Osman Kering meninggal dunia

Saturday, June 30, 2012

Osman Kering,pelakon dan pelawak veteran, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, di sini, petang semalam.

Allahyarham yang nama sebenarnya, Osman Kassim, 57, disahkan meninggal dunia jam 3.45 petang selepas lebih dua minggu dirawat kerana masalah batuk kering serius. Osman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi PPUKM, 10 Jun lalu selepas pengsan di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Pelawak Osman Kering

Dia disahkan koma selepas sebelah otaknya tidak berfungsi, bengkak dan mengalami pendarahan beku.

Allahyarham meninggalkan balu, Che Norhayati Che Omar, 48, serta tujuh anak, Mohd Al-Anas, 28; Mohd Al-Amin, 27; Nor Ain, 25; Nor Hidayah, 24; Norhidriyah, 16; Mohd Al-Adnin, 13, dan Mohd Al-Ajmie, 10.

Nor Ain, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan anak.

"Seumur hidup, dia memang teringin mempunyai cucu dan sering menyebut sama ada sempat melihat mereka nanti, tapi Tuhan lebih menyayanginya. Ayah juga sering mengingatkan kami menjaga emak yang menjaganya sepanjang dia di hospital. Permintaannya termakbul kerana menghembuskan nafas terakhir di pangkuan emak," katanya.

Jenazah dibawa ke Masjid Al-Najihin, Cheras dan disembahyangkan selepas Maghrib sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pandan, Petaling Jaya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI