Tiga beradik mati lemas di Sungai Golok

Tuesday, June 18, 2013

3 beradik dari Kampung Rahmat, Muhammad Zulhilmi Aziz, 7; Muhammad Syahmi, 6, dan Muhammad Irfan Rahman, 4, ditemui mati lemas penduduk kampung antara pukul 5.20 hingga 5.50 di Sungai Golok.

Nor Asikin ketika ditemui di rumahnya di sini berkata, ketika kejadian dia yang bekerja sebagai guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas Kampung Rahmat menghadiri satu bengkel di kampung bersebelahan.

Dia kemudian menerima panggilan daripada rakan memaklumkan anaknya sedang bermain berhampiran sungai dan memintanya pulang segera.

"Saya meninggalkan ketiga-tiga mereka di rumah kakak berhampiran rumah saya. Rakan menelefon saya memaklumkan tiga anak saya itu bermain berhampiran sungai dan meminta saya segera balik. Ketika sampai di rumah, penduduk kampung sedang mencari anak-anak saya yang dikhuatiri lemas.


"Saya segera menunaikan solat asar dan berdoa agar semua anak saya ditemui," katanya.

Menurut Nor Asikin, kehilangan tiga beradik itu cukup menyedihkan kerana semua anaknya itu hasil perkahwinan dengan arwah suaminya yang meninggal dunia pada tahun 2010 akibat barah usus.

Dia bagaimanapun mempunyai dua lagi anak selepas berkahwin lain dua tahun lalu.

Sementara itu, kakak ipar Nor Asikin, Nor Azizan Hassan, 41, berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai bermain di sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka pada pukul 4 petang ini.

Menurutnya, selepas mengetahui aktiviti tiga beradik itu, dia bersama beberapa penduduk segera pergi ke sungai untuk membawa mereka pulang namun kesemua mereka hilang cuma yang ditemukan hanya selipar di tebing sungai.

"Penduduk kampung segera menelefon bomba. Ada yang terjun ke dalam sungai untuk mencari mangsa sementara menunggu pasukan penyelamat tiba," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nasuhafahd Ahmad Mijar berkata, mayat Muhammad Syahmi ditemui penduduk kampung pada pukul 5.20 petang diikuti Muhammad Irfan Rahman dan Muhammad Zulhilmi masing-masing ditemui pukul 5.30 petang dan 5.50 petang dan dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Jenazah tiga beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat pagi esok. ~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI