Daphine Iking ingin lupa kisah lalu

Friday, July 23, 2010


Tidak lama dulu kisah kontroversi rumah tangga model, pengacara dan pelakon jelita ini pernah mendapat liputan meluas media dan hampir saban hari menjadi bualan masyarakat.

Namun, kini segalanya sudah berakhir bagi pemilik nama Daphne Eleanor atau lebih dikenali sebagai Daphine Iking, yang kini dilihat semakin selesa dengan kehidupan barunya. Ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Isobel Daniella Iking Chong, ini juga dilihat tabah menghadapi semua dugaan yang pernah singgah dalam hidupnya.

Bagi Daphine, apa yang berlaku sebelum ini banyak mengajarnya tentang erti kehidupan dan membuatkannya lebih matang. Tidak mahu terus dibelenggu dengan masa lalu, pengacara yang popular dengan program Explorace dan Breakfast Show ini lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan dan karier seninya.

"Sudah lumrah dunia, banyak yang akan berlaku apabila sudah menjalani kehidupan sendiri. Pada awalnya memang ia memberi tekanan, tapi saya tidak seharusnya berdiam diri.

“Sekarang saya mula melibatkan diri dengan melakukan banyak aktiviti berkaitan dengan kerja amal. Dalam masa yang sama sebagai selebriti dapat juga membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran program Drive.

Bercerita lebih lanjut tentang kerja-kerja amal yang pernah dilakukannya, Daphine memberitahu, selain pernah membantu anak-anak yatim untuk beberapa buah rumah kebajikan, dia juga cuba membantu meringankan beban orang-orang miskin dengan menghadiahkan mereka makanan.

Daphine berkata, dia pernah membeli hampir 200 bungkus makanan untuk diberikan kepada mereka yang kurang upaya di sekitar Jalan Chow Kit. Melihat kegembiraan di wajah mereka yang menerima sumbangan itu, sudah cukup membuatkan hatinya berasa gembira.

Bagi Daphine, kerja-kerja murni seperti itu kini sudah menjadi sebahagian daripada agenda hidupnya. Namun, dalam misinya untuk membantu golongan ini, ada juga rakan-rakannya membantah kerana khuatir keselamatannya terancam.

“Mereka menganggap saya membuat kerja bahaya kerana ada sebilangan daripada golongan ini adalah penagih dadah. Memang ada pengalaman berdepan dengan mereka. Tapi sebaik saya tiba, mereka lari kerana menyangka saya polis. Peristiwa itu memang saya tak dapat lupakan, tapi syukurlah setakat ini, tidak ada peristiwa buruk yang berlaku.

“Saya sikit pun tidak merasa janggal untuk melakukan perkara sebegini malah amat gembira kerana sikit-sebanyak dapat mengutip pengalaman baru. Malah saya turut mendedahkan aktiviti seperti ini kepada anak saya (Isobel Daniella Iking-Chong). Saya ingin menunjukkan kepadanya bahawa kerja amal dapat memberikan manfaat,” katanya yang bakal menjayakan program mengumpul dana bagi membantu Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Taman Megah.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI