Nama Amylea Azizan agak panas diperkatakan. Ada sahaja cerita-cerita kurang enak yang terpaksa dilaluinya.
Bermula dengan hal kononnya Amylea lupa diri kerana menyertai akaun Facebook anti-AF, diikuti pula masalah antara dirinya dan Aziz Desa belum selesai sejak lima tahun dahulu gara-gara dakwaan Aziz kononnya Amylea sudah lupa asal usulnya sebagai anak kelahiran Langkawi walaupun sebenarnya Amylea bukan berasal daripada pulau tersebut.
Terbaru, kreativiti yang dicurahkan Amylea untuk lagu, Solo, yang dicipta khas buat artis naungannya, kumpulan IV Flava, pula diciplak oleh bekas ahli kumpulan Infinatez, Andi A. Merican.
Menurut penyanyi yang pernah menyertai dua program realiti iaitu Akademi Fantasia dan One In A Million 3, dia telah memperdengarkan demo lagu Solo kepada Andi pada tahun lalu dan Andi mahukan lagu tersebut.
Bagaimanapun pada waktu itu, lagu tersebut telah pun diberikan kepada protege Jaclyn Victor, Halhusani Razmi (Sani) dan kemudiannya ia tidak menjadi kerana beberapa masalah. Lalu lagu tersebut diberikan kepada Andi. Ketika proses praproduksi, Andi dikatakan terlalu cerewet dan mahu menukar lagu tersebut mengikut keinginannya dan Amylea mengambil keputusan untuk tidak memberikan lagu tersebut kepada Andi setelah mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman yang antaranya ialah Audi Mok.
"Sebelum ini saya ada dengar khabar angin yang dia ada menciplak idea lagu saya, tapi saya tidak mengendahkannya kerana menganggap ia sekadar gosip kosong.
"Tapi bila mendengar lagu bertajuk Solo daripada Andi, saya agak terkejut. Memang saya akui bahawa melodinya sedikit berbeza tapi dia meniru feel muzik R&B seperti pada demo Solo pertama saya.
"Sudahlah sebelum ini saya dimarah dan dimaki bila tidak memberikan lagu itu kepadanya. Sekarang ini dia mahu menciplak idea dan tajuk lagu saya pula? Malah liriknya juga seperti sama dengan lagu Solo yang dicipta untuk IV Flava.
"Dari segi melodinya memang lain, tapi stail muziknya seperti demo lagu Solo yang pertama saya hasilkan. Mungkin orang akan menganggap yang bukan-bukan tentang saya, tapi takkan saya nak diam jika kreativiti saya diciplak?
"Tak mungkin pembikinan lagunya itu secara kebetulan sebab dia telah pun menyuarakan hasratnya untuk mengambil lagu Solo saya itu pada tahun lepas." kata Amylea ketika ditemu bual menerusi telefon.
Tambah anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, dia menganggap bekas ahli kumpulan Infinatez itu seorang pengecut dan lokek idea kerana sanggup meniru idea orang lain.
Bagaimanapun setakat ini Amylea tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Andi.
Dalam pada itu, Amylea juga ingin menjelaskan mengenai isu menyertai akaun anti-AF di Facebook bukan kerana dia membenci program realiti TV pertama yang disertainya iaitu Akademi Fantasia.
Sebaliknya, Amylea sekadar ingin mahu mengetahui isi komen yang terkandung dalam akaun tersebut.
"Saya tak pernah bencikan AF2 kerana melalui AF2 saya bergelar seorang penyanyi. Saya sertai anti-AF kerana mahu membaca komen-komen di dalam akaun tersebut. Lagi satu, ramai orang salah anggap saya tidak menggunakan nama Amylea AF2 kerana lupa daratan, tidak sama sekali.
"Takkanlah orang nak panggil saya Amylea AF2/OIAM3? Tak ke pening dibuatnya. Jadi saya memudahkan menjadi Amylea Azizan, lebih senang dan saya mahu berdiri di atas nama sendiri," tegasnya.
Berkaitan tentang dirinya yang sombong, Amylea pelik kenapa dari dulu hingga kini umum melabelkan dirinya sombong.
"Senang kata, saya dilahirkan dengan wajah sebegini, kalau tak senyum memang nampak sombong gila. Tapi takkan saya nak tersengih macam kerang busuk?
"Selalunya bila orang tegur, saya akan senyum atau menegur orang tersebut.
"Bayangkan, saya selalu menghadapi situasi di mana orang pandang saya, saya pandang balik, lepas itu bila saya senyum, orang itu tidak membalas senyuman saya. Bukankah saya akan rasa seperti tak betul?" seloroh penyanyi genit ini.
0 Komen:
Post a Comment