Tangkis anasir murtad

Wednesday, June 12, 2013

Kuatkan akidah untuk tangkis anasir murtad

Pendedahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai anasir luar dan dalaman yang menggunakan laman sosial sebagai gelombang kedua untuk memurtadkan umat Islam di negara ini perlu diberi perhatian serius semua pihak.

Selain pihak berkuasa yang bertanggungjawab, masyarakat Islam sendiri perlu sedar mengenai ancaman terbaru terhadap akidah mereka. Jelas, dalang yang mahu memurtadkan umat Islam di negara ini tidak pernah berputus asa menjayakan agenda jahat mereka.

Jika dulu mereka melakukan gerakan itu secara tersembunyi dengan mendekati orang Islam yang bermasalah termasuk golongan remaja dan wanita serta kelompok di perkampungan dan pedalaman, kini mereka semakin berani melakukannya secara terang-terangan dengan bantuan pihak tertentu, termasuk dari luar negara yang dikatakan membiayai gerakan itu.

Lebih membimbangkan, mereka kini mengambil kesempatan daripada kepercayaan dan kegilaan sebahagian besar penduduk negara ini terhadap apa yang disebarkan menerusi media sosial untuk menjayakan gerakan murtad itu tanpa mudah dikesan pihak berkuasa.

Kita sudah melihat kesan buruk media sosial terhadap pemikiran orang ramai berhubung aspek sosial dan politik negara, terutama menjelang dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bulan lalu.

Media baru itu bukan saja menjadi saluran untuk menyebarkan pelbagai fitnah untuk orang ramai membenci kerajaan tetapi juga medan hasutan untuk mencetuskan huru hara dan menggugat ketenteraman awam. Malah, ada kelompok mereka yang semakin biadab sehingga berani mengecam institusi negara termasuk mempersenda titah Yang di-Pertuan Agong.

Gejala ini jika tidak dibendung akan merosakkan sahsiah sebilangan besar rakyat ini dan kerukunan negara. Bayangkan apa yang akan terjadi jika gerakan memesong akidah atau memurtadkan umat Islam di negara ini menerusi media sosial tidak dibendung?

Justeru, tindakan tegas dan berkesan perlu segera diambil bagi menghalang gelombang kedua gerakan itu. Pihak berkuasa berkaitan perlu berani bertindak kerana gerakan jahat seumpama itu jelas menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalang gerakan jahat itu perlu ditentang habis-habisan dan ancaman mereka itu didedahkan kepada umum untuk mencetuskan kesedaran dan kebangkitan umat Islam. Hanya tindakan tegas pihak berkuasa dan kebangkitan umat Islam yang mampu menumpaskan ancaman gerakan murtad itu. Bagaimanapun yang lebih utama ialah kekuatan akidah umat Islam.

Jika kita berpegang kuat kepada dua kalimah syahadat yang sentiasa dilafazkan serta akidah Islam, nescaya iman tidak mudah tergugat walau apa anasir sekali pun yang datang.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI