Jambatan Sungai Choh jadi 4 lorong

Friday, June 14, 2013

Jambatan Sungai Choh jadi 4 lorong
Projek menaik taraf jambatan Sungai Choh yang menjadi penghubung laluan dari Ipoh ke pekan Tanjung Rambutan dijangka siap Mei tahun depan.

Projek Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM3.3 juta itu membabitkan kerja menaik taraf dan menyelenggara jambatan serta pelebaran jalan dilakukan di persimpangan Batu 8 berdepan Masjid An-Nur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, pembinaan jambatan itu antara usaha kerajaan dalam meningkatkan kemudahan asas, sekali gus menjamin keselamatan serta keselesaan penduduk menggunakan laluan berkenaan.

Jambatan sedia ada sekarang sempit dan tidak sesuai dengan bilangan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Justeru, jambatan sedia ada yang mempunyai dua lorong akan dirobohkan dan dinaik taraf menjadi empat lorong untuk memudahkan penduduk dari Ipoh ke pekan Tanjung Rambutan, katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja, baru-baru ini.

Katanya, projek pembinaan jambatan itu sudah bermula Disember lalu dengan pihaknya melakukan pemantauan berterusan untuk memastikan projek berjalan lancar dan siap mengikut jadual ditetapkan.

Untuk sementara waktu, jambatan besi dibina sebagai laluan alternatif sehingga projek berkenaan selesai, katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu 8 Mohd Tahir Zakaria berkata, projek naik taraf itu tepat pada masanya seiring dengan pembangunan dan pertambahan penduduk.

Projek berkenaan tepat pada masanya dan bersesuaian dengan kehendak penduduk, katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI