Jihad menentang hawa nafsu

Friday, June 14, 2013

Firman Allah SWT: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). (Surah Maryam, ayat 59)

Petanda kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu. Mereka akan berusaha memenuhi kehendak hawa nafsu dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa dikehendaki.

Sabda Rasulullah SAW: Musuhmu yang paling ganas ialah nafsumu sendiri yang berada antara dua sisimu. (Riwayat Al-Baihaqi)

Erti lawan hawa nafsu


Sheikh Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir, berkata melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu supaya mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara. Apabila nafsu dapat dikalahkan, seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.

Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali berkata, antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.

Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Perkara utama ditekankan al-Quran bagi menentang hawa nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat kepada Allah ialah menunaikan ibadah solat.

Jika dilakukan dengan konsisten dan harapan mendapatkan keredaan-Nya, ia akan menghasilkan satu kekuatan luar biasa untuk menghadapi godaan hawa nafsu. Menentang nafsu untuk menunaikan fardu solat pada waktu ditetapkan menjadi asas teguh bagi kesempurnaan diidamkan.

Perlu masa perbetul tabiat

Sesungguhnya jiwa dan diri manusia memerlukan masa yang panjang untuk membetulkan tabiat serta sikap selain mempunyai tenaga mencukupi bagi membendung hawa nafsu. Umpamanya, untuk menundukkan perasaan tamak haloba memerlukan perjuangan yang panjang.

Seandainya sasaran untuk dicapai oleh jiwa manusia itu ialah keadaan di mana mereka mencintai kebaikan, merasai kelazatannya dan membenci kejahatan serta mengejinya, maka ia memerlukan perjuangan yang kental untuk mencapainya.

Firman Allah SWT: Kamu wahai orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang yang tetap menurut jalan yang lurus. (Surah al-Hujurat, ayat 7)

Sifat hawa nafsu perlu dikawal, disekat dan ditentang. Keadaannya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Di sana terdapat pelbagai sifat manusia antaranya cintakan diri, wanita, harta, nama dan kemasyhuran. Ini adalah contoh jenis naluri yang kebiasaannya dimiliki manusia.

Ada yang mencintai dirinya dan tidak lagi mahu melihat orang lain. Ada pula sangat mencintai harta kekayaan, malam dan siang bertungkus-lumus mengumpulkan harta. Walau bagaimanapun, tamaknya kepada harta itu bukan untuk membelanjakannya seperti tuntutan agama.

Seseorang itu tidak akan berjaya dalam pertarungan jihadnya melainkan apabila dia melatih dirinya menentang hawa nafsu dan berjalan terus menuju jalan yang lurus dalam keadaan sabar serta tabah.

Rasul sendiri diingatkan Allah mengenai hawa nafsu ini.

Jihad menentang hawa nafsu

Firman Allah SWT: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.

Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. (Surah Sod, ayat 26)

Allah SWT mendedahkan ramai yang apabila hati mereka diselaputi karat hawa nafsu maka segala pancaindera mereka diselubungi selaput-selaput sehingga mereka tidak dapat melihat dan mendengar selain apa yang keluar dari hatinya yang diselaputi hawa nafsu itu.

Firman Allah SWT: Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Apakah engkau akan menjadi pelindungnya? (Surah al-Furqan, ayat 43)

Ulama memberi kita bimbingan untuk menghalang diri terjebak dengan pengaruh hawa nafsu dan antara saranan mereka ialah memperkuatkan rasa takut kepada Allah SWT serta selalu mengingati seksaan Allah di akhirat kelak.

Meninggalkan segala sebab yang membuatnya terjatuh kembali kepada hasutan hawa nafsu, menjarakkan rakan yang tidak baik, menjauhi tempat menjerumuskannya kepada hasutan nafsu, menyibukkan diri dengan zikrullah, membaca al-Quran dan mendekatkan diri dengan majlis ilmu.

Sesungguhnya takwa hasil hidayah daripada mujahadah atau perjuangan melawan hawa nafsu. Orang Mukmin ialah orang bijak yang sentiasa mengawasi hawa nafsu supaya tidak terpesong dari jalan kebenaran dan berusaha mencari jalan untuk menambahkan cinta Allah SWT kepadanya.

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI