Management & Science University: Peluang ikuti pengajian pascasiswazah

Friday, June 22, 2012

SELAIN mengendalikan program pengajian peringkat sarjana muda dan diploma, Management & Science University (MSU) melalui School of Graduate Studies (SGS) dan Graduate School of Management (GSM) juga menawarkan program pengajian pasca siswazah yang dijalankan secara penyelidikan atau kerja kursus.

Pengajian pasca siswazah yang ditawarkan ialah peringkat doktor falsafah, sarjana, diploma dan sijil. Antara bidang pengkhususan yang ditawarkan ialah Business Administration, Management/Business, Computer Science, Accounting/Finance, ICT, Bioinformatics, Biomedical Science, Foodservice Technology, Biomedicine, Information Technology and Management, Computer Network, Software Engineering serta Commercial Law.
Dekan, School of Graduate Studies, MSU, Profesor Datuk Dr Asbi Ali, berkata program pasca siswazah yang ditawarkan menggunakan kaedah penyelidikan fleksibel bagi pelajar yang mengikuti pengajian secara sambilan.

Beliau berkata, kaedah berkenaan membolehkan calon bekerja yang berminat melanjutkan pengajian pada peringkat pasca siswazah mengikutinya tanpa perlu bercuti atau meninggalkan pekerjaan mereka seperti dilakukan pelajar sepenuh masa.

“Program ini bukan saja ditawarkan untuk mereka yang mahu melanjutkan pelajaran bagi memenuhi keperluan kerjaya tetapi juga sesuai untuk golongan yang berminat menambah pengetahuan pada peringkat tinggi,” katanya.

MSU melalui SGS sehingga kini menawarkan tujuh bidang pengkhususan peringkat doktor falsafah, tiga belas bidang pengkhususan peringkat sarjana serta dua bidang pengkhususan bagi program sijil dan diploma manakala GSM pula menawarkan program pengajian peringkat doktor falsafah dan sarjana dalam bidang Business Administration atau Pentadbiran Perniagaan.

Katanya, kaedah pengajaran yang digunakan pada peringkat ijazah lanjutan itu membabitkan pendekatan inovatif seperti lawatan industri, permainan pengurusan, kajian kes, pembentangan video dan interaksi dalam talian. Program Pembangunan Usahawan dengan kerjasama MARA turut ditawarkan.

Melalui program itu, katanya, peserta program yang layak akan mendapat tajaan penuh MARA dan selepas tamat pengajian mereka dianugerahkan MBA dalam bidang berkenaan. Pusat inkubator yang ditubuhkan menerusi program ini membolehkan peserta menggunakan ilmu dan pengetahuan yang diperoleh dalam keadaan pengurusan atau perniagaan sebenar.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI