10 pemain remaja termahal

Saturday, July 24, 2010

Connor Wickham adalah bakat terbaru pemain remaja yang menyebabkan kelab Liga Perdana Inggeris berlumba-lumba untuk mendapatkan tandatangannya.
Dua pencabar Utara London, Arsenal dan Tottenham Hotspur sudah bersedia untuk bersaing sesama sendiri dalam usaha untuk memikat bintang harapan Ipswich Town itu, dengan bayaran sekitar £7 juta (RM34 juta) sudah dicanangkan.

Namun di mana letaknya Wickham dalam senarai 10 pemain remaja paling mahal pernah dibeli dalam pasaran bola sepak Inggeris?


1) Wayne Rooney: Everton ke Manchester United - £27 juta (RM132 juta)
Ingat namanya: Wayne Rooney. Pengurus United, Alex Ferguson tidak menunggu lama untuk menyambar pemain itu dengan bayaran £27 juta selepas dia menyinar buat England pada kejohanan Euro 2004. Dia hanya berusia 18 tahun ketika itu dan sudah bermain dua musim bersama pasukan utama Everton. Walaupun kurang menyerlah pada Piala Dunia, dia tetap muncul pemain utama United sejak beberapa musim lalu dan membantu kelab itu memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah.

2) Anderson: Porto ke Manchester United - £18 juta (RM88 juta)
Agak mengagumkan melihat pemain tengah Brazil, yang kurang menyinar dalam kariernya di Old Trafford, lebih mahal daripada Ronaldo, tetapi ia benar. Bekas pemain Porto itu menyebabkan Ferguson terpaksa mengeluarkan belanja besar £18 juta apabila membelinya pada 2007 ketika dia berusia 19 tahun. Sering kali dikaitkan dengan penghijrahan dari United tetapi tidak mungkin mereka boleh mendapatkan kembali wang daripada perjanjian terdahulu.

3) Cristiano Ronaldo: Sporting Lisbon ke Manchester United - £12 juta (RM58 juta)
Kedua-dua Liverpool dan Arsenal cuba memancingnya tetapi Manchester United akhirnya mendapatkan tandatangannya pada 2003 selepas dia bermain menentang Red Devils pada satu perlawanan persahabatan pra-musim. Pemain Ferguson menggesa bosnya untuk mendapatkan khidmatnya dengan bayaran £12 juta ketika Ronnie hanya berusia 18 tahun. Ia satu perniagaan yang berbaloi kerana United berjaya mendapat £80 juta (RM384 juta) tahun lalu selepas enam tahun menabur bakti.

4) Theo Walcott: Southampton ke Arsenal - £9 juta (RM43 juta)

Pemain sayap pantas itu adalah teman sebilik Gareth Bale apabila kedua-dua pemain itu berada di akademi remaja Southampton, tetapi memilih untuk bermain di Utara London apabila dia meninggalkan Saints. Walcott menyertai Arsenal pada 2006 dalam perpindahan membabitkan banyak wang ketika hanya berusia 16 tahun, tetapi dia mungkin boleh memilih sama ada Manchester United, Tottenham, Chelsea atau Liverpool. Mencuri tumpuan apabila pengurus England, Sven-Goran Eriksson membawanya ke Piala Dunia 2006, tetapi dia gagal bermain sebarang perlawanan di Jerman dan kemudian digugurkan daripada skuad Fabio Capello ke Afrika Selatan 2010. Dia baru berusia 21 tahun.

5) Gareth Bale: Southampton ke Tottenham - £5m (RM24 juta) (meningkat ke £10 - RM48 juta)
Pertahanan muda Wales mula menyerlah di Southampton pada 2006, pantas mengambil posisi pertahanan kiri dalam pasukan itu dan muncul sebagai pakar sepakan percuma. Manchester United berminat untuk mendapatkan khidmatnya, tetapi Bale memilih untuk berhijrah ke London dan menandatangani kontrak bersama Tottenham pada 2007, ketika berusia 17 tahun, dengan bayaran asal £5 juta. Bermula buruk dalam kariernya bersama Spurs kerana mereka tidak pernah memenangi sebarang perlawanan Liga Perdana apabila dia memulakan perlawanan - rekod yang berlarutan hingga 24 perlawanan. Lebih menarik, pembabitannya dalam kemenangan liga tidak hadir hingga lebih dua tahun selepas dia menyertai kelab itu. Kini sudah berjaya mengelakkan badi itu dan bertindak hebat pada hujung musim lalu.

6) Fabian Delph: Leeds United ke Aston Villa - £6 juta (RM29 juta)
Aston Villa mengatasi saingan sengit daripada beberapa kelab Liga Perdana termasuk Tottenham dan Manchester City untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 19 tahun itu pada 2009. Bekas pemain tengah Leeds itu hanya beraksi lapan perlawanan buat Villa musim lalu tetapi dilihat sebagai pemain harapan oleh Martin O'Neill. Seorang yang percayakan fenomena paranormal, Delph keluar daripada hotelnya hanya 40 minit selepas menandatangani kontrak dengan Villa, mendakwa ia berhantu dan banyak barang bergerak dalam biliknya.

7) Glen Johnson: West Ham ke Chelsea - £6 juta (RM29 juta)
Pertahanan kanan yang berusia 18 tahun ketika itu, hanya tampil dalam 15 perlawanan pasukan utama buat West Ham sebelum Chelsea membelinya pada 203 menjadikannya pemain pertama yang dibeli di bawah era Roman Abramovich di Stamford Bridge. Masih memegang rekod sebagai pemain remaja paling mahal pernah dibeli Chelsea, tetapi Jose Mourinho tidak meminatinya dan dia terpaksa berpindah ke Portsmouth selepas bergelut untuk beraksi dalam pasukan utama.

8) Robbie Keane: Wolverhampton ke Coventry - £6 juta (RM29 juta)
Wolverhampton Wanderers meminta wang besar terhadap penyerang berbangsa Irish mereka dan Coventry membayarnya. £6 juta adalah rekod bagi pemain remaja apabila Sky Blues membawanya ke Highfield Road pada 1999 ketika dia hanya berusia 19 tahun. Ia ternyata menjadi pelaburan berguna buat kelab itu apabila dia berhijrah ke Inter Milan tahun berikutnya dengan bayaran £13 juta (RM62 juta).

9) Aaron Ramsey: Cardiff ke Arsenal - £5 juta (RM24 juta)
Pemain berbakat luar biasa Wales berusia 17 tahun itu menjadi buruan Manchester United dan Everton, namun bintang harapan Cardiff City itu akhirnya memilih Arsenal, mengikat kontrak dengan Gunners pada 2008.

10) James Milner: Leeds ke Newcastle United - £5 juta (RM24 juta)
Produk akademi Leeds United, Milner yang berusia 18 tahun ketika itu dijual ke Newcastle United pada 2004 apabila kelab Elland Road itu menghadapi masalah kewangan yang meruncing. Kemudian berhijrah ke Aston Villa dengan harga £12 juta (RM58 juta)

Susunan Hamdan Saaid



Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI