Nenek maut dibelasah cucu sendiri

Sunday, May 12, 2013

Masalah sakit mental semakin serius di kalangan masyarakat
Seorang warga emas berusia 84 tahun maut dalam keadaan menyayat hati selepas ditumbuk beberapa kali di bahagian muka oleh cucunya di Kampung Pasir Pekan Hilir dekat sini semalam.

Mangsa, Che Minah Che Hassan, yang sudah uzur meninggal dunia selepas cedera parah akibat dibelasah suspek berusia 35 tahun itu.

Lelaki terbabit turut bertindak ganas dengan menumbuk bertubi-tubi ibu kandungnya, Che Rahmah Che Will, 61, sehingga cedera dan terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Difahamkan, suspek ‘naik angin’ secara tiba-tiba lalu menyerang nenek serta ibunya di dalam rumah mereka dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu.

Menurut menantu mangsa, Mohd. Ghani Zakaria, 46, dia menyedari kejadian tersebut selepas mendengar jeritan suspek yang tinggal bersebelahan rumahnya.

“Ketika itu saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja. Apabila mendengar jeritan itu saya terus bergegas ke rumah mereka.

“Bagaimanapun, suspek yang dalam keadaan berang menghalang saya masuk. Ketika itu saya ternampak ibu mertua saya terbaring kaku manakala Che Rahmah duduk dengan mukanya cedera,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mohd. Ghani, dia kemudian terus menghubungi pihak polis yang bertindak menahan anak saudaranya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, pemangku Superintendan Zaharudin Rasip berkata, suspek sebelum ini pernah dirawat sebagai pesakit mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Perak dan Wad Psikiatri HPRZ II.

“Suspek baru sahaja selesai menjalani rawatan mental di hospital tersebut sejak dua tahun lalu.

“Dia kini ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dia mengamuk,” katanya ketika ditemui di sini.

Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI