Teater Short Eyes

Friday, July 30, 2010

Nam Ron tampil dengan karya terbaru berjudul Short Eyes.

Ia diambil dari karya penulis berasal dari Puerto Rico, Miguel Pinero yang berkisar mengenai kehidupan banduan di sebuah penjara di Amerika Syarikat yang datang dari pelbagai latar belakang dan warna kulit tetapi memegang status sama sebagai penjenayah.

Mereka bersikap prejudis terhadap seorang banduan kulit putih yang terbabit di dalam kes fidofilia yang bernama Clark Davis. Pelbagai konflik timbul apabila Davis ditempatkan di penjara berkenaan.

Teater yang akan dipentaskan dari 4 sehingga 8 Ogos itu menampilkan Nam Ron dan Fared Ayam atau nama sebenarnya Mohd Fared Jamaluddin, sebagai pengarah. Sekali lagi Rumah Anak Teater (RAT) memilih PJ Live Arts Centre sebagai lokasi pementasan bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

Nam Ron berkata, mereka kini selesa dengan PJ Live Arts kerana tidak wujud karenah birokrasi seperti yang pernah dilalui ketika pementasan Tanda. Walaupun mungkin kedengaran seperti sebuah lokasi yang mempunyai standard tersendiri bagi sesetengah orang, tetapi mereka tiada pilihan kerana PJ Live Arts memberikan potongan sebanyak 50 peratus untuk menyewa tempat berkenaan.

“Apabila kita menghantar kertas cadangan kepada PJ Live Arts mengenai projek terbaru kami, mereka bersetuju malah sanggup memberi potongan sehingga 50 peratus. Kami ambil atas dasar itu kerana RAT tiada pembiayaan. Semuanya ditanggung oleh kami sendiri, oleh itu kami tidak mahu mempersia-siakan peluang itu.

“Memang kami ada menyimpan hasrat untuk buat pementasan di tempat lain seperti di Lambang Sari, Istana Budaya tetapi selalunya tiada kekosongan. Memandangkan PJ Live Arts sudah memberikan laluan kepada kami, jadi kami tidak mahu melepaskannya. Lagipun lokasi lain selalunya terlalu banyak birokrasi apabila kami mahu memakai tempat mereka dan kami sendiri juga tak mahu insiden dulu daripada berulang,” katanya.

Antara pelakon yang akan menjayakan teater ini ialah Zahiril Adzim, Beto Kusyairy, Taiyuddin Bakar, Nam Ron, Amirul Affendi, Tayanithi, Khairundazwan Rodzy, Khairil Ridzuan, Kirin Muhamad, Hafizee Hatta dan Xavier Fong.

Walaupun mengambil karya luar untuk pementasan ini, Fared Ayam memberi jaminan penonton akan memahami jalan ceritanya kerana dia sedaya upaya mengolah skrip dan kisah berkenaan bersesuaian dengan gaya tontonan penonton tempatan.

Katanya, dia jatuh cinta kepada karya Pinero kerana kisah mengenai kehidupan banduan yang sedang melalui hukuman di penjara tidak pernah dipapar oleh pengkarya tempatan. Biarpun karyanya agak serius, Fared cuba mengolahnya menjadi sebuah cerita yang mudah difahami.

“Saya mengambil kira-kira dua minggu untuk menterjemah secara langsung dari novel Pinero dan sebulan pula lagi diperuntukkan untuk menterjemah dengan lebih sempurna bagi disesuaikan dengan gaya bahasa di sini. Ada bahagian yang saya tambah bagi mencantikkan lagi cerita ini serta bagi menyesuaikan dengan gaya hidup masyarakat di sini.

“Isu yang dimainkan di dalam Short Eyes mungkin berat tetapi dia ada graf pecahan. Ada elemen komedi dan ada juga unsur pertelingkahan tetapi boleh menimbulkan kelucuan. Mesej yang ingin disampaikan dalam cerita ini memang serius tetapi cara disampaikan tidaklah begitu,” kata Fared.

Short Eyes akan dipentaskan pada 5 hingga 7 Ogos jam 8.30 malam dan pada 8 Ogos pula jam 3 petang tiket berharga RM30 dewasa dan RM15 bagi pelajar, warga emas dan orang kurang upaya. Sementara itu pada 4 Ogos jam 8.30 malam pula tiket hanya berharga RM15.

Mereka yang ingin menyaksikan atau membuat tempahan untuk pementasan ini boleh emelkan kepada rumahanakteater@gmail.com.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI