Tiada gambar atau klip video lucah penyanyi Farawahida ditemui dalam telefon bimbit milik Julfekar Ahmad, 45, apabila diperiksa polis ketika komposer terkenal itu dipanggil memberi keterangan, Isnin lalu.
Sebelum ini, Farawahida atau nama sebenarnya, Farawahida Razali, 24, mendakwa komposer berkenaan mengugut mahu menyebar gambar dan video lucah yang dikaitkan dengan dirinya. Bagaimanapun, Julfekar mendakwa tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
Sumber polis berkata, telefon bimbit yang diambil daripada Julfekar ketika lelaki itu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Petaling Jaya di sini, untuk membantu siasatan Isnin lalu, didapati tidak mempunyai bukti seperti laporan polis dibuat penyanyi berkenaan, Khamis lalu.
“Walaupun pemeriksaan awal belum menemui apa-apa klip video atau SMS berbentuk ugutan, telefon bimbit berkenaan akan dihantar ke pihak forensik untuk siasatan lebih terperinci.
“Selain makmal forensik polis di Cheras, kami boleh mendapatkan bantuan Pusat Keselamatan Siber Malaysia bagi membantu mendapatkan maklumat jika kandungan asal telefon bimbit itu dipadamkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, yang dihubungi semalam berkata, kes itu masih disiasat dan terlalu awal untuknya memberi sebarang ulasan.
Ditanya sama ada polis menemui klip video lucah atau SMS berbentuk ugutan dalam telefon bimbit milik komposer berkenaan, beliau sekadar memberitahu polis masih menyiasat kes itu.
“Saya tidak mahu ulas panjang lebar, tapi siasatan masih diteruskan sehingga polis benar-benar berpuas hati,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan untuk menyebabkan kematian atau kecederaan.
Polis sebelum ini mengambil telefon bimbit dan merekodkan keterangan Julfekar kira-kira lapan jam, Isnin lalu, berhubung dakwaan ugutannya mahu menyebarkan video serta gambar lucah penyanyi Farawahida.
Julfekar dalam kenyataannya sebelum ini, mengakui polis sudah memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung laporan dibuat Farawahida, baru-baru ini.
Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.
Kemelut antara kedua-dua mereka bermula apabila Julfekar yang juga pemilik Millenium Art Sdn Bhd (MASB) mendakwa Farawahida yang masih mempunyai setahun kontrak pilihan, gagal menyempurnakan perjanjian ditandatangani apabila menyepikan diri sejak Februari lalu.
Farawahida membuat empat laporan polis dengan terbaru pada 1 Julai lalu di IPPD Petaling Jaya, mendakwa Julfekar mengugut mahu mengedar gambar dan video lucahnya.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Isu video lucah Farawahida
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment