Membeli-belah dalam talian trend terkini

Monday, June 04, 2012

Membeli-belah dalam talian merupakan kaedah paling mudah buat golongan shoppaholic mendapatkan barangan yang diidamkan tanpa perlu terburu-buru ke pasar raya.

Malah, mereka yang menggunakan kaedah ini juga tidak perlu mengeluarkan kos tambahan seperti bayaran petrol, tol, letak kereta dan tidak perlu beratur bagi mendapatkan barangan yang diingini.

Hanya semudah menekan butang tetikus, barangan tersebut akan dihantar kepada si pembeli dengan hanya dikenakan caj penghantaran yang minimum atau percuma.

Selain mudah berurusan secara dalam talian, kaedah membeli-belah itu juga membolehkan si pengguna Internet manfaatkan masa lawatan ke dalam enjin carian seperti Yahoo! ataupun Google tanpa perlu melawat stor ataupun butik-butik barangan yang dikehendaki.

Bagaimanapun, ramai pengguna yang bimbang mengenai maklumat peribadi mereka dicuri penggodam laman web kerana realitinya kes kecurian dalam talian masih menghantui pengguna.

Baru-baru ini, Mega berkunjung ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor bagi mendengar forum bertajuk Online Shopping: Trend Atau keperluan?

Program tersebut dianjurkan oleh kumpulan Psonia Giest yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan.

Ia bagi mengupas isu-isu semasa berkaitan keperluan perkhidmatan pelanggan melalui pemilihan tajuk tersebut.

Seperti yang diketahui ramai, membeli-belah dalam talian secara tidak langsung memudahkan pembeli dan penjual berurusan bila-bila masa, di mana sahaja dan lebih cepat.

Sejak kemunculan World Wide Web (WWW), para peniaga boleh menjual produk-produk mereka kepada orang ramai yang melayari laman sesawang secara mudah.

Dari buku, pakaian, peralatan rumah, permainan, perkakas dapur, perisian komputer dan lain-lain merupakan antara ribuan barangan yang dijual secara dalam talian.

Melihatkan kepentingan urusniaga secara online, ia menjadi kaedah terkini yang digunakan di seluruh dunia.

Tanpa perlu ke luar negara, pengguna mampu membeli apa jua barangan dari mana-mana pelosok dunia.

Ahli panel jemputan dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zulkifli Mohammed berkata, sistem niaga secara dalam talian sebenarnya telah lama wujud.

"Sejak zaman dulu lagi pembeli dan penjual telah membangunkan sistem niaga seperti ini sebelum adanya Internet. Contohnya zaman dulu, kita menggunakan sistem mail order dan ia banyak diiklankan dalam surat khabar.

"Sistem niaga tersebut sama sahaja dengan sistem niaga dalam talian kerana pengguna yang menggunakan kaedah ini juga akan menghubungi peniaga atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan dalam talian melalui telefon.

"Seterusnya selepas kedua belah pihak bersetuju maka barangan itupun akan diposkan. Bagaimanapun, kaedah niaga ini telah berevolusi dan kini hasilnya kita menggunakan sistem yang lebih mudah secara online," katanya.

Zulkifli berkata, kaedah niaga secara dalam talian semakin berkembang dari masa ke semasa tetapi para pengguna masih lagi terdedah kepada isu-isu penipuan.

"Barangan yang dijual dalam talian melibatkan kaedah pembayaran transaksi perbankan yang berbeza.

"Selaku pengguna berhemah, para pengguna perlu sedar mengenai maklumat barangan yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum membelinya bagi mengelakkan penipuan seperti syarikat tidak wujud atau mendapat barangan lain dari yang dipesan.

"Syarat penjual dan pembeli juga perlu diteliti selain pastikan isi kontrak penghantaran sesuatu barangan terlebih dahulu bagi mengelak mendapat barangan lain seperti kes pengguna mendapat lesung batu dan berus cat tetapi sebenarnya mereka memesan barangan lain," katanya.

Beliau berkata, sistem jual beli dalam talian memudahkan pengguna yang sibuk kerana di mana-mana sahaja mereka boleh membeli-belah tanpa had dan sempadan.

"Urus niaga online ada risiko kerana banyak kes penipuan dilaporkan seperti barangan yang dipesan tidak sampai.

"Ini kerana ada organisasi scam company yang berpangkalan di negara-negara yang tidak ada undang-undang siber seperti Romania.

"Mereka mempunyai dana dan kepakaran yang besar untuk manipulasi penipuan dan banyak telah disenarai hitamkan," kata Zulkifli.

Menurutnya, para pengguna perlu lebih bijak melayari laman web sesawang kerana ada setengah daripada laman tersebut dibina secara khusus untuk tujuan memperdayakan pengguna.

"Kalau kita layari laman web, kita perlu lebih berhati-hati dan laman web ini mesti bermula dari http barulah ia laman web yang sebenar.

"Kalau dapat masej dari laman web yang bermula dari https perlu berhati-hati kerana mereka akan mencerobohi password pengguna, mengambil duit dalam akaun dan pindahkan duit tersebut melalui akaun paypal.

"Selain daripada itu, barangan yang dijual lebih murah daripada harga pasaran juga memainkan peranan yang penting.

"Sebagai pengguna kita perlu pastikan barangan yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum memesannya kerana ada setengah pemilik laman web menjual barangan yang tidak tulen," kata Zulkifli.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI