Negeri Terengganu yang tersohor dengan tema Negeri Cantik, Budaya Menarik cukup kaya dengan warisan seni dan keindahan alam semula jadi menjadi negeri pertama membuka tirai aktiviti Pesta Negeri 2012 di Menara Kuala Lumpur (KL) tahun ini.
Pesta Negeri Terengganu yang diadakan untuk tahun kedua itu berlangsung di Kampung Budaya 1Malaysia, Menara KL.
Berlangsung pada penghujung April hingga awal Mei lalu di Menara KL, acara itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik di samping memperkenalkan makanan, kebudayaan dan tarikan pelancongan negeri tersebut.
Selain menjadi pusat paling ideal untuk mempromosi pelancongan negeri, pesta negeri yang diadakan juga mendapat sambutan menggalakkan sejak ia diperkenalkan tahun lalu. Bahkan, ia juga memberi satu pengalaman yang mengujakan kepada peserta pameran di Pesta Negeri Terengganu ini.
"Pesta seumpama ini memberi peluang keemasan kepada kami untuk memperkenalkan produk-produk negeri Terengganu yang unik dan istimewa," ujar penempa tembaga dari Wanisma Craft & Trading, Nusaibah Muda, 22.
Beliau yang sibuk menunjukkan cara menempa tembaga menjelaskan, pesta tersebut merupakan tempat yang sesuai untuk pengunjung mengenali dan membeli produk dari Terengganu.
Bagi pengukir seni kayu Terengganu, Amran Ismail, 35, menjelaskan, program seumpama ini dapat memperkenalkan seni ukiran asli Terengganu kepada masyarakat luar.
"Ramai pengunjung yang tertarik dengan ukiran kayu di gerai saya kerana ia lain daripada yang lain," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Platform promosi
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Abd. Rahin Mohd. Said berkata, tahun lalu seramai 6,630 pengunjung datang ke Pesta Negeri Terengganu dan tahun ini pihaknya menyasarkan lebih 15,000 pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zuraidah Mohd. Said berkata, pesta seumpama ini menjadi platform mempromosi dan memberi pendedahan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk mengenali lebih dekat kebudayaan, kesenian dan produk-produk dari Terengganu.
"Saya yakin produk-produk makanan tradisional seperti nasi dagang, satar dan keropok lekor serta produk lain yang disediakan di pesta ini akan menarik perhatian para pengunjung untuk merasai sendiri keenakan produk makanan di negeri penyu bertelur ini," katanya pada majlis pelancaran pesta itu.
Sehubungan itu, Menara KL telah menyediakan Kampung Budaya 1Malaysia yang menawarkan pengalaman menyelusuri replika rumah tradisi masyarakat Malaysia dengan persembahan tarian dan muzik kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 03-2020 5454 atau layari laman web www.menarakl.com.my. - BASIR ABU BAKAR
0 Komen:
Post a Comment