Gerai Ekonomi Mak Unggai, Taiping, Perak

Wednesday, May 08, 2013

Gerai Mak Unggai istimewa

Perusahaan gerai makanan harian atau lebih popular sebagai Gerai Ekonomi Mak Unggai diasaskan generasi kedua Saniah Md Noor di Kampung Saidin dan sudah bertapak sejak belasan tahun lamanya.

Bermula dengan hanya menjual nasi lemak di bawah pokok, kini ia beroperasi sepenuhnya sebagai gerai makanan paling popular di daerah Taiping dengan memberi tumpuan kepada makanan pagi dan tengah hari. Keistimewaan gerai ini adalah hidangan gulai ikan sembilang dan ulamulaman kampung bersama resipi turun temurun sambal belacan.

Menurut Saniah, disebabkan terletak dalam persekitaran kampung, harga makanan di gerai ini juga begitu murah. Disebabkan itu, tidak hairanlah ia sentiasa dipenuhi pelanggan terutama pada waktu tengah hari.

Gerai ini pernah menjadi persinggahan mantan Menteri Besar Perak, Datuk Tajul Rosli dan baru-baru ini menerima kunjungan pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan dan Kartina Aziz untuk menjamu selera.

Selain memastikan kualiti dalam masakan, hidangan Gerai Mak Unggai mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menggunakan bahan masakan semula jadi dari kampung. Sambal belacan begitu popular begitu juga gulai ikan sembilang yang sukar didapati di kedai lain pada harga yang murah. Selain itu, sikap ramah mesra ditunjukkan pekerja menjadi sebab ia menjadi lokasi popular di Taiping, ujarnya.

Di rumah yang lain pula, generasi kedua kampung Saidin mengusahakan perusahaan baulu secara tradisional dengan memukul telur tanpa menggunakan mesin bagi mengekalkan rasa gebu dan keasliannya.

Maznah Saidin atau lebih dikenali sebagai Mak Put dalam kalangan orang kampung mewarisi kepakaran membuat bancuhan baulu secara tradisional dan dikembangkan menjadi satu perusahaan yang bertapak sekian lama.

Menurut Mak Put, baulu dan kuih bangkit yang dihasilkannya berbeza berbanding kuih yang dijual di pasaran.

Oleh kerana menggunakan cara tradisional iaitu memukul telur di dalam bekas besar, ia menjadikan resipi baulu rangup di luar tetapi gebu dan lembut di dalam. Justeru, permintaan untuk baulu dan kuih bangkit sentiasa bertambah walaupun di luar musim perayaan, katanya.

Kreatif dalam menghasilkan pelbagai jenis baulu berbentuk objek tertentu, Mak Put sering menerima tempahan baulu ikan besar, baulu anak ikan, kuih kacang dibuat bentuk manggis, pisang atau strawberi serta kuih bangkit ros khas untuk hantaran perkahwinan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI