Datuk Omar Mohd. Hashim Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

Thursday, May 17, 2012

Omar Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

Datuk Omar Mohd. Hashim, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 sempena sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 di sini hari ini.

Anak kelahiran Dinding, Manjung itu menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai sebanyak RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Omar yang pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran dari 1985 sehingga bersara pada 1990, memainkan peranan yang sangat penting dalam meletakkan asas-asas pendidikan negara.

Beliau merupakan antara tokoh yang bertanggungjawab menukar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau MCE ketika itu dari Cambridge, England ke Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran pada 1978.

Ketika melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan, Omar turut memantapkan persekolahan menengah Melayu dan Bahasa Melayu menerusi sistem peperiksaan umum.

Sepanjang perkhidmatannya di bidang pendidikan, beliau pernah menjadi Pengarah Pengajian Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, Pengarah Pelajaran Sabah dan Johor, Pengarah Lembaga Peperiksaan serta Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.

Setelah bersara, beliau dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dari 1990 hingga 1992; Timbalan Pengerusi SPR dan seterusnya Pengerusi SPR sehingga 11 November 2000.

Kecemerlangan perkhidmatannya terbukti apabila beliau pernah menerima anugerah Tokoh Guru Pulau Pinang, Tokoh Penaksiran Pendidikan Malaysia, Felo Terutama Institut Aminuddin Baki dan Felo Persatuan Sejarah Malaysia.

Ketika ditemui, Omar menyifatkan anugerah tersebut merupakan satu penghormatan kepada beliau yang telah berkhidmat di dalam bidang pendidikan selama lebih 30 tahun.

Beliau juga memberitahu, sistem pendidikan negara sebenarnya sudah mencapai taraf dunia.

"Orang kata kita hendak mencapai taraf dunia tetapi kita sudah pun sampai ke tahap dunia. Saya tahu kerana saya di Lembaga Peperiksaan selama 15 tahun dan kita berkomunikasi dan berbincang dengan pihak Cambridge serta badan-badan lain di England. Jadi kita punya sistem pendidikan bertaraf tinggi," katanya.

Omar berkata, walaupun terdapat guru yang bagus dan pengajaran yang baik sedang berjalan di sekolah sekarang, sebahagian besar guru masih memerlukan satu peningkatan, sama ada dilakukan oleh mereka sendiri atau Kementerian Pelajaran bagi memenuhi harapan masyarakat.

Datuk Omar Mohd. Hashim

Sementara itu, empat warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2012 pada majlis sambutan hari ini.

Mereka ialah bekas Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib; Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Datuk Mary Yap Kain Ching; bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Pulai, Kluang, Johor, Mohd. Azman Abdul Rashid dan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2010, Lim Ai Lee @ Lim Irene.

Pada sambutan tahun ini, satu anugerah baru turut diperkenalkan iaitu Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 dan ia menjadi milik pengasas Sekolah Kadir Adabi dan sekolah Wadi Sofia, Datuk Hassan Harun.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI