberi peluang kepada keluarga sebelah ibu untuk melaksanakan majlis.

Mukhe Baht adalah hari di mana bayi diberi makan makanan pejal untuk kali pertama dalam seumur hidupnya selepas hanya minum susu sejak lahir. Pada majlis itu juga, satu kitab suci, emas, dakwat, pen dan bekasnya diletak dalam satu dulang dan dihulurkan kepada bayi itu.

Ia satu simbolik. Jika bayi itu menyentuh kitab, ia petanda bayi itu menjadi orang alim, jika menyentuh dakwat atau pen, ia bakal menjadi seorang terpelajar tetapi jika menyentuh emas, ia menunjukkan bayi itu bakal hidup mewah.

Kepercayaan dan amalan membabitkan ibu dan bayi sebenarnya sudah dimulakan sejak bayi dalam kandungan. Ia biasanya dibuat ketika usia kandungan tujuh bulan. Pada majlis yang dikenali sebagai Shadh Bokhon ini, bakal ibu akan diberi keistimewaan untuk meminta apa saja makanan yang disukainya.

Dalam kepercayaan masyarakat Bengalee sejak dulu, ibu mengandung dianggap berdepan risiko mati ketika melahirkan.

Justeru, sebagai tanda penghargaan terhadap ibu, majlis itu dibuat. Ia juga bertujuan membolehkan bakal ibu merasai makanan digemarinya sebelum sesuatu berlaku. Wujud kebimbangan kemungkinan bakal ibu meninggal dunia ketika melahirkan anak dan tidak sempat merasai makanan kegemarannya dan akan berganda kesedihan keluarga.

Oleh Azrul Affandi Sobry

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI