Lady Gaga mengejutkan dunia apabila berjaya mengumpul lebih 10 juta orang pengikut dalam laman blog mikro Twitter.
Dalam kemas kini Lady Gaga selepas akaun Twitternya mencapai angka keramat tersebut, dia menzahirkan perasaan terkejut dan gembira atas sokongan peminat.
“Seramai 10 juta Monster (nama panggilan yang ditujukan kepada peminatnya)! Saya terkedu, kita sudah lakukannya! Saya amat mencintai kamu semua. Boleh meninggalkan London dengan senyuman.” kata Lady Gaga dalam kemas kini Twitter.
Kejayaan mengumpul sebegitu ramai pengikut itu bagaikan sebuah fenomena apabila dada-dada akhbar di luar negara dan tidak ketinggalan juga di Malaysia menjadikan perkara tersebut tajuk-tajuk utama berita hiburan.
Bukan itu sahaja, laman YouTubenya, Vivo, yang menjadi platform kepada Lady Gaga untuk menayang klip video terbaru sudah acap kali mencecah jutaan penonton.
Tidak ketinggalan peminatnya yang mengklik butang ‘Like’ di laman sosial Facebook pula mencecah angka 34 juta orang. Ia satu jumlah yang melebihi populasi rakyat Malaysia sendiri.
Di Malaysia laman sosial Facebook, YouTube dan Twitter juga dijadikan salah satu medium untuk seseorang pemimpin atau selebriti itu mendekatkan diri kepada masyarakat dan peminat.
Sebagai contoh Perdana Menteri Malaysia sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi maklumat dengan memiliki Fanpage.
Fanpage Najib di laman Facebook kini telah mencapai angka lebih 600,000 orang dan beliau telah menggunakan laman tersebut sebagai salah satu cara beliau mendekati generasi muda Malaysia.
Walaupun pada peringkat awal, ia menjadi medium bagi tokoh-tokoh terkenal dan personaliti hiburan berkongsi kehidupan mereka tetapi, kini ia telah menambah satu lagi fungsi.
Angka-angka tepat yang tertera di sudut kiri Fanpage tersebut telah menjadi kayu pengukur kepada tahap kepopularan pemilik laman tersebut.
Pengiraan yang bersifat objektif dan nilai ketepatan yang tinggi sehingga ke susunan angka menjadikan ia lebih dipercayai dan boleh diharapkan.
Pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT), Azli Paat, 43, berkata, data yang ditunjukkan dalam laman sosial Facebook dan Twitter adalah sahih dan boleh diterima pakai.
“Tetapi data bilangan orang yang menekan butang Like di Facebook lebih dipercayai berbanding laman blog mikro Twitter.
“Itu disebabkan setiap individu yang mengklik perlu mempunyai akaun dan itu membuktikan individu tersebut wujud dan pemilik Fanpage dapat melihat setiap individu tersebut.
“Peminat juga boleh melihat peminat-peminat yang lain dalam akaun tersebut,” jelasnya lagi.
Selain itu, peminat dan juga pemilik boleh mendapatkan data-data lain seperti tempat asal, jantina, umur, negara dan lain-lain.
Maklumat-maklumat tambahan yang dikenali sebagai Insight itu menambahkan kebolehpercayaan data yang dipaparkan berbanding dengan Twitter yang hanya boleh memastikan kewujudan individu yang menjadi pengikut.
Tambah Azli lagi, sedikit masa dahulu banyak laman-laman web dan blog yang memaparkan nilai-nilai yang tinggi serta mendakwa itu adalah jumlah orang yang mengunjungi laman web tersebut.
“Data yang dikenali sebagai webhits itu amat diragui kesahihannya kerana sebagai pelayar Internet, kita tidak dapat mengetahui siapa individu yang pernah mengunjunginya?
“Selain itu, angka tersebut boleh diaturcara terlebih dahulu ketika laman web tersebut dibina,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai program aturcara bagi pengiraan oleh Facebook dan Twitter, Azli menyifatkan ia sebuah aturcara yang mudah dan logik.
“Formulanya adalah pembolehubah tambah satu dan ia sentiasa mengulangi formula yang telah diaturcara tersebut tanpa had.
“Pembolehubah tersebut mewakili angka asal sebelum peminat menekan butang, jika ada yang menekan, formula tambah satu akan diaktifkan.
“Maka, angka baru dengan tambah satu akan tertera begitu juga dengan formula yang terdapat pada butang Unlike di Facebook.
“Cuma, ia berbeza menjadi pemboleh ubah tolak satu pula dan angka akan berkurangan apabila butang tersebut ditekan,” kata Azli ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Pemilik Fanpage paling ramai peminat di laman sosial Facebook di Malaysia, Lisa Surihani berkata, semenjak Fanpage miliknya mencapai angka lebih 1.4 juta orang, ia telah memberi impak kepada kerjayanya.
“Saya akui, selepas mencecah angka tersebut, saya lebih banyak mendapat tawaran dalam bidang pengiklanan seperti menjadi duta produk.
“Mungkin kerana berada di zaman interaktif ini, ia memerlukan seseorang duta itu sentiasa berhubung dengan peminat-peminat mereka,” kata Lisa.
Antara produk yang menggunakan perkhidmatan pelakon berusia 25 tahun itu termasuklah produk kecantikan Garnier, Lip Ice dan Sufi.
Bagaimanapun, menurut Lisa, jumlah peminat di Facebook tidak memberi kesan terhadap kerjayanya dalam bidang lakonan.
“Ia mungkin disebabkan, bidang tersebut lebih dinilai pada bakat daripada tahap popular seseorang itu,” katanya.
Mula mengaktifkan Fanpage di Facebook pada tahun 2008, Lisa pasti mengemaskini akaun sekurang-kurangnya sekali sehari.
“Saya sendiri yang akan mengurus dan memberi maklum balas di akaun tersebut dan jika saya tidak berkesempatan, admin lain akan uruskan.
“Tetapi, saya tetap diberitahu untuk setiap kemas kini yang dibuat dan kebanyakan perkara yang diberitahu adalah mengenai hal-hal melibatkan kerja,” ulasnya lagi.
Menurut Lisa, dia hanya memiliki dua jenis akaun sahaja iaitu Twitter dan Facebook. Bagaimanapun, secara peribadi, Twitter lebih mudah digunakan kerana ia boleh dikemas kini di mana-mana.
Dalam pada itu, salah seorang pengguna aktif laman Twitter dan Facebook, Hafizah Malik, 27, berkata, dia hanya akan menekan butang Like di laman Facebook atau Twitter jika benar-benar menyukainya sahaja.
“Saya tidak akan menekan butang Like pada laman artis yang saya tidak minat dan kebanyakan laman diklik terdiri daripada penyanyi atau pelakon.
“Ia juga sebagai tanda sokongan peminat kepada seseorang artis itu dan jika nilainya meningkat tinggi ia mungkin akan memberi motivasi kepada mereka,” katanya.
0 Komen:
Post a Comment