Kumpulan Gajah Pygmy Borneo Sesat Diselamatkan

Thursday, February 28, 2013 0 Komen

10 gajah jenis Pygmy Borneo yang tersesat lebih 45 kilometer dari hutan sehingga memasuki kawasan kampung, diselamatkan sepasukan kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) sebaik menerima maklumat daripada penduduk kampung.

Difahamkan, semua gajah itu yang menghuni di Hutan Simpan Tabin dipercayai tersesat dan ditemui berkeliaran di ladang kelapa sawit terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar ini.

Pegawai Kanan JHL Jibius Dausip berkata, semua gajah berkenaan ditangkap secara berperingkat antara 18 dan 25 Januari lalu sebelum dibebaskan ke habitat asal mereka.

“Bagaimanapun, seekor gajah jantan berusia empat tahun terpaksa dihantar ke Taman Hidupan Liar Kem Lok Kawi untuk rawatan berikutan mengalami kecederaan serius di belalainya.

“Pihak kami menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa melihat sekawan gajah merayau di kawasan rumahnya di Sri Tungku Simpang Ladang Permai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan kakitangan bergegas ke lokasi dan menemui 10 gajah iaitu sembilan betina dan seekor jantan.

“Kejadian ini jarang berlaku kerana kumpulan gajah ini sudah tersasar terlalu jauh dari habitat asal mereka,” katanya.

Sementara itu, Doktor Haiwan dari Unit Penyelamat Hidupan Liar Diana Ramirez berkata, semua gajah itu dihantar secara berperingkat mulai 18 dan 25 Januari lalu selepas dipasangkan alat penjejak.

“Sementara seekor gajah jantan yang cedera parah dipercayai terkena perangkap dihantar ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk rawatan,” katanya.

“Gajah jantan ini pasti sukar menjalani kehidupannya di hutan akibat kecederaan teruk pada belalai dan terpaksa dirawat,” katanya.

Pengarah Danau Girang Field Centre (GDFC), Dr Benoit Goossens berkata, pemantauan satelit terhadap dua gajah betina yang dipasang alat penjejak mendapati kumpulan haiwan itu masih berada dalam hutan.

Kanak-kanak wajah kurang menarik selalu jadi mangsa dera

Thursday, February 28, 2013 0 Komen

Kajian polis mendapati kanak-kanak yang mempunyai paras rupa kurang menarik antara yang mudah menjadi mangsa dera.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Hamidah Yunos berkata paras rupa tidak menarik dilihat menjadi faktor pendorong perasaan marah ibu bapa atau penjaga dan seterusnya bertindak untuk memukul.

"Kalau kita tengok dalam kalangan adik beradik pun biasanya yang tidak menarik parasnya akan dipinggirkan, begitu juga dengan kes dera, ibu bapanya terdorong untuk memukul," katanya kepada Bernama.

Hamidah berkata, kajian juga mendapati ibu bapa yang pernah didera semasa zaman kanak-kanak sebenarnya turut mempengaruhi psikologi mereka melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka.

Beliau berkata, tekanan kerja kekal menjadi faktor utama berlaku penderaan terutamanya apabila kebanyakan ibu bapa masa kini mempunyai kerjaya.

"Mereka tidak lagi mempunyai pertimbangan untuk tahan dengan sikap anak-anak dan sasarannya anak-anak yang banyak ragam atau nakal.

"Begitu juga dengan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pengasuh, apabila mereka ditekan oleh ibu bapa agar memastikan penjagaan anak-anak mereka berada pada tahap terbaik, ia seakan menjadi bebanan kepada pengasuh sehingga berlakunya kes penderaan," katanya.

Hamidah turut mendedahkan trend ibu bapa dan pengasuh masa kini mudah mereka-reka cerita kononnya anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka mengalami kecederaan akibat terjatuh atau sebagainya bagi mengaburi perbuatan dera yang telah dilakukan.


"Apabila hari-hari didera, kanak-kanak itu tadi mengalami kecederaan kritikal, pelaku mula risau dan membawa kanak-kanak tersebut ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan melaporkan kanak-kanak itu terjatuh atau sebagainya.

"Tetapi apabila pemeriksaan dijalankan, doktor mendapati kecederaan yang dialami kanak-kanak itu sebenarnya kesan luka lama dipercayai didera. Ia juga sama sekali tidak konsisten dengan laporan yang dibuat pelaku semata-mata untuk melindungi diri mereka daripada perbuatan mendera," katanya.

Beliau berkata sekiranya doktor yang memeriksa berhadapan dengan kes seperti itu, mereka mempunyai kuasa untuk melaporkan kes kepada pihak polis dan pelaku itu tadi tidak mempunyai peluang untuk melepaskan diri di atas perbuatan yang telah mereka lakukan.


"Apabila kita terima laporan, kita akan hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk beri sesi kaunseling atau tempat perlindungan kepada mangsa.

Kita juga akan jalankan siasatan dan mangsa yang berumur di bawah 16 tahun akan dihantar ke Pusat Sokongan dan Temuduga Forensik Kanak-kanak (PSTFK) untuk rakaman keterangan melalui video," kata Hamidah.

Katanya ibu bapa dan pengasuh menjadi penyumbang utama dalam kes penderaan kanak-kanak dengan statistik terkini merekodkan sebanyak 285 kes penderaan kanak-kanak pada tahun lepas berbanding 2010 sebanyak 242 kes.

“Statistik itu juga menunjukkan peningkatan kira-kira 17.8 peratus. Ia menunjukkan orang ramai termasuk doktor yang merawat mangsa dera semakin peka dan mempunyai kesedaran untuk melaporkan kes penderaan kepada pihak polis.

“Ini bermakna masyarakat telah sedar bahawa penderaan kanak-kanak adalah jenayah berbanding dulu," katanya.

Berdasarkan statistik, kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun menjadi mangsa penderaan tertinggi dalam tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun lepas sebanyak 136 orang berbanding 117 pada 2011, diikuti kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas sebanyak 99 orang berbanding 82 orang dan kanak-kanak berusia kurang satu tahun sebanyak 50 orang berbanding 43 orang, katanya.

“Majoriti penderaan berlaku ke atas kanak-kanak lelaki yang dianggap lebih lasak berbanding kanak-kanak perempuan,” katanya.

Statistik turut merekodkan kes penderaan tertinggi mengikut negeri adalah Selangor dan Johor, masing-masing 67 kes diikuti Pulau Pinang (25), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (18), Sarawak (15), Melaka (13), Perak (12), Kelantan (10), Sabah (10), Pahang (9), Kedah (8), Terengganu (4) dan Perlis (3).

Individu didapati bersalah melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, katanya.

Kerajaan Filipina enggan jumpa Sultan Sulu

Thursday, February 28, 2013 0 Komen

Kerajaan Filipina hari ini menolak hasrat Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, untuk bertemu Presiden Filipina, Benigno Aquino selagi pengikut-pengikutnya tidak meninggalkan Sabah, sambil menyifatkan permintaan itu sebagai 'tidak boleh diterima.'

Jurucakap Aquino, Edwin Lacierda berkata, pengikut Kiram perlu meninggalkan Sabah terlebih dahulu bagi meredakan ketegangan di kawasan itu, sebelum sebarang rundingan dengan kerajaan Filipina boleh diadakan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat Aquino selepas mengambil kira soal keselamatan, bukan sahaja keselamatan pengikut-pengikut Kiram, tetapi juga keselamatan lebih 800,000 rakyat Filipina yang berada di Sabah.

Lacierda turut menegaskan bahawa Aquino hanya bersedia berunding dengan Kiram selepas kesemua pengikutnya meninggalkan Sabah.

"Ketegangan perlu diredakan di kawasan itu (Sabah) dan selepas itu kita berbincang. Namun, dengan masih terdapat penyerang bersenjata di Lahad Datu, jangan harap kami akan bertemu anda dan berbincang dengan anda.

"Keadaan itu menunjukkan anda mendesak kami. Ia tidak boleh diterima," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran pengikut Kiram di Sabah tidak membantu tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah.

Lacierda berkata, tindakan Kiram dan pengikutnya itu bukan langkah yang wajar bagi mengadakan rundingan.

"Anda mahu kerajaan membantu tuntutan anda. Presiden (Aquino) sudah meminta anda pulang dan kemudian diadakan rundingan, namun anda menolak.

"Keadaan sekarang ibarat anda mengacu senjata dan mendesak diadakan rundingan, ia bukan sesuatu yang boleh diterima," katanya. - AGENSI

Misao Okawa, Wanita Tertua Di Dunia

Thursday, February 28, 2013 0 Komen

Seoarang wanita Jepun, Misao Okawa telah diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness sebagai wanita tertua di dunia dalam satu majlis khas di Osaka.

Menurut Institut Penyelidikan Gerontologi yang berfungsi mengesahkan maklumat mengenai umur untuk Guinness, Misao dilahirkan pada 5 Mac 1898 dan beliau bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-115, minggu depan.



Pada masa ini, Jepun mempunyai lebih 51,000 penduduk berumur sekurang-kurangnya 100 tahun dan 87 peratus daripadanya ialah wanita.

Jepun memang terkenal sebagai negara yang mempunyai tahap kesihatan penduduk yang tinggi.

Mohd. Azmil Ketua Pegawai Operasi UDA yang baru

Wednesday, February 27, 2013 0 Komen

UDA Holdings Berhad (UDA) hari ini mengumumkan perlantikan Mohd. Azmil Abd Shukor sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan baharu syarikat itu.

UDA melalui satu kenyataan media memberitahu, perlantikan Mohd. Azmil ke jawatan itu berkuat kuasa pada 15 Februari lalu.

“Beliau berkelulusan Bachelor (With Hons) Architecture dari University of Nottingham serta BSC (Hons) in Architecture dari University of East London.

“Mohd. Azmil berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengurusan projek, pembinaan dan pembangunan hartanah merangkumi sektor perancangan bandar dan infrastruktur, perumahan, industri berat, komersial dan kawasan lapang serta kemudahan awam,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, Mohd. Azmil pernah menjadi pengurus projek di Dubai untuk satu syarikat perunding yang tersenarai di NASDEC, pengarah operasi syarikat pembangunan hartanah milik penuh salah sebuah bank di Bahrain dan pengarah pembangunan di satu syarikat pembangunan hartanah di Azerbaijan.

Tambah kenyataan itu,  Ketua Pegawai Operasi Kumpulan UDA baharu itu juga telah berkhidmat di UEM Land Berhad khususnya bagi pembangunan Bandar Nusajaya sejak tiga tahun lalu dan jawatan terakhir yang disandang beliau adalah pengurus besar kanan.

Jelas kenyataan itu, portfolio beliau sebagai Ketua Operasi Kumpulan UDA termasuk pembangunan hartanah di bawah anak syarikat iaitu UDA Land Sdn. Bhd., pengurusan harta, pengurusan dan penyeliaan fasiliti dan juga projek khas seperti pembangunan Pusat Bandar Bukit Bintang.

`Super Syafiq' budak Superman

Wednesday, February 27, 2013 0 Komen

`Super Syafiq'

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mendapat julukan `budak Superman' berikutan masih hidup dan mampu berjalan walaupun selepas buah pinggang, limpa, tulang rusuk dan paru-parunya cedera teruk akibat dilenyek traktor mengangkut buah kelapa sawit.

Muhd Syafiq Abdul Hamid, 10, digilis traktor mengangkut buah sawit seberat lebih tiga tan ketika dalam perjalanan menuju pusat pengumpulan sawit Changkat Lobak, Alor Pongsu, di sini, jam 2.30 petang, 29 Januari lalu.


Pemeriksaan doktor mendapati Muhd Syafiq mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk menyebabkan dia ditahan untuk menerima rawatan di hospital selama 26 hari termasuk 16 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.

Bagaimanapun, bapanya, Abdul Hamid Dahaman, 48, berkata, keanehan berlaku kerana anak bongsunya itu bukan saja tidak menunjukkan kesan kecederaan fizikal teruk sejurus kejadian, malah kini mampu berjalan.

"Doktor turut menganggap apa yang berlaku ke atas Muhd Syafiq satu keajaiban daripada Tuhan kerana dia masih hidup biarpun banyak organ dalamannya cedera teruk," katanya.

Menurut Abdul Hamid, tragedi menimpa anaknya itu berlaku ketika dia memandu traktor menuju pusat pengumpulan buah kelapa sawit terletak satu kilometer dari rumahnya.

"Ketika itu Muhd Syafiq duduk di atas traktor, namun dia tergelincir dan jatuh sebelum tubuhnya digilis tayar belakang traktor yang membawa buah sawit.

"Saya memberhentikan kenderaan dan mendapatkannya yang ketika itu dalam keadaan terbaring, namun saya terkejut besar apabila dia mampu bangkit tanpa menunjukkan reaksi sakit atau cedera serius," katanya.

Abdul Hamid berkata, walaupun Muhd Syafiq tidak menunjukkan kecederaan serius dia segera membawa anaknya ke Hospital Selama untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Doktor pakar yang melakukan imbasan X-ray terkejut apabila mendapati tulang rusuk anak saya lari dari kedudukan asal selain beberapa kecederaan pada organ dalaman lain. Muhd Syafiq dipindahkan ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan.

"Namun anak bongsu saya itu langsung tidak mengadu sakit menyebabkan saya semakin keliru mengenai keadaan kesihatannya," katanya.

Menurutnya, sebaik sampai di Hospital Taiping, Muhd Syafiq sekali lagi melalui imbasan X-ray sebelum doktor mengesahkan kecederaan anak saya parah.

"Kami sekeluarga sukar menerima kenyataan apabila doktor mengesahkan buah pinggang, limpa dan paru-parunya rosak manakala tulang bahu sebelah kanan turut patah.

"Ini kerana dia kelihatan seperti biasa, namun untuk keselamatan doktor menahannya di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut serta pemantauan," katanya.

Abdul Hamid berkata, Muhd Syafiq terlantar 16 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping dan 10 hari di wad pesakit biasa.

"Dia baru dibenarkan keluar dari hospital (kelmarin) dan keadaannya kini stabil. Namun kami sekeluarga sentiasa memerhatikannya setiap masa. Ini kerana doktor berpesan, sebarang kemalangan kecil seperti terjatuh sudah cukup untuk membahayakan nyawanya," katanya. 

Wanita jangan mudah cair ayat cinta manis Facebook

Tuesday, February 26, 2013 0 Komen

Ayat Cinta Facebook Jerat Wanita
Golongan wanita terutama yang berkerjaya diingatkan tidak mudah 'cair' dengan ayat-ayat cinta dihantar jejaka warga asing dalam laman sosial facebook kerana ia mungkin perangkap pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.

Pengerusi Gerakan Pengguna Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Norsima Hassan berkata, pihaknya menyedari ramai golongan wanita profesional menjadi 'mangsa' penipuan Internet terutama melalui laman sosial berdasarkan laporan media sejak kebelakangan ini.

Katanya, walaupun pihaknya tidak menerima aduan daripada ahli Skuad Pengguna SPU mengenai individu yang sudah menjadi mangsa, langkah berwaspada perlu diambil sebelum terlewat.

"Seperti yang kita tahu penipu menggunakan pelbagai taktik untuk memerangkap mangsa termasuk facebook yang dikunjungi pelbagai golongan termasuk wanita sunyi yang mahu mencari teman.

"Kita nasihatkan wanita supaya jangan mudah terperangkap dengan kata-kata manis dihantar jejaka tampan kerana ia mungkin perangkap digunakan pihak tertentu untuk mendapatkan wang," katanya selepas pelancaran Skuad Pengguna SPU di sini, semalam.

Pelancaran dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim.

Skuad Pengguna SPU kini mempunyai ahli seramai 270 orang daripada 5,000 ahli di seluruh Pulau Pinang.

Skuad berkenaan berperanan melaporkan kepada pihak berkaitan mengenai kenaikan harga barang, penipuan jualan murah atau penipuan perdagangan dalam talian serta meningkatkan kesedaran kepenggunaan melalui kegiatan kepenggunaan dalam komuniti setempat.

Norsima berkata, sebagai pengguna, setiap individu harus menggunakan haknya supaya tidak tertipu dengan pihak tertentu sama ada jualan murah atau penipuan melalui Internet.

Sementara itu, Azhar berkata, Skuad Pengguna wajar ditubuhkan di setiap Kadun supaya dapat melindungi hak orang ramai termasuk masyarakat luar bandar agar tidak mudah ditipu peniaga.

"Jika pengguna kuat, mereka boleh memboikot kedai yang menjual barang pada harga terlalu tinggi. Di negara maju misalnya, tidak perlu agensi yang mengawal harga kerana gerakan pengguna mereka sangat kuat dan boleh mengambil tindakan sendiri," katanya.

Chromebook Pixel dilancar Google

Monday, February 25, 2013 0 Komen

Chromebook Pixel Google
Google melancarkan komputer peribadi skrin sesentuh yang direka bagi pengguna mewah sekali gus memberikan persaingan kepada Apple MacBooks.

Google berkata komputer Chromebook Pixel yang menggabungkan teknologi laptop dan tablet, menawarkan cip intel yang berdaya tahan serta skrin yang dikhususkan bagi elemen grafik yang tinggi.
Ia dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain pada harga permulaan AS$1,299 (RM4,026.90).



“Orang ramai akan berhenti memilih MacBook Air dan menggantikannya dengan yang ini,” kata Naib Presiden Kanan Google Chrome, Sundar Pichai.

Model Pixel yang mempunyai ciri seperti sambungan bina dalam kepada perkhidmatan Internet mudah alih Verizon yang akan berada di pasaran AS pada harga AS$1,449 (RM4,491.90).

Versi yang baru dilancarkan itu boleh mempunyai sambungan dalam talian dengan teknologi hotspot tanpa wayar atau kabel.

“Ia adalah sebuah produk yang hebat,” kata Om Malik dari laman web berita teknologi, GigaOm semasa kemunculan pertama Pixel di San Francisco.

“Namun Google mempunyai masalah dengan jualan, mereka perlu bersaing dengan harga asal dan mambina asas pemaju bagi produk mewah,” katanya.

Google berharap peminat akan mengelakkan perbandingan harga dengan pesaing seperti MacBooks atau komputer riba yang menggunakan perisian Windows 8 dan memfokuskan kepada ciri skrin sentuh Pixel dan penyimpanan data yang besar dalam Google Drive yang turut dimuatkan.

“Ia kelihatan seperti agak sukar dijual,” kata Penganalisis Forrester, James McQuivey.

“Saya berharap mereka tidak bercadang untuk membuat keuntungan daripadanya,” katanya.

Dalam pada Pixel kelihatan menyasar pasaran MacBook, ia turut berdepan dengan persaingan sengit daripada komputer riba skrin sentuh berasaskan perisian Windows 8.

“Ia seolah-olah lebih kepada pengeluaran produk simbolik dengan Google cuba menyatakan ia tidak lagi menjadi penyedia peranti yang tidak berkualiti,” kata McQuivey.

Penganalisis daripada Enderle Group, Rob Enderle menyifatkan langkah Pixel sebagai “bangkai kereta api” dengan menyatakan hujah seperti selalunya komputer riba yang berharga lebih AS$600 (RM1,860) tidak mencatatkan jualan yang bagus dan Apple juga bergelut untuk menjual model MacBook Air dengan harga AS$999 (RM3,096.90)

Populariti komputer tablet yang melonjak turut menghakis keseluruhan pasaran bagi komputer riba.

“Ia hanya memeranjatkan. Saya tidak mempunyai petunjuk apa yang sedang difikirkan Google,” kata Enderle.

Pengumuman itu menambah dimensi baru kepada persaingan antara dua gergasi teknologi yang terperangkap dalam saingan sengit pada telefon pintar dan tablet. - AFP

Orang bermata coklat lebih dipercayai

Monday, February 25, 2013 0 Komen

Mereka yang mempunyai mata berwarna coklat boleh dipercayai berbanding lelaki bermata biru atau warna lain, lapor satu kajian.

Dalam satu kajian baru diterbitkan dalam PLOS ONE, penyelidik diketuai Karel
Kleisner dari Universiti Charles di Republik Czech, menyiasat faktor yang menentukan wajah boleh dipercayai. Pengaruh interaksi sosial

Penyelidikan sebelum ini menunjukkan penampilan wajah secara ketara mempengaruhi pelbagai interaksi sosial.

Persepsi wajah memberi maklumat berkaitan kepercayaan, berikutan itu ia memberi memberi kesan ke atas kejayaan ekonomi, sosial dan reproduktif seseorang individu.

Penyelidik bertanya sekumpulan peserta untuk menentukan kadar kebolehpercayaan wajah lelaki dan wanita berdasarkan dua kriteria. Pertama, warna mata dan kedua, bentuk wajah.
“Sejumlah besar subjek mendapati wajah bermata coklat lebih dipercayai berbanding biru, tidak kira sama ada mereka lelaki atau wanita,” kata salah seorang penyelidik berkenaan.

Wajah lelaki bulat bermulut besar dan dagu lebih lebar dilihat lebih dipercayai berbanding runcing, bagaimanapun bentuk wajah wanita tidak banyak memberi kesan sejauh mana mereka boleh dipercayai.

Penyelidik juga menjalankan ujian ketiga, memberi peserta gambar wajah lelaki yang sama kecuali satu variasi: warna mata. Ketika ujian ini mereka mendapati kedua-dua warna mata dianggap boleh dipercayai.

Mereka juga mendapati kunci untuk dianggap boleh dipercayai bukan datangnya dari warna mata, namun daripada kriteria wajah yang dikongsi individu bermata coklat.

Sebagai contoh, lelaki bermata coklat secara umum memiliki bibir lebar dengan sudut lebih menaik, dagu lebar, mata besar dan kening lebih rapat antara satu sama lain, kriteria dianggap maskulin dan lebih dipercayai.

AGENSI

Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah peringkat kebangsaan dilancar

Sunday, February 24, 2013 0 Komen

Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah peringkat kebangsaan dilancar sebagai inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.

Terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sarana Ibu bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran sarana itu meminta pihak sekolah menukar imej supaya dilihat sebagai tempat memupuk persefahaman dan muafakat antara ibu bapa dan masyarakat.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Muhyiddin berkata, imej sekolah yang selama ini dilihat sebagai kepunyaan guru dan murid semata-mata perlu ditukar bagi menarik minat ibu bapa dan masyarakat bekerjasama dengan sekolah demi kepentingan pelajar.

“Sebagaimana yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak kita adalah dengan bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

“Inisiatif ini melibatkan kepentingan dan masa depan lebih 5.4 juta murid seluruh negara dan anggaran murid yang terlibat bagi tempoh 12 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang,” katanya.

Tema majlis yang dihadiri wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pemimpin masyarakat setempat dari seluruh negara ialah ‘Anak Nadi Aspirasi Kita – Pendidikan Anak Tanggungjawab Bersama’.

Muhyiddin berkata, kementerian memperkenalkan dokumen Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah bagi menyatukan setiap pihak berkepentingan kerana penglibatan semua pihak amat diperlukan untuk melahirkan aset negara yang berharga.

“Sarana Ibu Bapa memberi fokus kepada peranan ibu bapa dalam pendidikan. Kajian OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) dijadikan asas dalam penyediaan sarana ini.

“Dapatan OECD ini tidak menghairankan kerana jika kita teliti satu persatu, setiap aspek yang disenaraikan memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari keperluan dan kemudahan anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa di rumah,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu juga diseru supaya dapat menyumbangkan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada pihak sekolah.

Mengenai Sarana Sekolah pula, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) kerana sekolah seperti di negara maju, ibu bapa adalah penggerak utama untuk melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah.

Bagaimanapun, katanya, tidak akan sempurna jika usaha mendidik hanya membabitkan ibu bapa, sekolah dan masyarakat kerana semua kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta juga perlu memainkan peranan yang bersesuaian dalam aspek pembangunan kemanusiaan, kemahiran keibubapaan, kesihatan mental dan fizikal dan sebagainya. – BERNAMA

Kopi Boleh Panjang Umur

Saturday, February 23, 2013 0 Komen

Khasiat kopi panjang umur
Sekumpulan saintis mendakwa menikmati tiga cawan kopi sehari berupaya memanjangkan setahun umur manusia.Kajian dilakukan ke atas 500,000 warga emas mendapati risiko kematian menurun disebabkan mereka lebih banyak meminum kopi dalam sehari. Saintis Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat, Dr Neal Freedman berkata, dari penyelidikan dilakukan mereka yang mengambil dua atau tiga cawan kopi sehari dapat mengurangkan risiko kematian awal sebanyak 10 hingga 15 peratus.

 “Tetapi sekiranya individu mengambil lebih daripada dua atau tiga cawan, ia tidak memberi manfaat malah dianggap tidak sihat kerana kandungan kafein boleh memberi risiko kepada masalah jantung, strok, kencing manis dan Parkinson," katanya. Menurutnya, hipotesis kajian dari individu berusia 50 dan 71 itu telah dilakukan sejak 12 tahun lalu dan menunjukkan bukti kukuh. “Tabiat minum kopi dikaitkan dengan tingkah laku yang mampu menghindari seseorang daripada mengambil minuman beralkohol, karbonat ataupun memakan daging berkalori tinggi," katanya.

 Beliau berkata, kopi boleh meningkatkan tekanan darah tinggi. “Sebatian berbeza dalam kopi adalah penting, iaitu pengambilan tanpa gula adalah yang terbaik,” katanya. Dr Freedman berkata, pengambilan kopi dalam kadar sederhana tidak memudaratkan kesihatan malahan memberi banyak faedah kepada tahap kesihatan meskipun pengambilannya boleh menyebabkan ketagihan. "Kajian menunjukkan kesan pengambilan kopi dapat mengurangkan risiko diabetes iaitu dua kali adalah lebih rendah berbanding dengan mereka yang tidak meminum kopi," katanya.

 Menurutnya lagi, kajian membuktikan selain meningkatkan fungsi kognitif, kopi boleh mengurangkan risiko batu karang, kanser kolon dan kerosakan hati. "Kopi juga terbukti mampu meningkatkan prestasi dan ketahanan manusia dalam aktiviti fizikal seperti mereka yang sering berjaga sehingga lewat malam akan lebih segar setelah meminum kopi," katanya. - Jurnal Penyelidikan Kafein.

Bahasa Inggeris Mungkin Wajib Lulus SPM - TPM

Saturday, February 23, 2013 0 Komen

Bahasa Inggeris Mungkin Wajib Lulus- TPM
Kerajaan sedia mengkaji kemungkinan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun saranan itu hanya akan dilaksanakan apabila pelajar dan sistem pembelajaran telah bersedia.

“Ramai memberitahu kepada saya, walaupun pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah sudah baik tetapi ada yang cakap ini belum cukup dan perlu ada usaha untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di seluruh negara.

“Mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, kita akan menetapkan supaya lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadi satu perkara yang wajib…mesti lulus,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Guru Muda Malaysia yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini hari ini. – BERNAMA

Remaja perempuan menyesal ikut kekasih lari ke Pulau Flores Indonesia

Saturday, February 23, 2013 0 Komen

Remaja perempuan menyesal ikut kekasih lari ke Pulau Flores Indonesia

Terpaksa terjun di tengah laut dan berenang lebih 24 jam dari perairan Johor ke Pulau Batam, Indonesia selepas bot dinaikinya ditahan penguat kuasa maritim antara pengalaman mengerikan seorang remaja yang lari mengikut kekasihnya berasal dari Pulau Flores, hampir enam tahun lepas.

Namun tindakan nekad Munirah Abdul Hamid, 22, itu menjerat diri apabila lelaki itu meninggalkannya terumbang-ambing bersendirian di Pulau Batam dan dia terpaksa bekerja hampir setahun sebagai pembantu rumah dengan bayaran serendah 250,000 rupiah sebelum membawa diri ke Pulau Adonara, Flores Timur Indonesia.

Bagaimanapun, dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Munirah berjaya dibawa pulang dan ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini disambut dengan linangan air mata oleh anggota keluarganya.

Munirah yang melarikan diri selepas pulang dari sekolah pada April 2007 dilihat menerpa dan melutut di kaki ibunya, Robeah Hamid, 52, sebelum memeluk bapanya, Abdul Hamid Mat, 51, sambil ditemani suami yang baharu dikahwini setahun lepas, Mohd Najib Abdullah, 35, dan anak lelakinya, Mohamad Tajul Azzez, sembilan bulan.

Ditemui pemberita kemudiannya, Munirah menyatakan rasa kesal dengan apa yang dilakukannya dan memohon maaf kerana menyusahkan ramai pihak sepanjang proses membawanya pulang ke kampung halamannya di Tanjung Dawai, Sungai Petani Kedah.

"Selepas ini saya mahu mulakan hidup baru bersama suami dan anak serta bertekad tidak akan pulang lagi ke sana (Indonesia)," katanya.

Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata proses membawa pulang remaja itu mengambil masa lebih sebulan dan beliau menasihati anak gadis di negara ini agar berfikir panjang sebelum lari mengikut teman lelaki ke Indonesia kerana mereka berdepan risiko dikenakan hukuman berat oleh pemerintah negara itu jika tersalah langkah.

"Ini adalah kes yang paling jauh kita selesaikan. Hasil rundingan dan kerjasama antara kedua belah pihak Munirah dibawa pulang secara baik walapun dia sepatutnya boleh dikenakan hukuman kerana menceroboh negara orang tanpa dokumen sah," katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid yang bekerja sebagai nelayan berkata tiada apa yang dapat beliau ucapkan selain rasa syukur dan berterima kasih kepada KP1M serta Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Mat Zain di atas bantuan yang diberi. - Bernama

Gerbang Malam Ipoh, Jalan Tahwil Anuar

Saturday, February 23, 2013 0 Komen

Gerbang Malam Ipoh

Bandaraya Ipoh memang sibuk di siang hari. Menjelang malam, suasana menjadi tenang dan sunyi.

Namun, jika mengunjungi Jalan Tahwil Anuar, tatkala malam menjelma, anda dapat menyaksikan kesibukan peniaga menurunkan barang dagangan masing-masing dan membuka gerai mereka.

Sejak dibuka pada 2003, destinasi ini semakin mendapat sambutan di kalangan peniaga dan pengunjung. Sesuai dengan namanya, Gerbang Malam Ipoh.

Gerbang Malam Ipoh
Gerbang Malam Ipoh


Semakin malam melabuhkan tirainya, semakin banyak kenderaan berpusu-pusu mencari tempat meletak kenderaan untuk mengunjung Gerbang Malam.

Justeru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan kemudahan meletak kenderaan di sekitar medan perniagaan ini.

Malah, MBI memperuntukkan RM1 juta untuk menaik taraf Gerbang Malam pada tahun ini.

Terbaru, MBI dan Polis Diraja Malaysia menubuhkan pondok polis dua tingkat di lokasi Gerbang Malam bagi memantau keselamatan kawasan ini berikutan ia semakin mendapat sambutan dari warga tempatan.

Dengan slogan `Singgahla... Macam-macam Ada', pelbagai barangan boleh didapati di sini.

Pakaian wanita, kasut, barang kraftangan dan aksesori telefon bimbit dapat dibeli di Gerbang Malam dengan harga yang berpatutan.

Dari 160 lot niaga yang ditawarkan, 130 daripadanya disewakan. Antara gerai yang mencuri tumpuan, antaranya gerai yang menawarkan perkhidmatan melukis inai di tangan dan gerai menjual peralatan silap mata.

Gerbang Malam Ipoh
Gerbang Malam Ipoh
Pengunjung, Azizah Abd Salim, 30, berkata, dia kerap ke sini untuk mendapatkan barangan keperluan seperti kain tudung kerana harganya lebih murah dan boleh tawar menawar berbanding tempat lain.

Tambahnya, kesibukan di siang hari juga menyebabkan nya memilih Gerbang Malam sebagai lokasi berbelanja.

Biarpun berkonsepkan `uptown' seperti di kebanyakan tempat lain, Gerbang malam tetap mempunyai keistimewaan tersendiri menyebabkan kawasan ini sentiasa meriah dengan orang ramai dan sesak terutama pada malam minggu.

Pelancong asing yang menginap di bandaraya ini juga turut meluangkan masa membeli belah di sini.

Pada bulan Ramadan setiap tahun, Gerbang Malam bertambah sibuk dengan pertambahan gerai jualan.

Walau bagaimanapun, gerai makanan dan minuman tidak dibenarkan dibuka di Gerbang Malam mungkin atas faktor kebersihan, pengunjung dapat menjamu selera di medan selera atau restoran berdekatan.

Jika letih berjalan kaki atau untuk melancarkan peredaran darah, singgah saja di beberapa gerai urutan refleksologi, tukang urut bertauliah akan memberikan perkhidmatan mereka dengan bayaran berpatutan.

Justeru, jangan lepaskan peluang menikmati kemeriahan Gerbang Malam apabila mengunjungi Ipoh.


Rawatan rangsangan saraf otak

Saturday, February 23, 2013 1 Komen

Rawatan rangsangan saraf otak

Otak adalah organ istimewa, anggota badan manusia di kedudukan paling atas dan dilindungi lapisan tengkorak keras bagi mengelakkan kecederaan. Ia 10,000 kali lebih rumit daripada sebarang komputer dan peralatan elektronik canggih serta mampu bekerja dalam air.

Beratnya cuma dua peratus daripada keseluruhan tubuh dan ia menggunakan 20 peratus aliran darah dan tenaga badan dan menjana 25 watt pada waktu rehat.

Sebagai pusat kawalan utama bagi tubuh dan pemproses maklumat pusat badan, otak mengandungi lebih 100,000 sel saraf (neuron) yang setiap satu bersambung dengan lebih 10,000 neuron yang lain serta terbentuk lebih daripada 100,000 trilion sinaps (sambungan).

Otak mempunyai kaitan erat dengan pemikiran dan menyelaraskan semua aktiviti tubuh, termasuk emosi, penglihatan, fikiran dan pergerakan otot selepas menerima maklumat menerusi deria dari dalam dan luar tubuh.

Otak mempunyai tiga bahagian iaitu depan, belakang dan tengah. Otak depan atau otak besar mengandungi serebrum, talamus dan hipotalamus. Bahagian ini mengawal sistem anggota badan.

Otak tengah mengandungi tektum dan tegmentum dan berfungsi membantu koordinasi gerak mata, ukuran anak mata dan tindakan tertentu pada pendengaran.

Otak belakang yang mengandungi pons, medula dan serebelum, berfungsi sebagai pusat pengatur refleks fisiologi seperti degupan jantung, tekanan udara, suhu tubuh, pelebaran atau penyempitan pembuluh darah, gerak alat pencernaan dan kelenjar pencernaan. Fungsi lain ialah mengatur gerak refleks seperti batuk dan bersin.

Pengerusi Pusat Neurosains dan Ortopedik ANOC Sdn Bhd, Dr Chee Chee Pin, berkata neurosurgeri di Malaysia berkembang maju dalam tempoh 25 tahun lalu, lebih-lebih lagi dengan pembangunan banyak pusat neurosurgeri di seluruh negara, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Menurutnya, kebanyakan kes penyakit berkaitan neurosurgeri boleh dikawal tetapi ada kes epilepsi (sawan) tidak dikawal dengan baik yang membawa kepada pembedahan otak dan mendedahkan pesakit kepada risiko akibat prosedur itu. Daripada pembedahan itu, hanya 30 hingga 50 peratus masalah sawan pesakit dapat dikawal.

Rangsangan saraf vagus (VNS) merujuk kepada rangsangan saraf vagus servikal kiri menggunakan peranti khas yang dililit di sekeliling saraf di leher dan disambungkan kepada penjana prostesis neurosibernetik yang diimplan dalam poket tisu subkutaneus di dada.

VNS menghantar kuasa elektrik pada kadar denyutan biasa atau sederhana ke otak melalui saraf vagus mengakibatkan pengubahan aktiviti elektrik otak.

Terapi VNS terbukti berkesan merawat epilepsi dan depresi (kemurungan) pada percubaan tahap tinggi ujian klinikal secara rawak.

Kajian terbaru juga menunjukkan potensi terapi itu sebagai anti radang, mempertingkatkan tahap ingatan dan memberi kesan dalam mengurangkan stres serta mengurangkan selera makan, sekali gus mengatasi masalah obesiti.

Pada 1985, hasil uji kaji terhadap haiwan mendapati, VNS terbukti dapat merawat sawan dan membawa kepada implantasi manusia kali pertama pada 1990.

Ia kemudian diikuti kelulusan Komuniti Eropah pada 1994 dan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 1997 sebagai terapi tambahan untuk epilepsi separa awal.

Pada 2005, FDA meluluskan penggunaan VNS sebagai rawatan anti kemurungan. Sehingga kini, lebih 60,000 implantasi sistem VNS berjaya dilakukan di seluruh dunia.

Timbalan Ketua dan Pakar Perunding Kanan Bedah Otak dan Saraf (Neurosurgeri) Hospital Kuala Lumpur, Dr Azmi Alias, berkata pendekatan baru itu sebagai alternatif dan teknik kurang invasif, terutama bagi pesakit yang tidak sanggup menjalani prosedur pembedahan lain dan menderita kesan sampingan dos tinggi ubat berganda dalam rawatan melawan epilepsi dan kemurungan.

"Saraf vagus juga dikenali sebagai saraf kranial 10 di dalam otak dan ia sebahagian daripada sistem saraf autonomik yang mengawal fungsi badan. Saraf itu melalui leher kerana ia bergerak melalui dada dan abdomen dan bahagian bawah otak.

"Ia disambungkan kepada fungsi motor di kotak suara, diafragma, perut, dan jantung serta fungsi deria dalam telinga dan lidah. Ia juga disambungkan kepada motor dan fungsi deria dalam sinus dan esofagus," katanya ketika sesi dialog rawatan alternatif bagi penyakit epilepsi, depresi dan obesiti.

Menurutnya, walaupun mekanisme tepat mengenai VNS masih sukar difahami, bukti awal daripada neuroradiologi, neurokimia, neuroanatomi dan neurofisiologi menyediakan beberapa maklumat mengenai kesan klinikal diselesaikan.

"Terapi VNS selamat dan menawarkan teknik alternatif kurang invasif berbanding pembedahan secara langsung yang boleh menjejaskan fungsi otak pusat. Ia penyelesaian berkesan untuk merawat epilepsi dan kemurungan.

"Ia pilihan bagi pesakit yang tidak sanggup menjalani prosedur lain intrakranial (bahagian dalam tengkorak) dan menderita kesan sampingan akibat pengambilan pelbagai ubat dos tinggi yang tidak boleh diterima badan," katanya.

Dr Azmi berkata, walaupun VNS yang dipasang dalam tubuh dikawal oleh magnet, ia tidak mengganggu gelombang. VNS menyebabkan rasa kenyang, sekali gus mengurangkan selera makan serta mengatasi masalah depresi.

Beliau berkata, biarpun VNS diperkenalkan di Malaysia sejak 10 tahun lalu, kurang daripada 20 orang menggunakannya.

"Tidak ramai menyedari fasiliti ini, ditambah dengan kos tinggi untuk implan. Setakat ini, VNS disediakan di hospital kerajaan tertentu.

"Kriteria untuk pemasangan VNS sangat ketat dan pesakit yang menjalani kaedah ini perlu mendapatkan pandangan pakar neurologi dan psikiatri terlebih dulu. Antara kriteria pesakit yang sesuai menjalani prosedur ini ialah mereka yang menjalani rawatan penyakit sawan tetapi tidak berkesan," katanya.

Kesan sampingan yang mungkin berlaku selepas terapi VNS ialah serak, batuk bertambah, perubahan suara atau pertuturan, sakit tekak atau leher, sakit kepala, insomnia, senak, pergerakan otot, mual, muntah, deria sentuh terjejas dan kebas atau rasa semut-semut.

Oleh Norainon Othman

Skim Wakaf Tunai diperkenal MAIPs

Friday, February 22, 2013 0 Komen

MAIPs perkenal Skim Wakaf Tunai

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan Skim Saham Wakaf Tunai melalui potongan gaji bagi memudahkan penjawat awam dan swasta menyumbang dalam skim itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, skim itu akan memudahkan untuk umat Islam melaksanakan ibadah wakaf mereka untuk projek yang memberi manfaat kepada umat.

Bertitah pada majlis penyerahan penyata zakat gaji tahun 2012 di Kampung Guar Syed Alwi dekat sini hari ini, baginda bertitah, Unit Wakaf dan Sumber Am MAIPs kini sedang rancak mempromosikan skim itu.

Unit itu yang diwujudkan akhir tahun lalu, memberi tumpuan kepada lima projek wakaf tunai termasuk pembangunan hartanah dan harta wakaf sedia ada, wakaf pembinaan dan penyenggaraan masjid dan surau serta wakaf al-Quran, kitab hadis dan buku ilmiah.

Dua lagi projek ialah, wakaf maahad tahfiz, sekolah agama dan tadika Islam serta wakaf tanah kubur dan penyenggaraan perkuburan.

Tuanku Syed Faizuddin turut mempelawa jabatan, institusi pengajian tinggi, sekolah atau badan swasta untuk menjalankan program-program kolaborasi tanggungjawab sosial korporat (CSR), tanggungjawab sosial universiti (USR) dan tanggungjawab sosial sekolah (SSC) dengan MAIPs.

"MAIPs mahu dianggap sebagai rakan kongsi yang tepat selain sebagai medium pelaksanaan sebarang bentuk program yang sangat berimpak oleh organisasi-organisasi di negeri ini khususnya kepada warga asnaf,” titah baginda.

Baginda turut menggesa umat Islam di negeri ini supaya bersama-sama menyemarakkan semangat mempertingkatkan lagi kemajuan serta kehidupan golongan asnaf.

Sepanjang tahun lalu, MAIPs mengagihkan sebanyak RM54,355,038 kepada golongan asnaf di seluruh negeri termasuk bantuan membina 92 buah rumah untuk golongan asnaf serta 464 buah rumah yang dibaik pulih yang keseluruhannya bernilai RM6,520,406.

Selain itu MAIPs turut mengeluarkan bantuan sara hidup kepada 2,418 orang penerima yang berjumlah RM1,512,327 serta bantuan serta-merta pelajaran kepada 2,451 orang pelajar berjumlah RM2,019,110.

Sempena majlis penyerahan penyata itu, MAIPs turut menyerahkan lima rumah asnaf yang dibina baru serta dibaik pulih dan menyampaikan sumbangan untuk projek Pembangunan Asnaf MAIPs.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Abdul Rasid Sudin. - BERNAMA

68,000 orang kaya di Malaysia, tahun 2015

Friday, February 22, 2013 0 Komen

Bilangan individu kaya di Malaysia akan meningkat lebih sekali ganda daripada 32,000 orang sekarang kepada 68,000 orang pada 2015, dengan nilai bersih masing-masing meningkat sebanyak US$140 bilion hingga US$330 bilion.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, bilangan yang mengagumkan ini memberikan keyakinan terhadap keteguhan dan kelestarian pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Beliau juga berkata, negara ini mestilah membangunkan industri pengurusan pelaburan domestiknya yang boleh mengurus bukan sahaja kekayaan domestik, malah juga kekayaan di peringkat rantau Asia Pasifik.

Ahmad Husni berkata, industri pengurusan kekayaan adalah sektor perkhidmatan kewangan paling pantas berkembang di Malaysia dan Asia Tenggara.

Dalam hubungan ini, penetapan 2013 sebagai tahun pengurusan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) adalah tepat pada masanya, kata beliau pada pelancaran Pengurusan Kekayaan Labuan IBFC 2013 hari ini.

Beliau berkata, inisiatif ini akan menyokong pertumbuhan industri pengurusan pelaburan domestik.

Mengenai satu perkara berkaitan, Ahmad Husni berkata, Malaysia akan dapat mengekalkan pertumbuhan tinggi tahun ini kerana ia menerima banyak pelaburan.

"Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, pengguna domestik sebenarnya amat kukuh, sumber utama sebenarnya adalah daripada pelaburan orang ramai dan juga pelaburan kerajaan.

"Jadi, bagi masa depan, kita yakin kita boleh mengekalkan pertumbuhan tahun ini,” kata beliau, sambil menambah bahawa kerajaan yakin dalam berhati-hati bahawa pertumbuhan ekonomi akan berlegar sekitar 4.5 peratus hingga lima peratus. - BERNAMA

1,355 guru pelatih IPG terima BB1M

Friday, February 22, 2013 0 Komen

Guru pelatih IPG terima BB1M

Seramai 1,355 guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini, menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM338,750.

Bantuan RM250 setiap pelatih itu disampaikan Ahli Parlimen Tangga Batu merangkap Presiden Majlis Belia Sedunia (WAY), Datuk Wira Idris Haron di Dewan Tun Fatimah, IPG kampus berkenaan, semalam.

Idris berkata, pelajar wajib bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang banyak menyalurkan bantuan serta dana bagi membantu golongan itu meneruskan pembelajaran tanpa perlu memikirkan masalah termasuk kewangan.

Katanya, ia jelas menunjukkan langkah kerajaan itu cukup bertepatan dengan keperluan pelajar ketika ini yang sentiasa memerlukan sumber kewangan bagi mengikuti pembelajaran di kolej atau universiti tanpa memilih fahaman politik.

"Fahaman politik tidak menjadi kriteria pemberian baucar BB1M kepada pelajar institusi pengajian tinggi, sebaliknya ia seiring dengan semangat Gagasan 1Malaysia yang menjadi nilai murni berpaksikan keadilan sosial dan prinsip penerimaan dalam masyarakat majmuk di negara ini menjadi teras utama.

"Pemberian baucar ini juga bukanlah satu bentuk rasuah kepada pelajar seperti yang didakwa oleh parti pembangkang tetapi ia adalah tanggungjawab sosial kerajaan meringankan beban ibu bapa dan pelajar membeli buku," katanya.

Aair jampi jangan dikomersialkan - JAKIM

Wednesday, February 20, 2013 0 Komen

Air jampi tidak wajar dikomersilkan kerana boleh menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap perubatan Islam itu sendiri, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Menurutnya kecenderungan sesetengah pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui cara itu dikhuatiri boleh menjejaskan akidah masyarakat apabila mereka percaya kesembuhan penyakit yang dihidapi datang daripada air berkenaan.

"Contohnya air ini boleh melariskan perniagaan, menyembuhkan penyakit, menjadikan bijak. Ruqyah (jampi) ini sepatutnya dibacakan oleh orang yang selayaknya dan mengikut kaifiat (kaedah) dan syarat tertentu.

"Apabila perkara ini dikomersilkan, kita khuatir ia tidak mematuhi syarat dan kaifiat itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Othman tidak menafikan terdapat kaedah menggunakan air dijampi sebagai penawar dan ubat dalam Islam.

"Tetapi kebiasaannya pihak yang ingin mendapat rawatan perlu bertemu terus dengan pengamal perubatan Islam yang dipercayai dan lebih baik dengan perawat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

"Orang yang membuat air jampi ini lazimnya seorang yang warak dan mustajab doanya di sisi Allah. Bagaimanapun, nasihat saya... usah dikomersilkan," katanya.

Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun tiada sekatan dikenakan terhadap penjualan air jampi di pasaran, garis panduan dan peraturan yang dikeluarkan haruslah ditepati peniaga produk itu terutama dari segi pengiklanan.

Ismail Sabri berkata iklan yang dikeluarkan tidak boleh mengelirukan pengguna semata-mata untuk menarik pengguna membeli produk berkenaan dan  kedegilan pengusaha produk untuk mematuhi peraturan itu boleh diambil tindakan. - Bernama

Penggodam Jabatan Penerangan didedah

Wednesday, February 20, 2013 0 Komen

Penggodam Jabatan Penerangan didedah
 Perbuatan menggodam laman web Jabatan Penerangan semalam, dipercayai didalangi individu dikenali sebagai `Sofea Hana’ yang dikatakan seorang wanita berusia 20-an dengan agenda anti-kerajaan kerana kecenderungannya yang sering menggodam laman kerajaan sejak awal tahun lalu.

Penggodam yang juga dikatakan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu dikatakan pernah menceroboh laman seperti Jabatan Kehakiman, Parlimen, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kegiatan Sofea ini didedahkan oleh seorang daripada penggodam yang aktif dan popular di dunia siber tanah air, Prince Zorro.

Menurut Prince Zoro, Sofea telah menggodam lebih 10 laman kerajaan setakat ini dan dijangka akan meneruskan perbuatannya jika pihak kerajaan tidak meningkatkan tahap keselamatan siber.


“Di kalangan komuniti penggodam tempatan, Sofea sememangnya dikenali kerana mempunyai kepakaran tinggi dan diketahui mempunyai sentimen anti-kerajaan yang kuat. Justeru, dia akan meneruskan perbuatannya selagi tidak dibendung,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, lebih membimbangkan hampir kesemua laman agensi kerajaan amat mudah untuk diceroboh memandangkan sistem keselamatan yang longgar termasuk kecenderungan penggunaan kata laluan yang sama oleh pentadbir laman kerajaan.

“Sofea menggunakan kebolehannya mendapatkan kata laluan untuk menceroboh laman terbabit menggunakan akaun pentadbir dan memasukkan apa saja program yang diingini, malah dia boleh mengubah keseluruhan reka bentuk laman berkenaan jika dia mahu,” jelasnya.

Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos ketika dihubungi berkata kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Saya jamin polis akan dapat mengesan suspek walaupun dia menggunakan identiti palsu atau cuba menyembunyikan alamat Internet Protocol (IP) kerana kita ada kaedah tertentu untuk menjejak suspek,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, dua kenyataan palsu disiarkan dalam sistem e-Akhbar dan e-Press laman web Jabatan Penerangan bertajuk 'Memo Permohonan Rakyat Malaysia dan Perdana Menteri Secara Rasminya Meletak Jawatan'.

Tetap terima dia - tunang Norazlina Ismail

Wednesday, February 20, 2013 0 Komen

"Saya sangat sayangkan dia (Norazlina)...saya tak kisah, macam mana sekali pun, saya akan terima dia dan teruskan pernikahan kami. Begitu juga keluarga saya, sanggup terima dia. Cuma apa yang saya harapkan dia pulang semula ke pangkuan keluarga," kata tunang Norazlina Ismail  yang menghilangkan diri sejak Rabu lalu, dipercayai mengikut seorang lelaki yang juga jirannya, tiga hari sebelum dinikahkan.

Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Museri, 33, berkata dia dan tunangnya tidak mempunyai masalah, malah mereka bahagia sepanjang tempoh tiga tahun bertunang, namun sikap Norazlina dikatakan berubah seminggu sebelum dia menghilangkan diri.

Menurutnya, tunangnya itu yang sebelum ini ceria tiba-tiba menjadi pendiam dan jarang menghantar mahu pun membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan daripadanya.

Bagaimanapun, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan mungkin tunangnya itu sibuk menguruskan perkahwinan mereka, namun terkejut apabila mengetahui tunangnya hilang bersama seorang lelaki.

"Saya tahu dia (Norazlina) tidak akan buat begitu (menghilangkan diri) kerana kami memang tak ada masalah. Saya pun bukan baru kenal dia, dah lebih lima tahun," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Museri yang juga pekerja swasta berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi menjejaki tunangnya itu termasuk mencari sehingga ke Perak, namun gagal.

Dalam nada teresak-esak, lelaki itu berkata, dia tidak akan berputus asa dan terus berusaha mencari wanita itu sehingga ditemui.

"Sejak hari kejadian, dia (Norazlina) memang tidak hubungi saya atau keluarganya, malah talian telefonnya juga dimatikan. Bukan saja saya, malah keluarganya juga bimbang dan berharap dia pulang segera," katanya.

Rabu lalu, Norazlina, anak kelima daripada enam beradik tidak pulang ke rumahnya di Taman Pekatra, Simpang Ampat selepas dikatakan keluar bertemu rakannya di Taman Pelangi untuk mengambil wang, kira-kira jam 10.30 pagi.

Berikutan kejadian, majlis pernikahan yang dijadualkan diadakan Sabtu lalu terpaksa dibatalkan.

Keunikan kota Bandung

Wednesday, February 20, 2013 0 Komen

Keunikan kota Bandung

Bandung, kota ketiga terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya bukan asing kepada orang Malaysia. Kota yang mempunyai lebih tujuh juta penduduk, dianggap kaya dengan budaya, sejarah, kesenian dan keindahan semula jadi.

Ibu kota Jawa Barat yang diasaskan sekitar 1488 itu turut dikenali sebagai gedung yang menyimpan 1,001 keunikan.


Datang ke sini ketika bertembung dengan cuti persekolahan di sana, secara tidak langsung penulis bersama rakan media pelbagai agensi dari Pahang, berpeluang merasai sendiri keadaan trafik yang sesak atau `machet' di sana sini dengan pelbagai jenis kenderaan terutama motorsikal, teksi dan bajaj yang menjadi pengangkutan awam utama kerana bas amat kurang mungkin disebabkan jalan rayanya yang sempit.

Pembangunan pesat di kota yang terkenal dengan jolokan Paris Van Java ini menyebabkan setiap inci tanah kosong dimanfaatkan sepenuhnya sehingga yang tinggal hanyalah untuk laluan kenderaan dan `mobil kecil bertayar dua' yang ditolak peniaga. Memang menyesakkan!

Di mana sahaja jalan utama yang dilalui, pasti kelihatan deretan peniaga makanan dan barangan keperluan harian serta `peniaga jalanan' yang mundar mandir memegang barang jualan mencari rezeki.

Paling menyentuh perasaan apabila melihat anakanak kecil merayu simpati kepada pemandu kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas tanpa memikir keselamatan diri. Begitu juga anak-anak yatim yang `membaluti' tubuh mereka dengan cat perak mohon simpati mendermakan wang untuk tabung mereka!

Begitupun, pasti `darah mudah menyirap' kerana terlalu ramai `peniaga bergerak' mengganggu perjalanan tatkala menyusuri jalan untuk bersiar-siar apatah lagi ketika membeli-belah.

Perasaan dicengkam rimas dan membosankan kerana kehadiran mereka di sekeliling kita akhirnya mengganggu urusan yang hendak dilakukan terutama waktu kita dalam `zon membeli-belah'!.

Beli-belah satu kemestian

Jika di Malaysia, peniaga mempunyai bengkel untuk membaiki kenderaan tetapi di sini, ramai peniaga beroperasi di tepi jalan sahaja membaiki motor atau basikal serta mengisi angin pada tayar kenderaan. Nampak mudah dan menjimatkan.

Bandung sejak sekian lama sinonim dengan jolokan kota fesyen. Dan sejak lebih 12 tahun lalu, penduduk Bandung semakin `dipengaruhi' dengan fesyen yang lebih moden dan `trendy', menjadikan Jalan Cihampelas dan Cibaduyut sebagai lokasi utama untuk membeli-belah.

Paris Van Java ini semakin mengukuhkan kedudukan dengan kewujudan hampir 50 factory outlet (FO) yang menawarkan pelbagai jenama kelas dunia, eksklusif dan mewah tetapi dijual dengan harga murah.

Pelbagai nama dicipta untuk melambangkan keunikan FO seperti For Men (barangan lelaki), Sahara (baju untuk muslimah), Oasis, Terminal Tas (barangan kulit), Secret (baju kanakkanak), Heritage, Rumah Mode, Rich & Famous, Big Proce Cut dan The Summit Boutique Outlet.

Hampir 70 peratus FO menampilkan barangan import dan kebanyakannya dari Amerika Syarikat, China, Filipina, India, Korea, Thailand, Hong Kong dan Jepun manakala selebihnya adalah produk tempatan berkualiti antarabangsa.

Kunjungan ke Bandung kurang lengkap kalau tidak menjejakkan kaki ke Pasar Baru Trade Center. Suasananya seumpama Nilai 3, Tangkak, mahupun Jalan Chow Kit ataupun Gulati's serta Jakel dan Alamoda.

Mengiringi perjalanan kami, dua pemandu pelancong, Opick dan Ruli yang tetap setia melayani setiap permintaan memperkenalkan kami dengan hidangan istimewa, mi baso. Penulis dan rakan juga dibawa menikmati hidangan tengah hari di Rumah Makan Saung Balibu yang menghidangkan makanan Sunda termasuk ikan gourami gorengnya selain berpeluang menjamu selera nasi padang, mi baso Semar, Kedai Makan Sangkuriang dan berkunjung ke Kartika Sari di Dago, untuk membeli brownies.

Lagenda Sangkuriang

Jika ke Bandung, kunjungan pelengkap mungkin ke gunung berapi Tangkuban Perahu, sekitar 30 km ke utara Kota Bandung di mana pelawat boleh melihat kawah gunung berapi dan panorama indah di sekelilingnya.

Bandung dengan lagenda Tangkuban Perahunya memang tidak dapat dipisahkan. Biarpun sudah terlalu lama berlalu kisah lagenda Sangkuriang dan ibu kandungnya, Dayang Sumbi sentiasa bermain di bibir pelancong.

Nama Tangkuban Perahu adalah didalam bahasa Sunda yang membawa maksud Perahu Terbalik. Asalusul Gunung Tangkuban Perahu dikaitkan dengan Sangkuriang yang jatuh cinta dengan Dayang Sumbi selepas hidup terpisah selama bertahun-tahun. Selepas mengetahui Sangkuriang anak kandungnya berdasarkan kesan luka di kepala, Dayang Sumbi mengenakan syarat supaya Sangkuriang membuat perahu jika ingin mengahwininya.

Helah Dayang Sumbi tidak berhasil kerana Sangkuriang hampir sahaja berjaya menyiapkan perahunya. Apabila diketahui hasratnya menikahi Dayang Sumbi gagal, Sangkuriang terlalu marah lalu ditendangnya perahunya sekuat hati sehingga terbalik. Perahu itulah yang kemudiannya membentuk Gunung Tangkuban Perahu setinggi 2,084 meter.

Bau belerang menusuk hidung

Berdasarkan fakta sejarah seperti yang diceritakan pemandu pelancong, Dedi Setiadi, gunung berapi itu pernah meletus buat pertama kalinya pada 1829 dan mengorbankan kirakira 2,000 penduduk di kawasan sekitar.

Gunung Tangkuban Perahu adalah antara gunung berapi yang masih aktif di Pulau Jawa. Kali terakhir gunung itu meletus pada 1983.


Bau sulfur atau belerang yang keluar dari kolam begitu menusuk hidung dan boleh menyebabkan pengunjungnya pening. Penulis mengambil kesempatan merendam kaki sambil membalut kaki dengan lumpur yang disediakan oleh pemandu pelancong untuk merasai sendiri selepas diceritakan rakan yang pernah pergi sebelumnya walaupun tidak mengetahui apakah kebaikannya berbuat demikian!

Untuk keluar dari kawasan itu, pengunjung perlu berjalan sejauh 1.5 km lagi sebelum tiba ke `garis penamat'. Dan berjaga-jagalah dengan kata-kata manis dan pujuk rayu peniaga yang menawarkan cenderahati dengan harga mahal walhal nilainya tidaklah setinggi manapun. Ini juga satu pengalaman yang cukup merimaskan! Difahamkan ramai pelancong Malaysia yang pernah datang ke Bandung akan mengelak daripada datang semula ke Tangkuban Perahu kerana rimas dengan gelagat penjajanya yang suka mendesak membeli barang jualan mereka.


Bandung

- Bandung berasal dari perkataan bendung, bermaksud empangan dan fakta geologi menunjukkan Bandung adalah bekas tasik yang kering sejak 16,000 tahun dahulu.

- Pada ketinggian 768 meter dari paras laut dikelilingi pergunungan Parahyangan, Bandung diselubungi suhu sejuk antara 25 hingga 30 darjah Celsius sepanjang tahun.

- Berkeluasan kira-kira 16, 767 hektar.

- Majoriti penduduk Bandung adalah Melayu Sunda yang turut menggunakan bahasa Sunda dalam pertuturan seharian.

Oleh Ainal Marhaton Abdul Ghani

Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM)

Tuesday, February 19, 2013 0 Komen

Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) diperkenal

Kementerian  Pelajaran telah membangunkan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang bukan sahaja dapat mengurangkan beban tugas guru malah memudahkan capaian kepada maklumat murid dari peringkat prasekolah hingga kolej matrikulasi.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Sufa'at Tumin berkata, APDM mengelakkan guru melakukan kemasukan data berulang kali dalam pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di kementerian termasuklah Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan sistem lain yang berkaitan.

''APDM dijadikan pangkalan data utama dan tunggal untuk menyediakan data bersepadu murid yang boleh diguna sama oleh pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di kementerian pada masa akan datang.

''Pengurusan data murid dalam APDM akan bermula seawal murid memasuki prasekolah sehingga tamat tingkatan enam atau kolej matrikulasi," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Murid dan guru boleh mengakses sistem APDM yang dibangunkan Bahagian Pengurusan Maklumat ini di http://sekolahmalaysia.com.

Menurut Sufa'at, APDM juga dapat menangani kesukaran guru memasuki laman sesawang SPPBS.

"Sistem APDM memudahkan 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara yang menggunakan sistem PBS," ujarnya.

Sebanyak 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.

Selain itu kata Sufa'at, menerusi data kelahiran dan data murid yang mendaftar ke tahun satu, kementerian dapat mengenal pasti murid yang cicir daripada memasuki persekolahan sekali gus membantu merealisasikan dasar pendidikan wajib dan pendidikan untuk semua.

Ujarnya, data murid ini diteruskan penggunaannya ke peringkat sekolah menengah menerusi eDaftar Menengah dan proses penetapan sekolah feeder, manakala data murid dari sekolah rendah pula terus dipindahkan ke sekolah menengah yang menempatkan murid tersebut.

''Tindakan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban tugas guru dan e-Kehadiran yang diperkenalkan akan menggunakan data murid yang terdapat dalam APDM dan pembantu tadbir yang dilantik akan mengunci masuk kehadiran murid setiap hari.

''Data kehadiran berkenaan digunakan oleh Portal Dasboard PPD yang akan digunakan sepenuhnya bermula tahun ini, jadi, semua data murid tersebut diguna sama oleh semua sistem lain yang terdapat di kementerian,'' jelas beliau.

Malah, ujarnya, data dan maklumat murid turut digunakan bagi tujuan rasmi seperti pendaftaran peperiksaan awam, latihan khidmat negara, bantuan dan perkara berkaitan dengannya.

Bagi memastikan kelancaran penggunaan sistem itu, beliau meminta semua pihak termasuk guru besar, pengetua dan pejabat pelajaran di setiap daerah melaksanakan tugas masing-masing demi menjayakan perlaksanaannya.

''Guru kelas hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya kepada data dan maklumat murid, ibu bapa atau penjaga serta perlu mengemas kini semua data dan maklumat murid yang berada di dalam kelasnya dari semasa ke semasa,'' katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kata laluan sistem tersebut tidak boleh didedahkan kepada pihak lain bagi mengelakkan berlakunya pencerobohan terhadap APDM sehingga boleh mengganggu data yang terdapat di dalamnya.

Kata beliau, selain guru dan pengetua, peranan pejabat pelajaran daerah juga perlu digerakkan bagi memastikan perlaksanaannya berjalan lancar dan paling utama menepati inspirasi pendidikan berkualiti secara menyeluruh oleh kerajaan.

Keputusan penuh Anugerah SAM-100Plus-KBS

Tuesday, February 19, 2013 0 Komen

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong hari ini dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada majlis Anugerah SAM-100Plus-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tahun 2012, yang berlangsung di sini hari ini.

Dengan kejayaan itu, Pandelela yang kini sedang berlatih di China membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM10,000.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek.

Sementara itu, pelumba Moto2 negara, Mohd Zulfahmi Khairuddin pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pilihan SAM (Out-Do-Yourself) hasil kejayaan menduduki tempat ketujuh keseluruhan perlumbaan musim lalu.

Berikut keputusan penuh Anugerah SAM-100Plus-KBS:

Atlet Terbaik - Pandelela Rinong (Renang)

Anugerah Pilihan SAM - Zulfahmi Khairuddin (Motosikal)

Atlet Penampilan Semula Terbaik - Mohd. Fauzan Mohd. Lufti (Basikal lasak)

Atlet Remaja Terbaik - Haziq Kamaruddin (Memanah)

- UTUSAN

Mohd. Azli Hisham remaja paling tinggi di Malaysia

Tuesday, February 19, 2013 0 Komen

Manusia paling tinggi di Malaysia
Remaja yang dipercayai manusia paling tinggi di Malaysia, Mohd. Azli Hisham Abdul Ghafar memasang impian untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dalam sukan bola keranjang.

Menurut Mohd. Azli Hisham, 18, dia yakin ketinggian luar biasa yang dimilikinya boleh digunakan untuk menyumbang sesuatu kepada negara terutamanya dalam sukan berkenaan.



"Sesetengah orang menganggap ketinggian luar biasa yang saya miliki adalah satu kekurangan kerana sukar untuk melakukan sesuatu perkara seperti memilih baju, kasut dan sebagainya.

"Bagaimanapun, saya tidak menjadikan ketinggian sebagai halangan dan menganggap ia satu kelebihan untuk saya mencapai impian menjadi seorang pemain bola keranjang profesional satu hari nanti," katanya.

Serpihan tahi bintang Russia ditemui

Tuesday, February 19, 2013 0 Komen

Sepasukan saintis semalam mendakwa yang mereka telah menemui serpihan tahi bintang yang jatuh di Pergunungan Ural, Rusia selepas mencetuskan gelombang yang menyebabkan 1,200 orang cedera dan beribu-ribu buah rumah rosak.

Batu angkasa lepas gergasi itu meluncur di langit bandar Chelyabinsk, tengah Rusia pada Jumaat lalu dengan tenaga bersamaan 30 butir bom atom yang digugurkan ke bandar Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Tahi bintang tersebut meletup beberapa kilometer dari Bumi tetapi serpihan-serpihannya dipercayai bertaburan di serata rantau tersebut.

Sebelum ini, sekumpulan petugas yang memeriksa sebuah tasik kecil di mana serpihan-serpihan tahi bintang itu dipercayai jatuh gagal membuat sebarang penemuan.

Namun, sepasukan saintis Akademi Sains Rusia yang melakukan beberapa ujian kimia ke atas beberapa batu aneh kelmarin berkata, serpihan itu datang dari angkasa lepas.

"Kami mengesahkan bahawa beberapa partikel yang ditemui oleh pasukan ekspedisi kami berhampiran Tasik Chebarkul benar-benar memiliki komposisi meteorit," kata saintis berkenaan, Viktor Grokhovsky menurut agensi berita RIA Novsosti.

Universiti Persekutuan Ural tempat Grokhovsky bertugas turut menyiarkan gambar seorang lelaki memegang sebutir batu hitam kecil semalam.

"Meteorit ini berasal daripada kondrit kelas biasa (angkasa lepas)," kata pihak universiti berkenaan dalam satu kenyataannya.

Menurut Grokhovsky, batu itu mengandungi komposisi besi metalik selain krisalit dan sulfit.

Kandungan besi dalam batu tersebut dianggarkan sebanyak 10 peratus.

"Besar kemungkinan, batu ini akan dinamakan sebagai Meteorit Most Chebarkul," kata kenyataan.

Gelombang kuat tahi bintang itu memecahkan tingkap-tingkap hampir 5,000 bangunan dan menyebabkan 40 orang termasuk tiga kanak-kanak dirawat di hospital kelmarin kerana mengalami luka dan kecederaan lebih serius.

Sekitar 24,000 petugas kecemasan dan sukarelawan sibuk menggantikan tingkap-tingkap yang pecah pada hujung minggu lalu sebelum orang ramai mula bekerja.

Serpihan-serpihan tahi bintang tersebut yang jatuh ke Bumi turut mencetuskan minat banyak pihak.

Beberapa pengumpul serpihan angkasa lepas di Rusia telah menyiarkan iklan di internet yang menawarkan bayaran AS$10,000 (RM30,900) untuk serpihan batu tersebut. - AFP

GRO Vitenam banjiri spa di Ipoh

Saturday, February 16, 2013 0 Komen

Bijak memanjakan lelaki selain rela dibelai umpama isteri menjadi antara faktor penarik menyebabkan ramai wanita Vietnam membanjiri spa sekitar bandar raya Ipoh kebelakangan ini.

Daya tarikan itu ditambah pula kecantikan rupa paras wanita Vietnam menyebabkan pekerja seks usia 20-an terbabit menjadi pilihan lelaki tempatan.

Berdasarkan tinjauan selama dua hari di empat pusat spa di bandar raya ini, kehadiran ramai wanita Vietnam memecah monopoli perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) di pusat spa yang sebelum ini dikuasai wanita dari China.

Hasil penyamaran dilakukan, seorang kapten (penyelia) pusat spa di Jalan Yang Kalsom, di sini, mengakui permintaan terhadap wanita Vietnam semakin meningkat berbanding wanita China.


Dia yang dikenali sebagai Joe, 40, berkata, wanita Vietnam yang dibekalkan sindiket dari Kuala Lumpur menandingi GRO China dari aspek paras rupa, etika kerja dan komunikasi ketika bersama pelanggan.

“Sebelum ini kami guna GRO China, tetapi ramai pelanggan tidak puas hati sebab mereka kurang mesra dan tidak pandai berbahasa Inggeris.

“Pelanggan tidak puas hati sebab bayar mahal, tapi GRO China tak pandai layan,” katanya.


Kehadiran wanita Vietnam yang lebih lemah-lembut dan memiliki daya tarikan tersendiri menyelesaikan masalah itu menyebabkan ramai GRO China terpaksa pulang ke negara asal atau berpindah ke negara lain.

“Kami terima maklum balas positif daripada pelanggan yang menyatakan layanan wanita Vietnam lebih baik daripada GRO Thailand atau Indonesia,” katanya.

Seorang wanita Vietnam yang dikenali sebagai Rita Nguyen, 26, berkata, dia selesa bekerja di Malaysia kerana lelaki di negara ini tidak lokek wang dan romantis.

“I love working here. Malaysian men very generous (saya suka bekerja di sini. Lelaki Malaysia pemurah),” katanya yang berkhidmat di sebuah pusat spa, di sini, sejak November lalu.

Dia yang fasih berbahasa Inggeris menetapkan bayaran RM168 untuk khidmatnya, termasuk seks.

~ Metro

Video hujan meteor (tahi bintang) di Russia

Saturday, February 16, 2013 0 Komen

Video hujan meteor melanda bahagian tengah Rusia, sebelum ia meletup.



Satu rakaman televisyen menunjukkan lalu lintas tergendala pagi ini di bandar Urals, Chelyabinsk, ketika kejadian itu, menyebabkan orang ramai berlari menyelamatkan diri untuk berlindung di dalam bangunan.

Sumber perubatan berkata, kira-kira 750 penduduk mendapatkan rawatan, sementera Kementerian Bencana pula mengesahkan perkhidmatan komunikasi telefon selular tergendala buat sementara.

"Ketulan meteor tersebut bersepai di atas kawasan pergunungan tengah Rusia, Urals, dengan separuh daripadanya terbakar pada bahagian atmosfera.

"Serpihan meteor itu jatuh ke Bumi, di kawasan yang kurang penduduk di wilayah Chelyabinsk," kata pejabat kementerian itu melalui satu kenyataan.

Tingkap-tingkap bangunan pecah akibat gegaran yang berlaku dengan kira-kira 300 bangunan dilaporkan rosak, termasuk sekolah, hospital dan bangunan kilang serta stadium hoki ais.

"Pada kira-kira pukul 9.20 pagi (0320 GMT) satu objek kelihatan di ruang udara pekan Chelyabinsk yang terbang dengan kelajuan yang kuat dan membentuk ekor asap. Selang beberapa minit kedengaran bunyi dua letupan," kata seorang pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam satu kenyataan.

Pegawai-pegawai kementerian berkata, sebahagian meteor itu jatuh 80 kilometer dari pekan Satki, kira-kira 100 kilometer dari barat bandar wilayah itu.

Sekolah-sekolah ditutup sepanjang hari di wilayah itu, selepas serpihan tersebut menyebabkan cermin bangunan pecah dan suhu di bahagian tengah Rusia jatuh kepada -18 celsius.

Jabatan polis tempatan berkata, kebanyakan mangsa yang cedera mengalami luka kecil dan lebam akibat terkena kaca yang pecah.

Wilayah Chelyabinsk merupakan kawasan industri utama di tengah Rusia, dipenuhi dengan kilang-kilang dan kemudahan lain termasuk loji kuasa nuklear serta pusat penyimpanan dan merawat sisa atom Mayak.

Sementara itu, jurucakap Rosatom, syarikat tenaga nuklear Rusia berkata, operasi loji mereka tidak terjejas dengan kejadian itu. - AFP

UTC Perak (Super Kinta) UTC terbesar

Saturday, February 16, 2013 0 Komen

Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak

Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, pusat sehenti ketiga seumpamanya di negara ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.

 Berkeluasan kira-kira 14,585 meter persegi, bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Super Kinta itu merupakan UTC terbesar berbanding di Melaka dan Kuala Lumpur.
UTC Perak (Super Kinta)

 UTC Perak yang terletak di Jalan Dato Onn Jaafar menempatkan 57 agensi kerajaan dan swasta termasuk pejabat tanah, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Imigresen, Kedai Buku 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia. Pembukaan UTC terbaharu itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memberi kemudahan kepada rakyat di kawasan bandar.

UTC Perak dianggap istimewa kerana beroperasi di bangunan yang juga menempatkan pasar basah dan gelanggang futsal selain beroperasi tujuh hari seminggu dari 8.30 pagi hingga 10 malam.

Waktu paling sibuk ialah 8.30 malam hingga 10 malam.

Ini bererti UTC adalah kemudahan yang diperlukan. Kalau dahulu rakyat sukar berurusan kerana bekerja, sekarang selepas kerja atau solat, mereka boleh datang berurusan dengan jabatan kerajaan.

RM52 bilion harta pusaka tertunggak

Saturday, February 16, 2013 0 Komen

RM52 bilion harta pusaka tertunggak

Sebanyak RM52 bilion nilai harta pusaka tertunggak dengan majoritinya milik orang Islam gagal diwariskan kepada individu yang berhak di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Seminar Hibah Peringkat Kebangsaan 2013, Ariffin Sabirin berkata, hasil anggaran industri perancangan harta pusaka di negara ini, jumlah tersebut meningkat daripada RM40 bilion pada 2007 dan semakin bertambah ekoran peningkatan nilai hartanah serta kes tuntutan harta pusaka yang semakin banyak.

Jelasnya, jumlah tinggi itu juga ekoran sebahagian besar umat Islam ketika ini tidak memahami isu perwarisan harta dengan baik hingga membawa kepada perbalahan antara waris.

Katanya, umat Islam di negara sering terkeliru kerana menyangkakan wasiat adalah instrumen terbaik membahagikan harta.

Sedangkan tambah beliau, wasiat mempunyai kekangan tertentu bagi umat Islam dan tidak efektif bagi melaksanakan hasrat pembahagian harta kecuali kepada bukan waris pada takat maksimum satu pertiga.

“Namun menerusi hibah iaitu salah satu daripada instrumen perancangan harta di dalam Islam, masalah perbalahan antara waris ini dapat diatasi kerana tuan punya harta dapat menentukan dengan tepat siapakah yang akan mewarisi hartanya serta formula agihannya.

“Sehubungan itu, orang Islam yang jatuh di bawah struktur faraid kritikal seperti pasangan Islam yang tidak mempunyai anak atau yang mempunyai anak perempuan sahaja ataupun pasangan yang mempunyai anak angkat, mereka perlu memahami dan menggunakan instrumen hibah ini bagi mengelakkan masalah harta pusaka dalam kalangan waris," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Hibah Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Auditorium Institut Sosial Malaysia, di sini hari ini.

Kejadian di Lahad Datu tidak babitkan tebusan rakyat tempatan

Thursday, February 14, 2013 0 Komen

Kejadian di Lahad Datu tidak babitkan tebusan rakyat tempatan
Kejadian kemasukan 80 hingga 100 orang asing bersenjata api di Lahad Datu, Sabah disahkan tidak melibatkan tebusan rakyat tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengesahkan perkara itu berkata, pasukan keselamatan termasuk polis dan tentera masih lagi mengadakan rundingan dengan kumpulan tersebut.

“Jangan dengar khabar angin, sekarang sudah tiada lagi masyarakat awam tempatan di kawasan itu tetapi pasukan keselamatan kita telah mengepung perimeter tersebut," katanya pada sidang akhbar di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

Ikan masak pindang (singgang)

Wednesday, February 13, 2013 0 Komen

Ikan masak pindang
Hidangan masak pindang sangat popular di negara ini. Ada sesetengah negeri seperti Kelantan dan Terengganu menamakan ia sebagai singgang.

Masak pindang merupakan diet yang cukup sihat kerana ia tidak melibatkan sebarang minyak atau sebagainya. Ia cukup direbus bersama air dan rempah ratus serta herba tempatan seperti lengkuas, bawang putih serta sebagainya.

Kredit: Flickr

Golongan berusia lebih menggemari masakan tradisional ini. Rasa masam dan pedas menjadikannya ia sangat sedap dinikmati dengan nasi panas.

Ikan masak pindang semua orang boleh menikmatinya. Wanita dalam pantang, orang sakit, orang sihat, kanak-kanak, dewasa pendek kata semua golongan peringkat umur boleh menikmati masak pindang ini.

Antara ikan yang digunakan untuk masak pindang adalah kembung, senangin dan juga tenggiri.

Kini, masak pindang bukan hanya hidangan semata-mata, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia menjadi makanan tradisi rakyat negara ini.

Suami takutkan isteri dengan alat pencungkil kelapa dipenjara

Wednesday, February 13, 2013 0 Komen

Gara-gara menakutkan isteri sendiri secara jenayah menggunakan alat pencungkil kelapa 3 Februari lalu seorang lelaki menerima padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, gagal bayar penjara enam bulan.

Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Muhammad Hafizol Salman dari Kampung Pasir Ara, Banggu selepas dia mengaku bersalah terhadap perbuatan terbabit.


Mengikut pertuduhan, pada tarikh itu lebih kurang jam 2 petang, tertuduh melakukan  kesalahan terbabit dan mengugut mahu membunuh isterinya Nor Shuhada Abdullah, 21, di sebuah rumah di Binjai.

Oleh itu, bapa kepada dua anak itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan tersebut dengan mengacukan senjata tajam dan mengugut untuk membunuh pengadu jika mereka bercerai.

Punca kejadian disebabkan tertuduh marah apabila pengadu menyuruh ibunya menyimpan rantai emas milik pengadu kerana bimbang dijual tertuduh.

Berikutan itu pengadu membuat laporan di Balai Polis Binjai dan tertuduh ditangkap sehari selepas kejadian.

Ketika prosiding tertuduh merayu supaya mahkamah mengenakan denda paling minimum terhadapnya, bagaimana Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Awie dan Pertiga mahu banteras maksiat

Tuesday, February 12, 2013 0 Komen

Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) hari ini mengambil inisiatif menubuhkan pusat media bagi membantu pihak berkuasa membanteras gejala sosial di Pulau Pinang.

Timbalan Presidennya Azhar Othman atau penyanyi dan pelakon terkenal Awie berkata menerusi pusat media berkenaan, pertubuhan itu akan membongkar aktiviti tidak bermoral seperti kegiatan lumba haram, aktiviti perjudian tidak berlesen dan maksiat.

Katanya maklumat termasuk bukti bergambar mengenai kegiatan tidak sihat itu akan disalur kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

“Kita juga merancang untuk mewujudkan radio Internet tidak lama lagi bertujuan mendidik masyarakat menjadi warga negara yang mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian serta sayang kepada bangsa, agama dan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat media itu di Jalan Terengganu di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

Awie berharap pusat media Pertiga berupaya menjadi medium yang dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya bekerjasama dengan kerajaan bagi mewujudkan persekitaran selamat serta bebas dari gejala negatif itu.

“Setakat ini skuad media kita terdiri daripada 20 orang ‘cybertroopers’ dan mereka akan mengumpul bahan mengenai kegiatan salah laku masyarakat untuk disiarkan dalam laman web rasmi dan facebook Pertiga,” katanya.

Beliau berkata Pertiga memiliki lebih 60,000 ahli di seluruh negara dan pihaknya telah melancarkan skuad media seumpama itu di beberapa negeri lain seperti Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak dan Sarawak.

- Bernama

Nigeria juara Piala Negara-Negara Afrika

Tuesday, February 12, 2013 0 Komen

Nigeria dinobat 'raja' bola Afrika 2013

Nigeria menamatkan penantian selama 19 tahun untuk menjulang Piala Negara-Negara Afrika, semalam setelah melakar kemenangan 1-0 ke atas Burkina Faso pada perlawanan akhir di Soccer City, Johannesburg.

Terima kasih kepada jaringan cantik pada babak pertama oleh Sunday Mba.

Keputusan itu membolehkan jurulatih Stephen Keshi melakar rekod yang menyamai Mahmoud El Gohary dari Mesir apabila memenangi pingat emas sebagai pemain dan juga jurulatih.

Antara ganjaran yang diperoleh Super Eagles adalah AS$1.5 juta (RM4.64 juta) dan tempat ke Piala Konfederasi FIFA di Brazil, yang mana mereka akan bertemu juara dunia dan Eropah, Sepanyol, Tahiti serta Uruguay.

Nigeria menakluk Piala Afrika buat pertama kali pada 1980, setelah menyingkirkan Algeria 3-0 di Lagos menerusi jaringan yang kesemua dihasilkan sebelum babak pertama berakhir dan gelaran kedua hadir 14 tahun kemudian sewaktu mereka bangkit kembali untuk menundukkan Zambia 2-1 di Tunisia.

Pada 1996, mereka berpeluang merangkul gelaran buat kali ketiga di Soweto, namun perang politik dingin dengan Afrika Selatan telah membawa kepada penarikan Nigeria.

"Kemenangan ini untuk negara saya; sewaktu saya dilantik sebagai jurulatih kira-kira setahun setengah yang lalu, impian saya adalah untuk membuat Nigeria gembira dan membina sebuah pasukan yang mantap, tetapi kami masih belum mencapai ke tahap itu, masih dalam proses," kata Keshi.

Merujuk kepada suasana tegang pada lima minit terakhir, tambahnya: "Anda sudah tentu tidak mahu tahu apa yang ada dalam kepala saya! Mewakili Afrika di Brazil pada Piala Konfederasi merupakan satu penghormatan buat Nigeria."

Sementara itu, jurulatih Burkina Faso berkata: "Kami terlalu menghormati Nigeria pada babak pertama; sementara, separuh masa kedua kami cuba sedaya yang mampu. Tetapi anda perlu berbangga apabila anda kalah dan merendah diri jika anda menang.

"Sebenarnya, kami agak keletihan selepas dua perlawanan yang berlangsung sehingga masa tambahan, tetapi saya tidak mahu melihat itu sebagai alasan. Seluruh Burkina Faso boleh berbangga dengan pemain-pemain mereka."

Nigeria yang merupakan pasukan pilihan dipaksa melakukan pertukaran awal apabila penyerang dan penjaring terbanyak dengan empat gol, Emmanuel Emenike terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan hamstring yang diperoleh sewaktu aksi separuh akhir menentang Mali dan Ikechukwu Uche menggantikannya.

Burkina Faso pula berpeluang mengekalkan pasukan sama sewaktu menentang Ghana pada separuh akhir apabila kad merah yang dilayangkan terhadap pemain tengah, Jonathan Pitroipa dibatalkan setelah pengadil mengakui kesilapannya.

Jaringan Mba membolehkan Super Eagles mendahului 1-0 pada separuh masa pertama yang turut menyaksikan Nigeria seperti diramal mendominasi perlawanan dan Burkina yang hadir sebagai pasukan underdog menggunakan strategi melalui serangan balas. - AFP

Piala FA: Selangor pasukan pertama ke suku akhir

Tuesday, February 12, 2013 0 Komen

Selangor pasukan pertama ke suku akhir Piala FA

Selangor menampilkan persembahan bertenaga sebelum muncul pasukan pertama melangkah ke suku akhir Piala FA 2013 dengan mengetepikan Sabah 3-0 pada pertemuan pusingan kedua di Stadium Likas, di sini, hari ini.

Pemain import dari Liberia, Francis Forkey Doe, menjadi wira pasukan Selangor apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-47, hasil sepakan percuma Solihin Kanasian di luar kotak penalti.

Penyerang berusia 27 tahun itu kemudian menambah gol peribadi kedua pada minit ke-87 selepas menyudahkan lontaran Mohd Raimi Mohd Nor bagi menewaskan penjaga gol Sabah, Shahril Sa'ari.

Terdahulu itu, gol kedua Selangor diperoleh oleh Mohd Raimi pada minit ke-52.

Dalam saingan suku akhir nanti, Selangor akan bertemu pemenang antara Kedah dan Johor Darul Takzim pada 26 Februari ini.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun terdapat beberapa pemain yang tidak menunjukkan aksi memberangsangkan.

"Saya cuma sasar kemenangan 1-0 kerana ini merupakan perlawanan kalah mati bagi membolehkan Selangor dapat layak ke pusingan seterusnya tetapi apabila berjaya jaring tiga gol, ini sudah cukup membanggakan kepada pasukan," katanya. - BERNAMA

Lelaki tunjuk isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong

Tuesday, February 12, 2013 0 Komen

Polis menahan seorang lelaki dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt. Hatta Md. Zin berkata, dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, suspek yang berusia 29 tahun dipercayai menunjukkan isyarat lucah ketika kenderaan yang dinaiki Tuanku Hajah Haminah melalui lapangan terbang berkenaan.

"Ketika itu bapanya sedang menghantar suspek ke lapangan terbang. Difahamkan berlaku sedikit perselisihan faham antara suspek dengan bapanya. Mungkin suspek bengang dengan bapanya dan dia menunjukkan isyarat lucah itu.

"Kebetulan pada masa itu, rombongan kenderaan Raja Permaisuri Agong sedang melalui lapangan terbang dan pengawal pengiring baginda nampak tindakan suspek...dia terus menahan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hatta berkata, suspek ditahan reman sehingga 14 Februari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan.

Sementara itu, Pertubuhan Kerabat Pusaka Merong Wangsa Malaysia cawangan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dekat sini berhubung perkara itu.

Pengerusinya, Azhar Abdul Majid berkata, tindakan menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong adalah satu tindakan yang biadap.— BERNAMA

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz2KgKwnvBh
Hakcipta terpelihara

Wanita Minum Air Kencing Sendiri -Pelik Tapi Benar

Tuesday, February 12, 2013 0 Komen

CARRIE STEELE seorang wanita pertengahan umur dari Colorado Springs, Amerika Syarikat  bertindak meminum air kencingnya sendiri sejak empat tahun lalu. Carrie akan meminum sebanyak lima gelas air kencing sendiri setiap hari dan dia menyifatkan perbuatannya itu sebagai menenangkan.


Menurutnya, dia tidak mengalami sebarang alahan apabila pertama kali bertindak meminum air kencingnya. Carrie cuba mencabar diri kerana berasakan dia boleh melakukan perkara itu.

Ibu kepada empat orang anak ini disahkan menghidap kanser melanoma malignan peringkat ketiga lapan tahun lalu. Sejak itu dia berbuat apa sahaja termasuk meminum air kencingnya sendiri dengan harapan ia dapat membantunya melawan hukuman maut itu.

"Pelbagai jenis perasa yang saya dapati apabila meminum air kencing. Semuanya bergantung kepada makanan yang saya ambil. Ia tidak berbau dan rasanya berbeza berbanding empat tahun lalu.

"Kadangkala saya rasa masin dan adakalanya ia rasa seperti air lemon tetapi itu semua bergantung kepada apa yang saya makan. Saya juga dapat merasai pelbagai rasa makanan yang keluar dari badan saya melalui rasa air kencing saya itu.

"Saya gemarkan asparagus tetapi saya tidak akan memakannya lagi kerana ia membuatkan air kencing saya rasa sangat pelik," ujarnya.

Tambahnya, dia bukan sahaja meminum air kencingnya tetapi dia juga menggunakan air kencingnya itu untuk berkumur dan memberus giginya selain menjadikan air kencingnya itu sebagai minyak yang disapukan di seluruh badannya.

"Saya mendedahkan tabiat pelik saya ini bersama rakan, Denise dan dia kelihatan tenang apabila saya memberitahu rahsia itu. Saya minum hampir semua air kencing yang keluar dari badan saya.

"Apabila saya menjemputnya untuk melihat sendiri kebenarannya, Denise mengelak dan dia percaya dengan apa sahaja yang ceritakan tentang tabiat pelik itu tetapi dia tidak berhasrat untuk melihat sendiri saya meminum air kencing saya," jelasnya.

Salah seorang anak perempuannya pula memberitahu, air kencing merupakan bahan buangan daripada badan dan ia bahan yang tidak lagi diingini. Tubuh menyingkirkan segala kotoran tidak sihat kepada badan selain ia pernah digunakan untuk tujuan perubatan oleh manusia pada Tamadun China dan India.

Bagaimanapun, dalam laporan The Independent pada tahun 2006, pakar-pakar perubatan menafikan dakwaan air kencing boleh membantu dalam proses penyembuhan dan tiada bukti yang menyokong dakwaan itu.

Sementara itu, seorang pakar pemakanan di Universiti Southampton, Britain, Dr. Michael Stroud memberitahu, dakwaan sesetengah orang yang menyatakan air kencing dapat menyembuhkan penyakit adalah sebagai mengarut dan tidak boleh dipercayai.

Wakil Persatuan Dietetik Britain, Helen Andrews pula berkata, tiada faedah kesihatan yang diperoleh dengan meminum air kencing sendiri sebaliknya ia boleh mendatangkan mudarat.

"Setiap kali anda meletakkan ia kembali, ia akan keluar lagi dan itu adalah tidak baik untuk kesihatan kerana ia boleh merosakkan usus," beritahu beliau.

7 golongan dilindungi di hari kiamat

Wednesday, February 06, 2013 0 Komen

7 golongan dilindungi di hari kiamat

1. Pemimpin adil. Ganjarannya besar bagi pemimpin adil, tetapi azab menanti pemimpin zalim di akhirat.

2. Anak muda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya. Waktu muda dan remaja seseorang itu banyak ruang beribadat, malah badan sihat, tenaga kuat, pendengaran dan penglihatannya sempurna.

3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Ada hadis mengatakan dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan diketegorikan sebagai sedekah.

4. Dua orang berkasih sayang kerana Allah, kedua-duanya berkumpul dan berpisah demi keredaan-Nya.

5. Lelaki yang diajak wanita cantik dan kaya untuk melakukan dosa, tetapi ditolak olehnya dengan berkata: "Aku takut kepada Allah."

6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi tangan kanannya, iaitu sedekah ikhlas.

7. Orang yang menyebut, mengingati dan mengagungkan Allah dengan tidak ada dalam ingatannya perkara lain.
-------

Al-Quran adalah kitab panduan bagi manusia. Di dalamnya mengandungi hukum-hakam, suruhan dan tegahan, nasihat dan peringatan, iktibar dan contoh teladan, kisah golongan terdahulu, berkaitan alam nyata mahupun perkara ghaib, bahkan banyak lagi.

Umat Islam sangat dituntut supaya menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Membaca, menghafal dan menelaahnya sangat dianjurkan. Paling tidak, ia dibaca sewaktu mengerjakan solat fardu lima kali sehari semalam.

Mereka yang membaca al-Quran akan mendapat ganjaran pahala berganda, sebagaimana dapat dilihat dalam satu hadis daripada Ibn Mas'ud RA, katanya Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sesiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah al-Quran, maka baginya satu kebajikan, sedang satu kebajikan itu menyamai sepuluh kebajikan. Aku tidak mengatakan: 'Alif lam mim' satu huruf, tetapi 'alif' itu satu huruf dan 'lam' satu huruf dan 'mim' pula satu huruf. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Hadis itu memberi perangsang kepada orang Islam tidak kira jantina, tua atau muda, malah kanak-kanak supaya sentiasa membaca al-Quran sehinggalah ia menjadi amalan harian dalam hidup.

Selesai satu ayat dibaca lagi ayat berikutnya, sehingga selesai satu muka surat. Kemudian dibaca lagi hingga selesai satu juzuk atau satu surah, sampai satu tahap selesai dibaca seluruhnya dan terus diulang pada waktu berikutnya.

Demikianlah bagi orang yang hatinya sudah diresapi kemanisan iman, membasahi lidah dengan ayat suci al-Quran.

Mereka rajin melakukan ibadat dan amal kebajikan melalui pembacaan al-Quran. Waktu terluang tidak dibazirkan dengan amalan sia-sia, sebaliknya dimanfaatkan sebaiknya. Itulah contoh golongan beruntung di dunia dan akhirat.

Di samping membacanya dengan sempurna mengikut tajwid, mereka juga cuba memerhati serta memahami makna dan tafsirannya sama ada yang tersurat mahupun tersirat.

Sekiranya ayat suci dibaca itu berbentuk teladan, anjuran dan suruhan, diterapkan oleh mereka di dalam kehidupan, sebaliknya jika berbentuk tegahan dan iktibar dijadikan pula sebagai sempadan yang tidak boleh dilangkaui.

"Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan keberkatan untuk mereka perhatikan ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal mengambil iktibar." (Surah Saad, ayat 29)

Sungguhpun demikian, mungkin ada orang yang tidak boleh membaca al-Quran kerana tidak berpeluang mempelajarinya sejak zaman kanak-kanak, disebabkan beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan sehingga menyukarkannya untuk mengerjakan ibadat seperti solat.

Disebabkan itulah ibu bapa perlu memastikan anak mereka boleh mengaji dari awal lagi. Jika tidak mampu mengajar mereka, hantarlah ke kelas pengajian al-Quran supaya apabila besar dan dewasa kelak tidak bermasalah untuk membaca al-Quran.

Kepada mereka yang tidak boleh mengaji, jangan putus asa. Belum terlambat untuk mempelajarinya, malah selagi ada kehendak, selagi itu ada peluang. Insya-Allah dengan usaha di samping doa, halangan dihadapi dapat diatasi.

Mereka yang belajar al-Quran sangat dipuji dan dimuliakan, seperti dinyatakan dalam hadis daripada Usman bin Affan RA katanya (bermaksud): "Rasulullah SAW bersabda, sebaik-baik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari)

Sekiranya masih tidak boleh juga, masih ada peluang mendapatkan ganjaran berganda iaitu dengan menghafal ayat suci al-Quran, mungkin bermula daripada surah paling pendek sehingga ia lancar di lidah dan menjadi suatu keringanan untuk selalu dibacanya pada bila-bila masa.

Kepayahan menyebut setiap kalimah ayat suci al-Quran bukanlah bebanan semata-mata, sebaliknya diiringi dengan ganjaran, seperti kata Aisyah RA (maksudnya): "Bersabda Rasulullah SAW, orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, berusahalah untuk membaca al-Quran kerana selain mendapat pahala, banyak kelebihan yang bakal dinikmati kelak antaranya seperti kata Abu Umamah al-Bahili RA (maksudnya):

"Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat akan datang untuk memberi syafaat kepada pembacanya." (Hadis riwayat Muslim)

Dalam satu lagi hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim, daripada Abu Musa al-Asy'ari RA katanya, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah utrujjah (limau besar), baunya wangi dan sedap.

Umpama orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar, tidak ada bau dan rasanya manis dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit."



 

ZONFINITI