Kenchana Devi trauma dipukau Pak Arab

Saturday, July 24, 2010

Siapa tahu di sebalik senyuman dan tawa, pelakon komedi, Kenchana Devi, setiap kali muncul di kaca TV, rupanya terselit kejadian yang sangat mendukacitakan.

Insiden dipukau oleh tiga warga Arab baru-baru ini ternyata memberikan kesan kepadanya kerana sehingga hari ini dia berasa trauma untuk keluar rumah.

“Sebelum ini saya hanya mendengar keluhan cerita kawan-kawan dan membaca berita berkaitan kejadian pukau ini tetapi bila sudah terjadi pada diri sendiri, barulah saya tahu betapa seksanya.

“Semasa kejadian itu, saya berada di restoran makanan segera yang terletak di sebuah stesen minyak di Ampang. Ketika itu, saya sudah nampak ada tiga orang Arab, tapi tidak pula menyangka akan berlaku perkara buruk.

“Tapi tiba-tiba air kopi saya menjadi sejuk. Masa itu saya rasa tak sedap hati dan teringat petua orang bahawa itu adalah petanda buruk dan sewaktu itu jugalah beg tangan dan semua barang berharga saya hilang,” katanya yang kerugian hampir RM8,000, termasuk tiga telefon bimbit.

Menurut pelakon sitkom Puteri ini, ada juga beberapa pelanggan yang berada di restoran itu turut melihat kejadian itu namun mereka tidak dapat membantu kerana turut sama dipukau.

“Selepas menyedari saya dipukau, saya cuba mengejar pencuri itu dengan bantuan sebuah lori, tapi tak berjaya. Sudahnya, saya membuat laporan polis dan atas kerjasama mereka, beg tangan saya ditemui di Cheras. Tapi barang berharga semua dah lesap, ” katanya dengan nada terkilan.

Dalam pada itu, Kenchana turut bercerita tentang kejadian misteri yang terkandung di sebalik rakaman litar tertutup di restoran itu. Menurut Kenchana, wajah ketiga-tiga pencuri itu ternyata berbeza daripada yang dilihatnya ketika kejadian.

“Daripada rakaman litar tertutup itu, saya kelihatan tak tentu arah dan ternyata saya memang dipukau. Sampai sekarang, saya masih trauma dengan kejadian ini. Tapi apa pun yang sudah berlaku, saya bersyukur kerana saya selamat,” katanya yang kini lebih berhati-hati.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI