Acara Numera Rai Kemala

Friday, May 11, 2012

Numera Rai Kemala
Persatuan Sasterawan Numera Malaysia yang tertubuh di bawah Numera (Nusantara Melayu Raya) mensasarkan dana RM1 juta bagi membolehkan pihak berkenaan menubuhkan sebuah yayasan bertujuan membantu serta membela nasib sasterawan yang mengalami masalah kesihatan dan kekurangan keperluan kehidupan.

Menurut Presiden Persatuan Sasterawan Numera Malaysia, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk Dr Kemala, berkata, golongan berkenaan wajar diberikan perhatian kerana sumbangan mereka kepada negara tidak kurang hebatnya.

"80 peratus kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah sumbangan jasa penulis. Laporan yang hebat, menyuntik semangat dalam menyokong usaha pemimpin ketika membuatkan penduduk Tanah Melayu juga dunia memandang suara kita.

"Justeru kenapa tidak, nasib sasterawan ini dibela. Saya berharap hal ini diberi perhatian oleh Perdana Menteri Malaysia kerana jasa golongan tidak boleh diabaikan," katanya.

Dr Kemala yang baru saja menerima Anugerah Sastera Negara - Sasterawan Negara ke-11, baru-baru ini, menegaskan bahawa Persatuan Sasterawan Numera Malaysia, yang ditubuhkan pada 10 Mac lalu, konsisten menjalankan kegiatan mengumpul dana.

Namun, jika ada badan korporat serta kerajaan yang membantu usaha, pastinya impian menubuh yayasan lebih mudah untuk dicapai mereka.

Salah satu acara yang dijalankan untuk merealisasikan impian itu, sebuah persembahan dinamakan Numera Rai Kemala bakal dilangsungkan pada 20 Mei nanti di Restoran Rebung, Bangsar, jam 8 malam.

Numera Rai Kemala turut bertujuan menghargai Dr Kemala di atas kurniaan Sasterawan Negara ke-11, datang dalam bentuk pengucapan zahir dan batin yang bakal menyajikan deretan persembahan eksklusif kumpulan-kumpulan puisi Kemala dari pemuisi dan pendeklamasi handalan.

Diperhebatkan dengan per-sembahan biduanita Uji Rashid, kumpulan anak muda, Grup Lagu Puisi (GLP) dan penyanyi solo, Umar Uzair termasuk deklamasi daripada Dr Kemala.

Acara itu turut menerbangkan novelis terkenal dari Indonesia iaitu Sastry Bakry yang kini salah satu naskhah novelnya sedang difilemkan.

Terdahulu, persatuan itu menjalankan aktiviti seni dan pembacaan secara berterusan sehingga mencapai matlamat yang diinginkan. Baca Puisi Numera dijadikan sebuah acara dwi-bulanan yang akan diadakan di seluruh negara dengan pembabitan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh Malaysia, badan badan kerajaan, agensi swasta serta NGO.

Untuk menyaksikan kehebatan acara Numera Rai Kemala, tiket dijual dengan harga RM48 saja termasuk bufet makan malam. Untuk tempahan atau info lanjut sila layari www.numeramalaysia.blogspot.com atau hubungi talian 019-2550559.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI