Lelaki perlu bataskan hubungan dengan pekerja wanita

Monday, December 16, 2013

Batas hubungan elak terjebak

Lelaki berkeluarga dinasihatkan supaya membataskan hubungan dengan pekerja wanita di bawah seliaan mereka untuk mengelak terjebak dengan cinta terlarang yang seterusnya boleh menyebabkan berlaku zina.

Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Zawiyah Hassan berkata, hubungan kerjaya antara bos lelaki dan pekerja wanita mempunyai potensi untuk terjerumus ke lembah maksiat jika tidak mempunyai batasan sewajarnya.

"Walaupun ia bukan perkara baru, kita tidak mahu masyarakat terus hanyut dalam kemaksiatan kerana kebanyakan pekerja wanita warga asing datang ke negara ini tujuan utamanya untuk mencari rezeki.

"Sebagai ketua atau majikan, terutama beragama Islam, mereka sepatutnya bertindak sebagai pelindung dan tidak mengambil kesempatan ke atas pekerja asing dengan menjadikan segelintirnya pemuas nafsu, perempuan simpanan atau teman sosial.

"Tindakan ini menunjukkan lelaki berkenaan gagal mengawal nafsu disebabkan nipisnya iman dan dibimbangi membawa penyakit sosial.

"Ingatlah, Allah SWT akan membalasnya dengan memberi pelbagai dugaan di dunia lagi," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Beliau yang kini penceramah bebas berkata, tindakan pekerja kilang wanita warga asing mengambil kesempatan menggoda bos sebagai cara mencari wang lebih mungkin disebabkan mereka lemah iman dan berpendirian akan bertaubat apabila pulang ke negara asal.

Katanya, soal `buat dulu kemudian bertaubat' sepatutnya tidak menjadi amalan kerana dosa melakukan zina sangat besar dan pembalasan Allah di dunia dan akhirat sungguh berat.

"Seronok tu sekejap saja... akhirnya wang habis dikikis dan menjerat leher sendiri. Apabila rumah tangga porak-peranda dan anak isteri lari serta kes penceraian meningkat, ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua.

"Ingat, Allah boleh menarik rezeki bilabila masa jika suami yang menjadi tonggak keluarga hilang arah. Perkukuh keimanan dan ekonomi keluarga dan jangan sibuk memenuhi tuntutan nafsu serakah jika mahu hidup sejahtera di dunia dan akhirat," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI