Wartawan Utusan protes tak dibenar buat liputan persidangan DUN Penang

Friday, June 28, 2013

Wartawan Utusan Malaysia tidak dibenar membuat liputan berita majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 9.30 pagi apabila wartawan berkenaan Mohd Firdaus Ismail memohon pas lawatan untuk masuk ke perkarangan DUN.

Firdaus berkata pengawal keselamatan enggan memberikan pas lawatan masuk ke DUN dan memberitahunya ia adalah atas arahan pihak atasan.

"Pengawal DUN tersebut telah memberitahu saya bahawa wartawan Utusan tidak dibenarkan masuk ke DUN untuk membuat liputan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya membuat protes secara berseorangan dengan memegang kad bertulis “Ketelusan telah mati di sini" dan berlegar-legar di hadapan pintu pagar bangunan DUN.

Katanya, beliau berbuat demikian sebagai meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sebelum ini sering melaung-laungkan kebebasan akhbar.

Firdaus berkata sebelum ini, wartawan Utusan juga pernah dilarang membuat liputan persidangan DUN selepas satu usul larangan tersebut dibentangkan dan dipersetujui.

"Tetapi, kini telah masuk penggal baharu untuk persidangan DUN, mereka seharusnya membentangkan usul baharu dan usul yang lama telah tamat tempoh," katanya.

Speaker DUN yang baharu Law Choo Kiang ketika diminta mengulas perkara itu berkata kejadian itu berlaku akibat kesilapan pengawal keselamatan bangunan DUN yang telah menguna pakai arahan lama.

"Saya ingin menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku atas kesilapan teknikal pengawal DUN dan saya berjanji perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.

Katanya, beliau akan menjemput wartawan tersebut untuk membuat liputan persidangan DUN Selasa depan. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI