Ombak kerang bulu

Friday, June 14, 2013

Ombak kerang bulu
Di sebalik fenomena ombak besar yang menyebabkan sebahagian nelayan tidak dapat ke laut sejak tiga hari lalu, rezeki lain pula muncul apabila puluhan ribu kerang bulu dihanyutkan ombak ke tepi pantai, sekali gus menjadi santapan selain dijual kepada peraih.

Kerang bulu mirip kerang diternak, tetapi kemunculan hidupan laut itu susulan fenomena ombak besar agak mengejutkan kerana kebanyakannya bersaiz besar.

Walaupun isinya dikatakan agak liat, namun tidak menjadi penghalang kepada penduduk di tepi pantai mengutip 'rezeki' yang berada di depan mata.

Tinjauan Harian Metro di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, dekat sini, semalam mendapati lebih 100 orang mengambil kesempatan mengutip kerang bulu yang ditolak ombak ke pantai berikutan sukar mendapatkan hidupan laut itu.

Rozanani Ramzan, 27, berkata, dia tidak melepaskan peluang mengutip kerang bulu apabila melihat ramai orang berbuat demikian.

Sebelum ini, kerang bulu memang ada di kawasan ini, tetapi sukar mendapatnya berikutan ia hidup dalam selut di tengah laut.

Hari ini (semalam) rezeki depan mata kerana hidupan laut ini ditolak ombak ke pantai, katanya.

Selain untuk hidangan keluarga, ada juga menjualnya pada harga antara RM3 dan RM5 sekilogram.

Kemunculan begitu banyak hidupan laut itu juga mengimbau kembali kejadian tsunami pada 2004 apabila beribu ikan dan kepah muncul di tepi pantai sebelum ombak besar melanda.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI