Suharto muncul sebagai presiden Indonesia paling popular

Wednesday, May 18, 2011

Bekas presiden kedua Indonesia, Suharto muncul sebagai pemimpin paling popular menewaskan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berdasarkan satu kaji selidik yang dilakukan.

Sebanyak 36.5 peratus responden menamakan Suharto sebagai presiden pilihan mereka diikuti Susilo (20.9 peratus), Sukarno (9.8 peratus), Megawati Soekarnoputri (9.2 peratus), B.J. Habibie (4.4 peratus) dan Abdurrahman Wahid atau Gus Dur (4.3 peratus).

Kaji selidik oleh lembaga kaji selidik nasional, Indo Barometer turut mendapati 40.9 peratus responden dari kawasan bandar dan luar bandar menyifatkan pemerintahan Orde Baru Suharto lebih baik berbanding era reformasi yang digerakkan pada 1998.

"Sama ada suka atau tidak, itulah hasil yang diperoleh daripada kaji selidik yang dilakukan," kata Pengarah Indo Barometer, M. Qadari.

Kaji selidik yang diberi nama Penilaian 13 Tahun Reformasi dan 18 Bulan Pentadbiran Susilo Bambang Yudhoyono diadakan sejak 25 April dan berakhir 5 Mei lalu melibatkan 1,200 responden mewakili 33 wilayah di seluruh Indonesia.

Menurut Qadari, rakyat Indonesia yang mengagumi pentadbiran Suharto meluahkan rasa tidak puas hati dengan gerakan reformasi.

"Apabila rakyat berkata rejim kepimpinan Suharto jauh lebih baik daripada era reformasi mereka secara tidak langsung mengkritik situasi semasa.

"Reformasi tidak membawa sebarang perubahan kepada mereka. Keputusan ini memberi tamparan hebat kepada aktivis reformasi," jelas beliau.

Gerakan reformasi yang digerakkan di negara itu untuk mengubah kerajaan pada 1998 didapati gagal.

Reformasi politik dan pemerintahan selama 13 tahun itu disifatkan oleh responden sebagai tidak membawa sebarang perubahan signifikan dalam bidang politik, ekonomi dan pemerintahan.

Hasil kaji selidik itu juga mendapati hanya 29.7 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan pentadbiran negara masa kini, sementara 55.5 peratus tidak berpuas hati dengan pemerintahan sekarang tetapi enggan memberikan jawapan.

Pada masa sama, 31 peratus responden berpendapat, situasi negara pada masa ini cukup baik berbanding 13 tahun lalu.

Sebanyak 27.2 peratus pula melihat kedua-dua era sama sahaja, manakala 28.2 peratus memberikan jawapan sebaliknya. - Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI