Hoore! Hoore! Sinopsis

Monday, June 04, 2012

Sinopsis filem Hoore! Hoore!

Hoore! Hoore! mengisahkan kehidupan sekumpulan remaja sekolah Tingkatan Lima di Bentong, Pahang, yang baru saja menghabiskan peperiksaan mereka.

Kemerdekaan' yang dirasakan selepas menduduki peperiksaan cukup euphoric dan jelas terpamer pada wajah Nurul Iman (lakonan Norfahan), Rita (Kilafairy) Johari (Akim) dan ramai kawan mereka yang lain. Fasa selepas peperiksaan bukan saja untuk mandi sungai dan berbasikal sekeliling kampung tetapi juga menjadi lebih `dewasa' dan mencari hala tuju dalam kehidupan.

Nurul Iman selepas diberi galakan kuat oleh neneknya mengambil keputusan memasuki pertandingan Ratu Idola untuk mencabar kawan sekelasnya, Rita. Nenek Zaimah (lakonan Fauziah Nawi), bekas pemenang Ratu Kebaya sebanyak tiga kali di kampung mereka ingin memberi keyakinan kepada cucunya yang berasa sedikit rendah diri disebabkan tubuhnya sedikit gempal dan bertudung.

Nurul Iman juga diberi sokongan dan semangat untuk mencuba dalam pertandingan itu oleh teman sekelasnya, Johari, anak guru besar sekolah. Rita bersama rakan-rakan rapatnya semakin kerap menghina dan memberi masalah kepada Nurul Iman yang dianggap tidak layak memasuki pertandingan itu.

Masalah dihadapi Nurul Iman bukan saja daripada Rita, tetapi juga daripada Lia, ibunya (lakonan Adibah Noor) yang menentangnya daripada aspek agama. Malah, Lia turut memandang rendah ibu mentuanya yang cukup bangga menjadi ratu kebaya sebanyak tiga kali. Malah, kematian Nenek Zaimah dan tentangan ibunya hampir membuatkan Nurul Iman menarik diri daripada pertandingan akhir Ratu Idola.

Hoore! Hoore! Sinopsis

Kalaulah tidak kerana Johari yang kuat memberi sokongan dan mengingatkannya bahawa arwah neneknya tentu mahukan Nurul Iman terus memasuki pertandingan itu sehingga ke pusingan akhir. Akhirnya, Nurul Iman memenangi pertandingan Ratu Idola kerana beliau punya `kecantikan dalaman' mengalahkan Rita yang jelita hanya pada fizikalnya.

Nurul Iman menyerahkan mahkota yang dimenanginya kepada Rita yang telah berusaha keras untuk menang. Dia cukup bahagia kerana ibunya hadir sama memberi sokongan kepadanya dan tidak lagi memarahinya kerana mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI