Baiah Aqabah ke-2

Wednesday, July 14, 2010

Perjanjian Aqabah kedua yang berlangsung antara Nabi Muhammad dan penduduk Yathrib seramai 70 orang itu berlangsung pada malam yang cukup sunyi itu.

Ketika itu Baginda berkata: "Aku berbaiah dengan kamu supaya kamu dapat mempertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan isteri dan keluarga kamu."

Lalu Barra bin Ma'rur memegang tangan baginda sambil berkata: "Ya, demi Tuhan yang membangkitkan kamu menjadi Nabi dengan sebenarnya, kami akan mempertahankan kamu sebagaimana kami mempertahankan isteri dan keluarga kami.

"Berbaiahlah dengan kami wahai Rasulullah, sesungguhnya kami, demi Allah adalah terdiri dari kalangan yang berpengalaman dengan peperangan dan mahir menggunakan semua jenis senjata yang kami warisi sejak turun temurun lagi."

Tiba-tiba Abu Al Haitham bin al Taihan bangun mencelah ketika Al Barra sedang berkata-kata itu. Katanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ada hubungan dan perjanjian dengan satu golongan, iaitu Yahudi di Yathrib. Apakah kalau kami memutuskan hubungan dengan mereka kemudian Allah memberikan kemenangan kepada kamu, maka kamu akan balik kepada kaum kamu dan meninggalkan kami begitu sahaja?"

Sambil tersenyum baginda pun berkata: "Bahkan darah tetap darah, binasa tetap binasa, aku dari kalangan kamu dan kamu dariku. Aku akan memerangi sesiapa yang kamu perangi dan aku akan berikan keamanan kepada sesiapa yang kamu selamatkan."

Penduduk Yathrib itu telah mendengar dengan teliti syarat-syarat yang Nabi Muhammad gariskan untuk mereka patuhi.

Mereka sedar akan kemungkinan boleh berlaku andai mereka bersetuju untuk menerima syarat-syarat itu namun pada masa sama tahu bahawa perjanjian itu mampu mengikat perlakuan-perlakuan buruk mereka sebelum ini.

Mereka yakin baiah itu mampu memberikan mereka kehidupan yang lebih baik dan terjamin di samping menjadi satu kelompok Arab yang bakal disegani lawan dan kawan.

Setelah berbincang sesama sendiri dan mengambil pelbagai pertimbangan, mereka pun berkata kepada Nabi Muhammad: "Kami mengambil keputusan bersedia atas musibah yang akan menimpa harta dan kematian di kalangan kami untuk menerima baiah ini.

"Maka apakah ganjaran untuk kami ya Rasulullah kalau kami bersetuju untuk baiah dan setia bersamamu?" Baginda pun menjawab pendek sahaja iaitu: "Syurga."

Lalu mereka kemudiannya pun berkata: "Hulurkanlah tanganmu wahai Rasulullah!"

Setelah berikrar dengan isi-isi kandungan baiah itu, lafaznya teguh di bibir dan teguh di hati maka mereka pun berbaiah seorang demi seorang dengan menjabat tangan Rasulullah yang didahului oleh Abu Umamah Asaad bin Zirarah.

Kecuali dua orang perempuan yang hadir dalam majlis baiah itu kerana baginda tidak berjabat tangan dengan perempuan yang ajnabi (bukan mahramnya).

Jabir bin Abdullah r.a menceritakan peristiwa ini dengan berkata: "Kami bangun kepada baginda seorang demi seorang untuk berjabat tanda berbaiah. Baginda mengambil tanggungjawab baiah yang dibebankan kepada kami. Dia memberi kepada kami akan janji-janji syurga yang merupakan satu kebenaran."

Memilih naqib

Selepas selesai baiah secara beramai-ramai itu, baginda Rasulullah terus meminta mereka memilih 12 naqib yang mewakili kaum mereka untuk menjadi ketua bagi menyampaikan segala arahan dan pesanan dari baginda kepada anak-anak buah masing-masing.

Mereka pun akhirnya berjaya memilih sembilan dari kalangan Khazraj dan tiga dari kalangan Aus.

Setelah selesai melantik kesemua naqib itu, sekali lagi baginda mengikat perjanjian dengan mereka di atas sifat mereka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap pengikut masing-masing mewakili perintah Allah dan RasulNya.

Baginda berkata kepada para naqib itu: "Kamu bertanggungjawab kepada kaum kamu dengan apa yang ada pada mereka sebagai penjamin, sebagaimana jaminan Hawariyyah (pengikut setia Nabi Isa) terhadap Isa bin Maryam dan aku menjadi penjamin terhadap kaum (seluruh Muslimin)".

Lalu kesemua mereka menerima kata-kata baginda itu.

Sementara menurut Hadi Awang dalam buku Fiqh Al Harakah Dari Sirah Nabawiyyah pemilihan para naqib itu bertujuan melicinkan perjalanan dan tindakan selanjutnya dan supaya semua tindakan itu tidak diketahui oleh semua anggota tetapi cukup bagi diketahui dan disalurkan melalui para pemimpin yang dilantik.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI