Norish tuntut 5 rumah, kereta, saham

Monday, July 20, 2009

Pelakon Norish Karman (gambar) hari ini menuntut lima buah kereta, lima buah rumah dan saham di tiga buah syarikat sebagai harta sepencarian yang diperoleh sepanjang 10 tahun hidup bersama bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.

Semua aset tersebut dinyatakan dalam hujahan bertulis bagi permohonan tuntutan harta sepencarian oleh Norish selaku plaintif yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini melalui peguamnya, Akbardin Abdul Kader.

Hartanah tersebut merupakan sebuah rumah di Bangi yang dianggarkan bernilai RM2 juta, dua unit kondominium di Abadi Indah dan Danau Permai yang masing-masing bernilai RM300,000, sebuah kondominium di Seri Hening, Ampang serta sebuah rumah bernilai RM100,000 di Seremban, Negeri Sembilan.

Sementara kenderaan-kenderaan pula sebuah Nissan Murano, Nissan Elgrand, BMW 6 Series, Stavic dan Toyota Caldina yang didakwa dibeli sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Begitu juga saham milik Hashimuddin yang dinamakan sebagai defendan iaitu sebanyak 70 peratus dalam syarikat Perpec Prime (M) Sdn. Bhd. dan saham di syarikat Virtual Peak (M) Sdn. Bhd., selain saham plaintif sendiri sebanyak 60 peratus dalam syarikat Bintang Syurga (M) Sdn. Bhd.

Dalam dokumen itu, Norish menuntut agar bekas suaminya diarah serta-merta memulangkan kereta Nissan Murano atau menyediakan kenderaan yang seumpama untuk kemudahan anak-anak mereka.

Beliau juga memohon agar bekas suaminya ditegah daripada melakukan perpindahan termasuk penjualan, pajakan, gadai janji atau apa-apa transaksi berkaitan pemilikan harta-harta tersebut.

Sementara itu, dalam hujahan bertulis bagi permohonan tuntutan nafkah tiga anak pula, Norish menuntut RM1,500 sebulan diberikan sebagai nafkah sementara kepada setiap anak mereka.

~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI