Kisah Seorang Pemberi Sedekah kepada Pencuri, Pelacur dan Orang Kaya

Sunday, June 30, 2013



Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Salah seorang dari kalangan Bani Israil berkeinginan untuk bersedekah secara sembunyi-sembunyi pada waktu malam. Pada malam itu dengan diam-diam ia meletakkan sedekahnya di tangan seseorang kemudian ia pulang secara diam-diam pula.

Keesokan harinya banyak orang memperbincangkan bahawa pada malam tadi seseorang telah memberi sedekah kepada seorang pencuri. Orang yang telah memberi sedekah tadi berkata, “Ya Allah, segala puji bagi-Mu, sedekahku telah jatuh ke tangan seorang pencuri.”

Kemudian dia berazam, malam ini akan bersedekah lagi secara diam-diam (kerana sedekah tadi dianggapnya rosak). Pada malam itu ia pun keluar diam-diam lalu memberi sedekahnya kepada seorang perempuan. Keesokan harinya orang ramai membicarakan bahawa pada malam tadi seseorang telah memberikan sedekah kepada pelacur. Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah, segala puji bagi-Mu, sedekahku telah sampai kepada seorang perempuan penzina.”

Pada malam ketiga dia kembali bersedekah secara sembunyi-sembunyi. Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan orang kaya. Keesokan harinya ramai orang memperbincangkannya bahwa seseorang telah memberi sedekah kepada orang kaya. Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah, segala puji bagi-Mu, sedekahku telah sampai ke tangan pencuri, penzina dan orang kaya.”

Malam itu dia bermimpi bahawa sedekahnya telah diterima oleh Allah S.W.T. Sedekahnya ditakdirkan jatuh ke tangan pencuri, agar pencuri itu bertaubat dari tabiat mencuri. Dan diterima oleh seorang pelacur, kerana dengan itu menjadi asbab untuk pelacur itu bertaubat ketika mengerti bahawa Allah S.W.T. memberi rezeki walaupun dia itu telah menghinakan dirinya sendiri dengan pekerjaannya yang keji. Dan jatuh ke tangan orang kaya, agar orang kaya itu mendapat pengajaran bahawa seorang hamba Allah telah
bersedekah dengan diam-diam, dan ia pun akan menyedekahkan harta yang telah Allah S.W.T. berikan kepadanya.

(Hr. Muttafaq alaih ~ Misykaat)

Riwayat Al Bukhari,1421;Muslim,1022

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI