Kabir dan Mira Akui Sukar Filemkan "Nur Kasih"

Sunday, May 08, 2011

Drama bersiri ‘Nur Kasih’ yang dibintangi oleh Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz berjaya mencetuskan fenomena di luar jangkaan. Atas sambutan memberangsangkan itu, pihak produksi berani membawa siri ini ke layar perak. Filem terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd ini akan menemui peminat di pawagam seluruh negara bermula 19 Mei ini.


Pasti ramai yang sudah tidak sabar untuk menyaksikan filem bercorak Islamik ini bukan? Menurut Kabir Bhatia, bukan satu perkara mudah untuk membawa ‘Nur Kasih’ ke layar perak. Namun, dia telah melakukan sehabis baik untuk memastikan filem ini bisa mengusik hati penonton.

“Ini adalah cerita terbaik yang boleh kami berikan kepada penonton. Harap penonton akan puas hati dengan hasil yang kami berikan. Bukan mudah untuk membawa karya ini ke filem. Cabaran terbesar untuk buat filem ini adalah untuk menulis skrip. Mira terpaksa buat draf skrip beberapa kali kerana mahu pastikan filem yang dibawa daripada 26 episod ini dapat diakhiri dengan baik,” ujar Kabir.



Dalam masa yang sama, Kabir juga mengakui dia tidak pernah terfikir untuk memfilemkan Nur Kasih ketika memulakan drama bersiri dahulu.



“Keputusan untuk membawa Nur Kasih ke filem hanya bermula selepas ia mendapat sambutan di luar jangkaan. Selepas ramai meminta kami menyambung ke musim seterusnya, kami mengambil keputusan untuk menyambung perjalanan cerita ini ke filem sahaja. Bagaimanapun, macam yang saya katakan tadi, ia bukan satu kerja mudah,” ujar Kabir lagi.



Sementara itu, Mira Mustaffa turut mengakui dia berasa cukup sulit untuk menulis skrip filem ini memandangkan dia tahu penonton mengharapkan sesuatu yang terbaik daripadanya.



“Apabila kita umumkan untuk menyambung Nur Kasih ke filem, saya tahu ramai peminat yang meletakkan harapan tinggi. Jadi, saya terpaksa memikirkan satu jalan cerita yang boleh menambat hati penonton. Ini kerana watak Adam, Aidil dan Nor sangat disayangi peminat.

Perkara pertama saya fikirkan untuk tulis skrip ini ialah penghujung cerita. Saya mahu tunjukkan perjalanan hidup mereka bagi memastikan penonton puas menyaksikan Nur Kasih The Movie.

Apa yang dipersembahkan dalam filem ini ialah kehidupan mereka selepas tujuh tahun daripada drama bersiri. Sebab itu Aidil sudah mempunyai dua orang anak. Manakala Nor sudah beberapa kali mengalami keguguran. Harap penonton boleh menerima filem ini seperti mana mereka menerima drama bersiri dahulu,” ujar Mira mengakhiri perbualan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI