Spa urut tawar khidmat seks

Sunday, June 09, 2013

`Topeng' si ibu ayam

Spanya berlesen, manakala pelanggan pula kebanyakannya wanita yang mahu mendapatkan khidmat urut selepas bersalin, menghilangkan sakit dan sengal badan atau bagi meredakan stres selepas penat bekerja.

Kalau ada pun pelanggan lelaki, kebanyakannya ditemani isteri atau saudara perempuan masing-masing bagi mengelak pandangan buruk masyarakat ketika berurut.

Imej 'bersih' spa milik wanita dikenali sebagai Zila yang berusia lewat 30-an ini menyebabkan premisnya di Kajang, dekat sini, sering dikunjungi pelanggan pelbagai peringkat umur.

Bagaimanapun, tanpa disedari kebanyakan pelanggan tetapnya, Zila turut menjadi orang tengah dengan menawarkan khidmat urutan berahi dan seks kepada lelaki.

Tawaran 'urut istimewa' itu biasanya dibuat kepada lelaki yang berada di ruang tamu spanya kerana menunggu isteri atau teman wanita mereka berurut.

Ketika si isteri diurut pekerjanya, Zila pula cuba menjerat si suami dengan khidmat urutan dan seks daripada tujuh pelajar kolej di bawah jagaannya.

Zila mendakwa hanya menjadi ejen atau lebih dikenali sebagai 'mummy' kepada gadis kolej terbabit dan menerima komisen bagi setiap langganan diperolehnya.

Bagaimanapun, lelaki hidung belang yang mahu mendapatkan khidmat urutan gadis kolej terbabit akan dibawa ke sebuah hotel bajet kira-kira dua kilometer dari spanya.

Dia mendakwa tidak membenarkan pelajar kolej terbabit mengurut di premisnya untuk menjaga reputasi spa berkenaan, terutama di kalangan pelanggan tetap.

Rata-rata gadis yang menawarkan khidmat itu bekerja separuh masa pada sebelah malam dan sebilangan mereka dikatakan baru habis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kegiatan tidak bermoral ini dikesan selepas seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Razman, 30, mendedahkan perkara itu kepada Metro Ahad, baru-baru ini.

Razman berkata, dia mengenali Zila ketika membawa isterinya untuk mendapatkan rawatan selepas bersalin di spa milik wanita itu.

Katanya, ketika menunggu isterinya mendapatkan rawatan, Zila mendekatinya dan menawarkannya perkhidmatan seks daripada pelajar kolej, namun ia hanya diadakan secara 'outcall' (dibawa keluar).

Ibu ayam itu kata dia ada 'contact' dengan tujuh perempuan, semua masih 'fresh', budak kolej dan baru lepas sekolah. Namun, semua budak tu tak bekerja di spa (milik ibu ayam), dia orang buat di luar di hotel murah.

Setiap pakej kena bayar RM200 sejam, termasuk sewa bilik hotel. Kalau nak urut saja, urut badan ke badan dan urut batin pun boleh, bayar RM150, katanya.

Bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai kegiatan wanita terbabit, wartawan Metro Ahad melakukan penyamaran dengan cuba menghubungi pemilik spa terbabit.

Ketika menghubunginya, Zila keberatan melakukan tawar-menawar dan asyik bertanya dari mana kami memperoleh nombor telefonnya.

Selepas memberitahu memperoleh nombor itu daripada Razman, dia kemudian menjelaskan mengenai perempuan yang ingin kami tempah.

Akak terus terang dengan kamu. Kalau minta urut saja, dia orang tak pandai sangat. Setakat usap, sapu, urut sikit-sikit tu bolehlah. Apapun, sembang dulu dengan dia orang nanti. Dia orang nak buat apa pun boleh. Tak apalah, nanti bila dah setuju, bayar dulu dekat akak, katanya.

Selepas itu, wartawan diarah menunggu di satu kawasan dan dibawa ke sebuah hotel bajet sebelum diperkenalkan dengan gadis yang kononnya pelajar kolej dan wanita terbabit memberitahu harga dikenakan tinggi disebabkan status gadis terbabit.

Ikuti perbualan wartawan bersama gadis yang diperkenalkan wanita terbabit.

Ros, 18, dari Bangi

Ingin mencari pendapatan lebih serta keluarga bermasalah menjadi alasan Ros, 18, memilih bekerja dengan Zila.

Mula menjual tubuh sejak berusia 17 tahun melalui perantaraan ibu ayam terbabit, Ros berkata, dia lebih senang bekerja dengan Zila kerana bayaran diterimanya lumayan berbanding tempat lain.

Dia yang berasal dari Kuantan, Pahang mendakwa mula membawa diri ke ibu kota selepas tamat SPM disebabkan tidak tahan tekanan daripada keluarganya, tambahan pula ayahnya penagih dadah.

WARTAWAN (W): Sebab apa kamu pilih kerja ini, sedangkan kamu belajar di kolej?

ROS (R): Saya kerja macam ini sebab mudah dapat duit. Kalau kerja di tempat lain, sebulan baru dapat gaji, ni (ini) setiap hari saya dapat.

W: Bila mula bekerja dengan Kak Zila?

R: Mula kerja dari umur 17 lagi, time (masa) tu (itu) saya lari dari rumah dan Kak Zila yang jaga saya.

W: Macam mana boleh kenal Kak Zila?

R: Kawan saya kenalkan. Kak Zila baik, dia bagi tempat tinggal sebelum saya diterima belajar di kolej.

W: Tak kisah ke kerja macam ni?

R: Tak kisah sebab saya memang dah hilang kesucian sejak umur 16 tahun lagi dengan teman lelaki saya.

ANI, 20, dari Cheras

Walaupun Zila memberitahu Ani pelajar kolej, gadis itu cuba menafikannya ketika bersembang dengan wartawan.

Ani mendakwa dia kini bekerja tetapi mengakui sudah lama mengenali Zila selepas menduduki SPM, tiga tahun lalu.

Dah dekat dua tahun kenal Kak Zila, dia banyak tolong saya selama ni. Kalau bukan dia, mana saya nak dapat pelanggan, katanya.

WARTAWAN (W): Tak takut kena cekup, hotel bajet ni selalu kena serbu?

ANI (A): Dulu ada juga kenal seorang yang ikut Kak Zila, dia dah kena tangkap khalwat sebab buat kerja macam ini.

W: Kena tangkap khalwat dengan pelanggan?

A: Ya... saya dengar dia orang dah kahwin.

W: Kenapa Ani kerja macam ni?

A: Eh, apa hal tanya pula. Sebab duitlah, sebab apa lagi.

W: Sekarang ni, kalau nak tempah awak, berapa kena bayar?

A: Bukan sepatutnya tanya Kak Zila, apa-apa bincang dengan dia.

W: Dia minta RM200?

A: Apa-apa pun bincang dulu dengan Kak Zila, saya okey saja.


~ MA, Jun 9, 2013
AOleh Shamran Sarahan; Mohd Hafizee Mohd Arop

 

ZONFINITI