BR1M2 jika kerajaan ada lebihan sumber kewangan

Friday, June 08, 2012

Cadangan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pusingan kedua telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan memperoleh peningkatan sumber pendapatan termasuk penambahan jumlah kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sehubungan itu, beliau yakin Perdana Menteri akan mempertimbangkan bagi meneruskan BR1M jika negara mempunyai lebihan sumber kewangan.

Katanya, kerajaan membuat penilaian terhadap inisiatif dan insentif yang diberikan, antaranya BR1M yang memberi kesan positif untuk golongan berpendapatan rendah dan kerajaan sudah membelanjakan lebih RM2 bilion yang memberi manfaat kepada 4.7 juta isi rumah.

“Terserah kepada Perdana Menteri, kalau ada lebihan sumber kewangan, Perdana Menteri akan putuskan. Cuma ia pernah dibangkitkan ramai rakan dalam Kabinet, Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat.

“Langkah begini baik untuk atasi masalah kos hidup dan mengurangkan beban rakyat. Ini kita ambil kira dan sampaikan kepada Perdana Menteri,” katanya .

Sehingga kini, dianggarkan seramai 4.78 juta orang telah menerima manfaat daripada pengagihan BR1M daripada keseluruhan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 bilion yang diluluskan kerajaan.

Ia termasuk penerima BR1M di Parlimen Kuala Selangor yang mencecah 8,376 orang dengan nilai sebanyak RM4 juta.

Muhyiddin berkata, kerajaan mampu menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat dan melaksanakan pembangunan melalui dasar transformasi nasional yang digerakkan oleh pentadbiran Najib.

Malah, katanya, bantuan itu diberikan dalam bentuk subsidi mencecah berbilion ringgit setahun, namun tidak disedari rakyat kerana sudah terlalu lama menikmatinya di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Subsidi yang kerajaan tanggung berjumlah RM2 bilion, tuan-tuan tidak tepuk tangan, fasal sudah biasa kerana apa yang BN beri biasanya orang sudah lali, sebab sudah lama sangat tetapi tidak dapat dinilai. Kalau sebelah sana beri RM100, ya Allah cerita gempak seluruh dunia.

“Kita beri RM500, bagi subsidi...(orang kata) biasalah itu tanggungjawab kerajaan, sedangkan tidak semua negara buat begitu. Jiran kita Indonesia, rakyat mereka berarak di jalan raya kerana membantah keputusan kerajaan menaikkan harga minyak," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI